HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Ogos 2018

Pemuda AMANAH: Tindakan Hisham ambil anggota ATM tak beretika

MALAYSIAKINI

   

Pemuda Parti Amanah Megara (AMANAH) menyifatkan bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak mempunyai etika apabila mengambil tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pegawai pengiringnya.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, tindakan itu juga menggambarkan Hishammuddin tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Tindakan Hishammuddin ini suatu yang tidak beretika kerana beliau perlu sedar bahawa sejak Barisan Nasional (BN) tewas pada 9 Mei lalu, beliau tidak lagi menjadi Menteri Pertahanan.

"Tindakan meminta anggota di bawah kementerian termasuk ATM meneruskan kerja dengan beliau boleh dianggap salahguna kuasa kerana mereka masih berkhidmat dan dibayar gaji oleh ATM.

"Beliau seharusnya mengasingkan diri daripada pejabat menteri pertahanan dan memutuskan hubungan rasmi dengan mana-mana pegawai dan anggota kementerian termasuk ATM," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu semalam berkata beliau telah mengarahkan siasatan segera berhubung perkara itu.

Ini susulan laporan eksklusif Malaysiakini bahawa dua anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan seorang komando masih menjadi pengiring Hishammuddin walaupun setelah bekas menteri berkenaan tidak lagi memegang sebarang portfolio dalam kementerian pertahanan.

Hishamuddin dalam kenyataannya semalam berkata tiga pegawai pengiring itu hanya berkhidmat untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, beliau berkata telah menawarkan mereka bekerja dengannya sekiranya mereka meletakkan jawatan dalam ATM.

"Alasan Hishammuddin bahawa mereka telah diminta untuk meletak jawatan serta-merta tidak berasas kerana beliau seharusnya memastikan mana-mana individu yang berkhidmat dengan beliau tiada apa-apa kaitan tugas dengan kerajaan dan ATM.

"Ironinya, tiada peruntukan bagi mana-mana anggota ATM dibenarkan meletakkan jawatan 24 jam kerana tempoh perkhidmatan mereka adalah untuk sesuatu tempoh tertentu," tegas Faiz.

Menurut Faiz, peletakan jawatan mana-mana anggota ATM adalah tertakluk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 dan tidak boleh dibuat sewenang-wenang.

"Sebagai bekas menteri, adalah tidak logik untuk Hishammuddin tidak arif berkenaan peraturan ini," katanya yang menyokong siasatan segera oleh kementerian pertahanan.


Tiada ulasan: