HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Ogos 2018

Bukan saya arah pindah Zamihan, kata Mujahid

 
Zamihan merupakan antara 46 anggota panel pemulihan suspek bagi kes berkaitan militan di bawah Sosma.
 
 
 
Mujahid berkata, urusan pemindahan itu tertakluk kepada Kementerian Dalam Negeri.

SEPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan beliau mengarahkan pendakwah kontroversi, Dr Zamihan Mat Zin, dipindahkan semula ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam tempoh 24 jam selepas dilantik sebagai menteri.

Mujahid yang menafikan dakwaan itu berkata tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan memindahkan Zamihan ke Jakim dan sebarang urusan pemindahan itu tertakluk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya tidak tahu, tidak ada arahan pun daripada saya begitu. Itu urusan beliau (Zamihan) dengan kementerian (KDN),” katanya pada sidang media di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Makkah.

Sebelum ini, Zamihan mendakwa selepas Mujahid dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Jakim, beliau diarahkan pindah dari KDN ke Jakim dalam masa 24 jam.

Zamihan berkata beliau sendiri tidak tahu punca arahan penempatan semula ke Jakim dan usahanya mendapatkan penjelasan daripada Bahagian Sumber Manusia gagal.

Zamihan merupakan antara 46 anggota panel pemulihan suspek bagi kes berkaitan militan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).

Zamihan merupakan seorang pegawai Jakim sebelum dipinjamkan kepada KDN untuk menyemak penerbitan agama dan ditempatkan di Jabatan Penjara sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan Jabatan Penjara menamatkan kontrak Zamihan sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata beliau akan menunggu kenyataan daripada KDN sebelum mengulas lanjut mengenai isu pemindahan Zamihan ke Jakim.

“Saya pun dapat berita itu (pemindahan Zamihan) di Makkah. Saya perlukan maklumat lanjut.

“Cuma saya rasa pihak KDN juga akan keluarkan kenyataan kerana mereka ambil dia (Zamihan) daripada kita. Kita tunggu dulu,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: