HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Oktober 2019

Ahmad Maslan tawar konsultan percuma jika GST dilaksanakan semula

Muhammad Azizul Osman
MGF07102019_SIDANG-PARLIMEN_28
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika hadir pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menawarkan khidmat konsultan secara percuma kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika mahu melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

“Saya adalah individu yang paling gembira kalau GST dikembalikan oleh kerajaan. Saya kira cadangan-cadangan daripada pihak khasnya  MIER  perlu diteliti kerajaan.

“Saya percaya seratus peratus bahawa 170 negara jika dibanding 194 negara di dalam PBB iaitu 88 peratus negara di dunia yang laksana GST tidak silap. Yang silap adalah pihak yang melaksanakan SST.

“Jadi saya ingin mengesyorkan kepada kerajaan jika mahu GST dilaksanakan semula, saya boleh jadi konsultan kepada mereka secara percuma untuk saya berceramah dan menjelaskan kepada rakyat tentang baiknya GST,’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, Ahmad berkata kadar 3 peratus yang diwar-warkan akan dilaksanakan adalah terlalu kecil.

“Mungkin boleh naik kepada 5 peratus. Kalau tidak, kerajaan tidak akan mendapat pendapatan sewajarnya.

“Pendapatan itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, minggu lalu berkata kerajaan sedia mengkaji semula pelaksanaan GST sekiranya itu kehendak rakyat.

Dr Mahathir berkata kajian itu bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST). -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: