WAWANCARA | Kawasan campuran pilihan raya adalah salah satu cara untuk menghalang ahli politik berkempen di sepanjang garis perkauman dan agama, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
Saifuddin berkata akan terdapat lebih banyak kawasan campuran berbanding sekarang sekiranya tidak berlaku proses manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering) dan persempadanan tidak sekata (malapportionment).
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual berkumpulan yang diadakan di Wisma Putra baru-baru ini.
"Lihatlah kawasan parlimen kita pada pilihan raya umum lepas. Daripada 222 kerusi, hanya terdapat 83 kerusi yang benar-benar kerusi campuran.
"Apabila kita mempunyai lebih banyak kerusi campuran, dinamika kempen akan berbeza. Ahli politik akan digalakkan untuk berkempen merentasi garisan kaum.
"Sesiapa yang berkempen dengan agenda perkauman yang melampau tidak akan berjaya kerana kawasan campuran," katanya.
Menteri itu menambah beliau berharap SPR akan memandang serius perkara itu.
Persempadanan semula pilihan raya yang terakhir dilakukan pada 2017 iaitu sebelum pilihan raya umum ke-14.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, sempadan pilihan raya hanya boleh dilakukan sekali setiap lapan tahun.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata
persempadanan semula baru sebelum tempoh tersebut akan bercanggah
perlembagaan, namun mengatakan undang-undang tersebut pada masa ini akan
diperhalusi semula.
Sekiranya mereka berkempen merentasi garisan perkauman, ahli politik akan lebih berkemungkinan menyertai parti berbilang kaum, katanya.
"Saya selalu menyokong parti berbilang kaum, saya tahu orang akan tanya saya, kenapa kamu menyertai Umno? Saya menyertai Umno kerana saya mahu jadi ahli BN, saya tidak boleh jadi ahli BN secara langsung.
"Tetapi kamu memerlukan parti politik yang berbilang kaum," katanya.
Sistem demokrasi
Saifuddin juga percaya projek paling penting di Malaysia adalah untuk membina sistem demokrasi berdasarkan nilai-nilai yang dikongsi oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang mereka.
"Ini satu projek besar. Ia adalah sesuatu yang perlu kita lakukan, dan ia melangkaui mengambil tindakan terhadap satu atau dua orang dan lebih daripada sekadar ekonomi.
"Ia untuk membina sistem demokrasi yang baru, dan inilah sebabnya saya fikir pembaharuan politik dan pembaharuan institusi yang berkaitan dengan sistem demokrasi adalah projek yang berterusan.
"Ini bukan mengenai siapa yang akan menang pilihan raya.
Rakyat Malaysia mahu politik dan sistem demokrasi untuk mewakili profil
masyarakat Malaysia,"katanya.
Peringkat pertama adalah hari-hari awal demokrasi ketika negara baru dibentuk, sementara tahap kedua adalah ketika negara mula menguatkan institusi demokrasi seperti parlimen, sistem pilihan raya dan parti.
"Kita kini, dalam fikiran saya, pada peringkat ketiga, ia adalah mengenai pembaharuan dan peluasan penglibatan rakyat," katanya.
Katanya, penglibatan masyarakat berlaku apabila kerajaan terlibat dengan lebih banyak komuniti perniagaan dan masyarakat sivil.
"Saya tidak mengatakan BN tidak melakukan ini sama sekali. Mereka mempunyai beberapa contoh di mana mereka juga berunding dengan masyarakat sivil dan komuniti perniagaan, tetapi tidak dengan cara yang besar seperti kita lakukan sekarang.
"Jika kamu perhatikan sekarang, kebanyakan kementerian mempunyai jawatankuasa perundingan mereka sendiri. Wisma Putra mempunyai majlis perundingannya sendiri. Kita tidak pernah ada sebelum ini, "katanya.
Sementara itu Saifuddin juga bercakap mengenai patriotisme dan bagaimana rasa cinta kepada negara harus diterjemah setiap warganegara dengan cara mereka sendiri.
Bukan sekadar menaikkan bendera dan nyanyian Negaraku, beliau berkata seseorang individu harus berusaha menjadi warga negara yang mematuhi undang-undang dan menyumbang dengan cara apa sekalipun kepada negara ini.
"Ini tidak bermakna jika kamu seorang ahli sains, maka kamu kurang patriotik berbanding rakan kamu yang menjadi askar.
"Jadi semua orang harus menjadi patriotik dan semua orang harus menyumbang dengan apa jua cara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan