Saya membaca keluhan dan kekecewaan YB Lim Kit Siang seperti berita yang tersiar di Malaysiakini bertarikh 28 Ogos lalu bertajuk Patutkah saya lupakan Malaysia Baru dan berundur, soal Kit Siang.
Saya rasa terpanggil untuk memberikan pandangan berhubung kenyataan itu.Saya sarankan YB melupakan sahaja retorik Malaysia Baru. Pasti YB sendiri sangat sedar bukan, bahawa Malaysia Baru itu tidak diasaskan pada pemikiran politik yang sebenar?
Pertama, tiada yang baru tentang Malaysia setelah kemenangan PH. Apa yang barunya tentang drama Anwar Ibrahim yang terus berharap untuk menggantikan Tun Mahathir? Maaf, setakat ini belum ada kekosongan jawatan.
Apa yang barunya dengan penipuan pemansuhan tol oleh Tony Pua, penghapusan bayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kos sara hidup yang tinggi?
Apa yang barunya dengan naratif kononnya Sabah dan Sarawak tidak terbela dengan baik?
Sedangkan kini sekolah-sekolah di Sarawak diugut oleh anak YB sendiri agar tidak diberikan bantuan sehinggalah hutang kerajaan negeri dilunaskan.
Apa yang barunya apabila berjuta peluang pekerjaan yang dijanjikan sebelum ini rupanya dijawab dengan memperkenalkan Gojek? Barangkali 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang dijanjikan untuk dibawa pulang sebelumnya kini akan berlumba-lumba pulang demi merebut peluang keemasan ini.
Apa yang barunya, jika YB sendiri gagal meyakinkan masyarakat Cina dan India untuk menerima khat di sekolah vernakular, sedangkan kalian mendendangkan Malaysia yang lebih terbuka, tidak rasis dan tidak prejudis?
Apa yang barunya apabila Ketua Pesuruhjaya
SPRM, Ketua Polis Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua
Pesuruhjaya SPAD, 13 pegawai penyelaras sukan negeri dan pelbagai
lantikan ke institusi awam dan akademik dibuat tanpa melalui proses dan
mekanisme yang kamu janjikan?
Malah, hampir kesemuanya adalah lantikan
politik dari kalangan parti dalam pakatan anda.
Yang peliknya, kini semua itu semakin digalakkan. Hinggakan pembinaan rumah kos rumah pun hendak diserahkan kepada kontraktor China.
Tiada menzalimi bangsa lain
Apa yang barunya tentang luar bandar Malaysia sekarang? Felda tidak bertambah baik. Harga sawit terus merudum. Hidup petani dan pesawah semakin sempit.
Kesemua ini adalah petunjuk jelas bahawa Malaysia Baru adalah gimik politik yang tidak boleh dipertahankan.
Kedua, saya ingin mengingatkan YB bahawa DAP selalu menggunakan alasan yang suhu perkauman di Malaysia semakin meningkat kerana pihak tertentu menggunakan sentimen perkauman.
Siapakah mereka itu YB? Umno-PAS atau Malaysiakini atau akhbar Cina? Atau YB, anak YB dan parti YB?
Biar saya nyatakan realitinya. Pergilah ke mana-mana sudut negara ini, tiada orang Melayu yang menzalimi bangsa Cina dan tiada orang Cina yang menzalimi bangsa Melayu atau India. Keadaan di lapangan sangat harmoni. Kebanyakan kami - rakyat di bawah - tidak melihat ras sebagai masalah harian dalam kehidupan Malaysia yang majmuk.
Orang Melayu terus ke kedai Cina, menggunakan kontraktor Cina dan setia berurusan dan menyimpan dengan bank-bank milik Cina. Orang Cina pula terus mengunjungi kedai nasi lemak Melayu, bersarapan roti canai di kedai India dan menaiki Grab yang dipandu orang Melayu.
Realitinya, kehidupan Malaysia muhibah. Hanya YB, anak YB dan rakan-rakan DAP sahaja yang terus meniupkan rasa khuatir seolah-olah suhu perkauman semakin meningkat, hanya kerana orang Melayu tidak mendukung PH.
Jangan YB lupa bahawa Dr Mahathir Mohamad pernah menjadi sebahagian daripada Perkasa, dan pernah dilabel oleh DAP sebagai ultra-Melayu. Nah, yang itulah sekarang pujaan hati YB dan sekutu.
YB bercakap tentang Malaysia Baru ialah YB, anak YB dan konco-konco YB. Seolah-olah YB adalah pejuang pembebasan yang terpenjara berpuluh tahun dan akhirnya setelah dibebaskan berjaya menumbang kerajaan yang zalim.
Biar saya ingatkan YB. Yang baru tidak semestinya baik dan yang lama tidak semestinya jelik. Pemikiran sebegini sangat songsang dan keanak-anakan.
Apakah YB lupa BN telah membina negara ini dengan jayanya? Jika tidak, masakan peralihan kuasa berlaku dengan aman dan baik. Jika tidak, masakan kerajaan dapat berfungsi seusai pilihan raya. Jika tidak, masakan wujud generasi yang sangat waras dan tegas menentang apa yang mereka anggap korupsi dan kejahatan.
Jika benar BN dan orang Melayu yang mendukung Umno ini terlalu jahat, tidak akan pernah wujud ruang peralihan kuasa dan pemugaran demokrasi di negara ini.
Setelah
BN tumbang, tidak ada satu pun tunjuk rasa yang Umno dan PAS anjurkan.
Kami sangat menghormati pilihan rakyat dan kami menerimanya dengan
berlapang dada.
Malangnya,
setelah lebih setahun memerintah dengan kualiti pentadbiran yang gagal,
maka cara paling mudah untuk mengalih ketidakpuasan hati rakyat ialah
mencari kambing hitam. YB enggan menerima hakikat bahawa yang
menggantikan kleptokrasi adalah kakistokrasi. Malah kini, pelbagai
episod video seks, jenayah seksual dan rujukan bahan lucah dilakukan
oleh anggota kerajaan. Seolah-olah, kakistokrasi kini berubah pula
menjadi pornokrasi.
Barangkali, para jemaah menteri yang bersijil palsu dengan kelayakan luar negara yang ditipu boleh memberikan pencerahan kepada kami yang hanya belajar dengan jujur di universiti tempatan.
Jika DAP bukan perkauman, masakan setelah 60 tahun, ia terus gagal meyakinkan orang Melayu untuk mendukung perjuangannya.
Jika DAP bukan perkauman, mengapa ia menjadi cacing kepanasan apabila perdana menteri menyelar Dong Zong sebagai rasis?
Jika DAP bukan perkauman, mengapa penyatuan orang Melayu Islam disamakan dengan gerakan pengganas?
Setelah 60 tahun, satu-satunya ‘jasa’ DAP adalah memastikan orang Cina hanya menyokong agenda rasis DAP. Sebab itu, sejak enam dekad sehinggalah setelah membentuk kerajaan PH, tiada Melayu atau India atau Iban atau Kadazan atau Orang Asli yang berbondong-bondong menyertai DAP.
Sebabnya mudah. Impian DAP tentang Malaysian Malaysia yang tidak beragama rasmi itu sangat terpisah dari realiti Malaysia.
Keempat, berundurlah YB. Malaysia memerlukan kesegaran baru. Malaysia berterima kasih kepada Mahathir, Anwar dan rakan seangkatan mereka kerana sama-sama menyumbang dalam mencorakkan politik Malaysia.
Tetapi, Malaysia ini bukan tentang anda semua selamanya. Malaysia bukan tentang legasi Tun Mahathir dan cita-cita Anwar. Negara ini memerlukan generasi pelapis untuk mengambil alih.
Kalau Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand hatta Vietnam sudah ada generasi pemimpin baharu, mengapa kita masih lagi bergantung harap pada sang negarawan yang dari generasi pertama.
Ingatlah YB, yang Malaysia perlukan bukan sekadar menukar nama, tetapi melebar makna dan menebar pesona. Itu, bukan sesuatu yang anda fahami. Apatah lagi miliki.
MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan