HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 September 2019

FAM hantar 6 pemain muda berguru di Jepun


   

Enam pemain muda skuad bola sepak negara - termasuk bintang skuad bawah 18 tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin - mendapat peluang keemasan untuk berguru di Jepun secara berperingkat bermula Selasa ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata ia adalah hasil kerjasama dimeterai ketika delegasi FAM diketuai presidennya, Hamidin Mohd Amin, mengadakan perbincangan dua hala dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) selama lima hari di Tokyo bermula 26 Ogos lalu.

Kunjungan itu adalah susulan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 5 April lalu.

Beliau berkata Luqman, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari akan menimba ilmu dengan Cerezo Osaka bermula 3 hingga 13 Sept ini.

Peringkat kedua pula, katanya, bakal menyaksikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili bersama Luqman sekali lagi akan ke JFA Academy dan FC Tokyo pada Okt depan.

"Nama-nama ini dipilih selepas saringan berdasarkan prestasi pemain yang dipantau FAM, Akademi Mokhtar Dahari dan Pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)," katanya menerusi kenyataan.

"Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang untuk beraksi di Liga Jepun pada masa akan datang," tambahnya.- Bernama


Tiada ulasan: