SIK: Timbalan
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membidas Kerajaan
PH Kedah yang bercadang menggugurkan status lot Bumiputera untuk
kediaman dan komersil di negeri ini.
Menurut beliau, Kerajaan PAS Kedah pada
tahun 2008-2013 sangat sedar bahawa ada banyak unit bangunan kediaman
dan komersil di lot Bumiputera yang dibangunkan di Kedah, tidak mampu
dibeli oleh orang Melayu.
Ini kerana jelas beliau, harganya
terlalu mahal ataupun lokasi lot-lot tersebut kurang sesuai seperti
contoh lot yang dikhususkan sebagai kuota Bumiputera terperosok di
lorong belakang, mengadap tebing, tepi lereng dan seumpamanya.
"Pun begitu, kerajaan tetap
memperkenalkan polisi 50-50 berbeza daripada 30-70 kuota Bumiputera bagi
kediaman dan lot komersil yang dibangunkan di atas Tanah Rizab Melayu
(TRM) yang ditukar dengan TRM di tempat lain.
"Alasan utama kerajaan ialah memastikan
pemilikan hartanah yang seimbang antara kaum di sesuatu kawasan kerana
ianya penting untuk integrasi nasional. Alasan lain ialah sesuatu TRM
yang ditukar tidak boleh kehilangan milikan Melayu sehingga 70 peratus.
"Kerana tanah ganti dalam proses
pertukaran tidak lagi berada di lokasi strategik dan nilainya jauh lebih
rendah dan ini membuatkan kerajaan mesti mengelak daripada membenarkan
pola kependudukan dan pemilikan hartanah memisahkan rakyat negeri ini
berasaskan kaum," jelasnya yang juga Adun Jeneri.
Lanjut beliau, pemaju dan pejuang kaum
sering memberi alasan orang Melayu Bumiputera sudah memiliki tanah di
kampung yang luas, berstatus TRM, maka bukan bumiputera mesti diberi hak
dan peluang lebih banyak untuk membeli lot kediaman dan komersil di
bandar.
"Tetapi mereka lupa tanah TRM di kampung
berstatus pertanian, kawasan penghasilan makanan dan komoditi
pertanian, serta terikat kepada syarat kegunaan tanah berdasarkan Kanun
Tanah Negara (KTN) dan hanya satu perlima sahaja tanah bersyarat
pertanian dibenarkan untuk dibina bangunan.
"Jumlah penduduk berasaskan kaum juga
perlu diambil kira kerana kaum Melayu mewakili 75 peratus penduduk
Kedah, tidak termasuk orang Siam yang menerima status Bumiputera. Maka
polisi 50-50 jelas mewakili komposisi populasi rakyat Kedah.
"Pemaju mesti mematuhi polisi kerajaan,
bukan kerajaan menjadi alat kepada pemaju kerana polisi 50-50 adalah
pendorong proses pembangunan sesuatu kawasan baru, dan ianya mesti
mengambil kira keupayaan kuasa beli penduduk negeri Kedah.
"Jangan hanya fikirkan keuntungan
semata-mata, tetapi dalam masa yang sama membentuk senario yang
mengekang dan menghalang dasar perpaduan dan intergrasi nasional.
Terang beliau lagi, polisi 50-50
dibantah Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA), DAP,
MCA, komponen BN dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum Cina yang
lain.
Namun PKR pula katanya, hanya berdiam
diri, walaupun secara tidak terbuka turut menggesa Almarhun Tan Sri
Ustaz Azizan Abdul Razak mengkaji semula polisi tersebut.
"Untuk rekod, selepas PRU13, Kerajaan BN
pimpinan Dato' Seri Mukhriz Mahathir menghapuskan polisi 50-50 dan
mengembalikan semula polisi lama, termasuk membenarkan pembangunan di
atas tanah sawah padi.
"Kini kerajaan PH pula cuba membuka satu
lagi 'pintu kekuasaan dan kekayaan' kepada pemaju dan bukan bumiputera
di negeri ini, hanya akan menyebabkan mereka berseronok memalu gendang
raya dan tarian naga.
"Gemok montellah mereka berbanding
Melayu yang masih rendah kuasa beli akan kekal terperosok di kampung dan
pinggir hutan dan akan menyebabkan jurang pemisah antara kaum makin
melebar serta penguasaan lokasi strategik berasaskan kaum pun hampir
sempurna," sinis beliau.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Industri
dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah, Tan Kok
Yew berkata Kerajaan PH negeri Kedah bercadang untuk menggugurkan status
lot bumiputera di negeri ini.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas bagi
mempertimbangkan cadangan menggugurkan status lot bumiputera bagi lebih
1,000 unit kediaman dan komersil yang gagal dijual dalam tempoh sejak 10
tahun lalu akan ditubuhkan.
Sanusi yang juga merupakan Ketua
Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah menambah, jika tindakan
mempersoalkan langkah terbaru Kerajaan PH ini akan menyebabkan beliau
dituduh anti perniagaan dan rasis, maka beliau bersiap sedia untuk
menerimanya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan