HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Ogos 2018

RCI: Kadir Jasin setuju cadangan Najib tapi dengan 2 syarat

MALAYSIAKINI

   

Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri Datuk Kadir Jasin bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Najib Razak agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk projek Rel Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua saluran gas paip (SSER) di Sabah.

Namun beliau meletakkan dua syarat, iaitu projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) turut disertakan dalam RCI itu dan Najib perlu meminta ahli perniagaan Low Taek Jho untuk pulang ke Malaysia.

"Kita setuju dengan Najib berkenaan RCI ini kerana kita nak tahu pasal apa dia atau kerajaan BN buat 'perjanjian bodoh' dengan China dan Singapura.

"Adakah kerana kerajaan BN sudah tiada cara lain melainkan berhutang besar-besaran untuk bayar balik hutang 1MDB atau ada sebab lain kenapa Malaysia tunduk kepada China dan Singapura?" soal Kadir dalam artikel baru di blognya, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menyifatkan tindakan kerajaan dahulu ketika merunding kontrak ECRL dan SSER dengan China sebagai 'bodoh' kerana tanpa klausa keluar - menyebabkan Malaysia perlu membayar pampasan yang besar jika ia dibatalkan.

Katanya lagi, Malaysia juga perlu membayar pampasan besar jika HSR dibatalkan dan bagi SSER pula, dikatakan wang dibayar berdasarkan tempoh masa dan bukan perkembangan kemajuan kerja penyiapan.

Kadir berkata lagi, RCI tersebut dapat memberi penjelasan mengapa perjanjian seumpama itu dimeterai dengan negara luar.

"Jangan lupa - China negara besar, Singapura negara canggih. Kedua-duanya mempunyai sistem risikan luas dan rapi. Takut-takut ada rahsia pemimpin kita yang mereka simpan dan boleh digunakan untuk tujuan strategik," dakwanya lagi.

Jho Low pula merupakan individu utama dalam skandal 1MDB dan syarikat China sebelum ini didakwa membayar RM2.7 billion kepada 1MDB - dikatakan bagi pembelian tanah di Pulau Pinang - enam hari sebelum 1MDB membayar bahagian pertama daripada penyelesaian AS$1.2 bilion dengan IPIC.

China Petroleum Pipeline Bureau (CPP) kemudian menafikan pinjaman yang diterimanya telah dialihkan kepada syarikat China tersebut untuk pembelian tanah itu.

"Jika Najib tak bersalah, dia wajib bawa Jho Low balik untuk jadi saksimelainkan orang lain yang sebenarnya berkonspirasi dengan Jho Low.

"Keadaan kini lebih mendesak...kerana Jho Low sendiri dalam proses dituduh di mahkamah Malaysia. Jika Najib suruh Jho Low balik, bolehlah peguam-peguam mereka yang handal berpakat untuk mempertahankan mereka secara bersama," kata Kadir lagi.


Tiada ulasan: