Sejarah buktikan bangsa berjaya sentiasa lakukan perubahan: Agong
PUTRAJAYA– Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk berhijrah membentuk
sebuah negara yang maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh
bersempena dengan sambutan Maal Hijrah 1441H.
Seri
Paduka bertitah, penghijrahan negara ke tahap yang lebih tinggi akan boleh
dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang
kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara.
“Dalam
kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi
serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan
tuntutan agama dan hukum Allah,” titah Seri Paduka bersempena perhimpunan
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini.
Raja
Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan
berangkat ke majlis tersebut. Turut hadir ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Sultan
Abdullah bertitah gagasan idea ‘Rahmatan-Lil-Alamin’ yang diketengahkan juga
boleh membawa konsep hidup bermasyarakat kepada tahap yang lebih tinggi, di
mana konsep tersebut telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang
bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.
Titah
Seri Paduka, semenjak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun yang lalu, Malaysia
telah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang amat menakjubkan.
“Negara
telah melalui pembangunan fizikal yang pesat, peningkatan ekonomi yang mampan
dan juga kematangan landskap politik,” titah Sultan Abdullah, di mana pada
hemat Seri Paduka, masih terdapat banyak ruang lagi untuk melakukan hijrah
bersama-sama.
Titah
Seri Paduka, pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran serta
pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan.
Sultan
Abdullah turut menegaskan bahawa pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya
integriti yang tinggi adalah merupakan penghijrahan yang tempang.
Menyokong
usaha meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu Maqasid
Syariah, Seri Paduka bertitah melalui pendekatan itu, penghijrahan tertinggi
yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan
dalam setiap jiwa rakyat di negara ini.
“Sejarah
telah membuktikan bahawa bangsa dan masyarakat yang berjaya, sentiasa melakukan
perubahan dan penghijrahan,” titah Sultan Abdullah. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan