HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Oktober 2019

CUEPACS kecewa 9 institut latihan KKM ditutup, 375 kakitangan terjejas

Mohd Zaini Samsu Hadi
MG041019_SIDANG-MEDIA-CUEPACS07
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda (tengah) bercakap pada sidang media mengenai gabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah sekeras-kerasnya langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menutup sembilan buah institut latihannya pada Julai lalu.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, penutupan tersebut telah menjejaskan sekurang-kurangnya 375 kakitangan di institut tersebut yang merupakan pakar dalam bidang kesihatan dan mempunyai kemahiran tinggi setanding peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, meskipun mereka bukanlah kakitangan awam yang dibuang daripada perjawatan namun penutupan itu telah memberi mereka tekanan kerana walaupun dipindahkan, mereka ditempatkan di satu lokasi yang jauh dan ada pula dihantar ke negeri lain.

“Hari ini CUEPACS melahirkan rasa kecewa dan dukacita kerana setelah begitu lama di Malaysia kami berkhidmat untuk melahirkan pekerja-pekerja yang pakar bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dalam negara ini dengan mencapai tahap piawaian yang tinggi, tapi, akhirnya peluang ini tak ada lagi.

“Yang pastinya sumbangan ILKKM ini sama dengan standard antarabangsa. Kalau ini kepentingan rakyat sepatutnya ia tidak ditutup. Hari ini, pekerja kerajaan hendak ditukar tempat kerja dengan jawatan yang rendah. Apa kehendak disebaliknya nak suruh mereka berhenti?” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Azih bersama pimpanan CUEPACS mengadakan pertemuan dengan 20 orang wakil kepimpinan kesatuan yang berada dibawah bumbung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pertemuan itu diadakan bagi meluahkan rasa kecewa mereka terhadap langkah KKM yang telah menutup sembilan buah institut latihan pengajaran pada Julai lalu.

Mereka mendakwa, tidak ada sebarang perbincangan dibuat oleh pihak KKM berhubung penutupan itu dan ia dibuat secara mengejut.

Dalam pada itu, Azih menggesa KKM membuka semula sembilan buah institut yang telah ditutup demi menjaga kebajikan kakitangan terlibat.

Malah, cadangan untuk menutup sebanyak 19 lagi institut perlu dihentikan kerana ia merupakan satu tindakan tidak wajar.

Sehubungan itu, Azih berkata, pihaknya sedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bagi membincangkan perkara tersebut dalam usaha mencari jalan penyelesaian yang lebih baik. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: