Mujahid berkata teks khutbah seharusnya menjurus ke
arah kebaikan, bukannya melabel orang lain hanya kerana berbeza
pandangan politik.
Beliau berkata agama seharusnya bebas dan ia lebih tinggi darjatnya daripada semua perkara lain.
“Agama seharusnya bebas daripada unsur politik, termasuklah khutbah di mimbar masjid. Agama harus bebas daripada semua itu kerana ia lebih tinggi daripada semua,” kata Mujahid pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Mujahid berkata demikian mengulas dakwaan Amanah Kelantan bahawa PAS menggunakan khutbah hari raya Aidiladha untuk memfitnah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Naib pengerusinya, Che Ibrahim Mohamed semalam dilaporkan berkata, melalui teks khutbah yang dikeluarkan Dewan Ulama PAS Kelantan, PAS cuba menanam kebencian rakyat terhadap pemerintah dengan “menggunakan sentimen agama secara salah”.
Che Ibrahim berkata, khutbah itu menuduh kerajaan PH bertanggungjawab “menghalalkan LGBT”.
Bagaimanapun carian FMT di portal Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) tidak menemui teks khutbah hari raya Aidiladha yang dimaksudkan itu.
FMT sedang mendapatkam respon daripada PAS Kelantan dan Maik untuk mengesahkan teks khutbah yang dimaksudkan Amanah Kelantan.
Mengulas lanjut perkara itu, Mujahid berkata penyampaian teks khutbah juga seharusnya menjurus ke arah kebaikan, bukannya melabel pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik.
“Ia (teks khutbah) seharusnya menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada membina negara ini dan lebih penting jauhkan daripada melabel-labelkan kelompok tertentu hanya kerana berbeza pandang politik, apatah lagi menyebarkan fitnah yang tidak betul hanya untuk kepentingan politik.
“Itu sememangnya menjadi nasihat saya sejak dari awal memegang jawatan menteri agar agama tidak di politikkan,” kata naib presiden Amanah itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata beliau akan menyemak kenyataan Amanah Kelantan itu untuk tindakan lanjut.
“Saya baru balik dan sepanjang di Makkah saya lebih tertumpu kepada ibadah serta jemaah Haji.
“Saya akan semak apa isunya nanti bila masuk pejabat dan akan ambil langkah susulan jika benar terdapat dakwaan sedemikian,” katanya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan