HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Januari 2019

Kes petisyen p'raya Tasek Gelugor: Borang 14 dibuka

 
   

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membuka Borang 14, pilihan raya yang disimpan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Menurut peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili calon Bersatu Marzuki Yahya, borang yang telah disimpan di dalam sampul itu dibuka mulai jam 11 pagi dan prosesnya selesai pada 1:05 malam.

"Salinan diberikan kepada para peguam yang mewakili pihak terdiri daripada senator Marzuki dan ahli parlimen (Tasek Gelugor) Shahbuddin Yahaya.

"Kami mempunyai 10 hari atau lebih untuk kembali semula ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya apabila pengurusan kes ditetapkan pada 14 Januari nanti.

"Semua pihak diingatkan oleh mahkamah bahawa mereka terikat dengan kerahsiaan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk tidak mendedahkan apa-apa butiran," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata sekarang mereka perlu membandingkan dengan Borang 14 yang diberikan oleh SPR sebagai salinan mereka.

Pusat penjumlahan undi

Dilaporkan pada 21 Disember 2018, hakim Hashim Hamzah memerintahkan supaya borang 14 pilihan raya umum lalu yang telah disimpan supaya dibuka di hadapan penolong pendaftar dan peguam kanan kanan mahkamah tinggi hari ini.

Parlimen Tasek Gelugor merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Berangan, Sungai Dua, dan Telok Ayer Tawar.

Pada November 2018 lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan perbicaraan penuh untuk kes petisyen pilihan raya parlimen Tasek Gelugor, selepas membenarkan rayuan Marzuki.

Marzuki yang juga setiausaha agung Bersatu, tewas kepada Shahbudin dengan 81 undi pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Selepas PRU14, Marzuki dilantik sebagai senator di Dewan Negara dan menyertai kabinet sebagai timbalan menteri, manakala Shahbudin keluar Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Timbalan menteri mendakwa terdapat percanggahan dalam Borang 14 dengan keputusan yang ditunjukkan pada skrin di pusat penjumlahan undi.

Tiada ulasan: