HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Jun 2009

PKR ulangi pendirian mansuhkan PPSMI

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita sekali lagi ulangi desakan ini. Kita tuntut Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, jangan lengah-lengahkan lagi dan laksanakan segera dasar pendidikan kebangsaan dengan mengembalikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mendaulatkannya sebagai bahasa rasmi dalam sistem pendidikan kita.

"Kita minta mereka (kerajaan BN) kembali mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dalam Bahasa Melayu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata parti itu turut menggesa kerajaan BN, mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dalam bahasa ibunda masing-masing.

Menurutnya, perkara tersebut telah menjadi satu kontroversi sejak memberi kesan negatif apabila berlakunya kemerosotan serius dalam penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar yang di luar bandar.

"Ini kami anggap pengkhianatan terhadap dasar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini," katanya.

Minggu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan mengenai PPSMI akan diumumkan awal bulan depan selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada Kabinet.

Menurut Muhyiddin, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Anwar yang Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, PKR bersetuju dengan cadangan kerajaan BN untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah terutamanya di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi.

"Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan penguasaan guru-guru Bahasa Inggeris terutamanya di kawasan pendalaman.

"Tapi kita ingin beri amaran kepada BN jangan melakukan kesilapan besar untuk mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris di peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) secara terburu-buru kerana ini akan membebankan pelajar di sekolah luar bandar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata berharap kerajaan telus dalam melaksanakan dasar memberikan biasiswa nasional yang berdasarkan sepenuhnya kepada merit.

"Mereka (kerajaan BN) harus ada program yang mengambil kira hak semua rakyat mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing. Di samping itu, kita harus membantu rakyat miskin yang terpinggir, golongan seperti ini harus dibantu," katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu pemberian biasiswa berasaskan kepada merit mulai tahun depan.

Semalam, Najib berkata biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar-pelajar terbaik yang layak dan tanpa mengira kaum.

Anwar sokong syor Nik Aziz mahu debat dengan PM

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut baik cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi menyelesaikan kemelut politik kedua-dua parti.

"Pada pendapat saya adalah lebih baik beliau berdebat secara terbuka kerana ini dapat mengurangkan media Umno-Barisan Nasional (BN) salah tafsir dan membuat fitnah terhadap kenyataan-kenyataan beliau (Nik Aziz)," katanya.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang ingin mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno dan PAS.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jalan terbaik adalah mengadakan dialog secara terbuka supaya tidak ada pihak yang boleh memutarbelitkan fakta dalam perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, mengenai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai ini, Anwar berkata, PKR akan memberi sokongan penuh kepada PAS dalam membantu parti itu memenangi pilihan raya kecil tersebut.

"Kita akan beri sokongan penuh kepada PAS. Insya-Allah kita yakin PAS akan dapat pertahankan kerusi kawasan tersebut.

"Kita akan beri sokongan dalam apa jua bentuk kerjasama kepada calon PAS di Manek Urai," katanya. Kelmarin, pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah dinamakan sebagai calon parti itu.

Hari ini, Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dipilih sebagai calon BN.

Jadi ‘wanita’ dalam 24 jam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Golongan lelaki berperwatakan lembut sanggup menggunakan sejenis krim hormon ajaib yang didakwa mampu menukar bentuk tubuh mereka kepada wanita dalam tempoh hanya 24 jam.

Krim hormon mencecah RM800 yang dikilangkan secara haram di pinggir ibu kota itu didakwa mampu menumbuhkan payudara selain menyebabkan individu yang memakainya berubah menjadi montok mengalahkan wanita sejati.

Difahamkan, krim hormon haram itu dikesan mula dijual beberapa salun kecantikan yang menyedari krim berkenaan mendapat permintaan tinggi daripada golongan itu yang `terdesak' untuk mengubah jantina tanpa membuang alat kelamin.

Kegiatan salun menjual hormon wanita haram itu dikesan selepas Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan serbuan mengejut kira-kira jam 11 pagi, beberapa hari lalu di premis yang terletak di Chow Kit, di sini.

Sumber berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat pemilik salun itu menjual hormon yang didapati tidak berdaftar dengan KKM.

“Hasil pemeriksaan, pegawai farmasi menemui beberapa tiub berbentuk alat suntikan yang mempunyai krim berwarna putih di dalamnya. Bagaimanapun, selepas disiasat krim itu hormon progesterone dan testosterone,” katanya.

Menurutnya, salun berkenaan milik seorang wanita dipercayai menjalankan kegiatan menjual dan menyapu krim berkenaan pada tubuh dan wajah pelanggan dengan mengenakan bayaran tinggi.

“Hasil pemeriksaan di salun terbabit, pegawai farmasi merampas 15 picagari mengandungi krim berkenaan yang disimpan dalam kotak.

“Semua krim itu dianggarkan bernilai RM4,000 dan dipercayai dibekalkan sebuah syarikat tempatan di Jalan Klang Lama yang mengilangnya secara haram,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa berusaha menjejaki kilang berkenaan sebelum melakukan serbuan mengejut dan mendapati premis terbabit menghasilkan produk tidak dilesenkan.

“Hasil serbuan itu, pegawai Farmasi merampas lebih 100 picagari dan pelbagai bahan mentah diseludup yang dikenal pasti digunakan untuk menghasilkan krim hormon berkenaan. Semua rampasan dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya.

Krim hormon haram itu dikesan berbahaya berikutan ia boleh menyebabkan emosi tidak stabil serta meningkatkan sel darah merah dalam tubuh. Ia juga boleh menyebabkan kemandulan jika diambil diambil secara tetap.

Krim hormon tidak berdaftar dengan KKM itu turut berupaya merangsang penyakit berbahaya pada payudara, alat sulit hingga membawa kepada risiko kanser.

Kami tak takut

Oleh Abu Bakar Al Sidek


TELUK INTAN: “Sila ambil gambar kami bang! Siarlah dalam surat khabar...kami tak takut. Lagipun, kami nak berhenti sekolah,” itu antara kata-kata beberapa pelajar sekolah yang ponteng di lokasi tersembunyi sekitar pekan Sungai Manik, dekat sini.

Sekumpulan lima hingga enam pelajar terbabit turut melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih kepada wartawan sebelum menunggang basikal meninggalkan lokasi persembunyian di sebuah ladang kelapa sawit selepas menukar pakaian sekolah.

Fenomena ponteng di kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan bandar ini dan Taiping semakin teruk dan membimbangkan ibu bapa serta Jabatan Pendidikan Daerah Hilir Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) Kampung Bahagia, Tajul Hasnan Mohd Rashid, 64, berkata gejala ponteng membabitkan beberapa sekolah menengah di bandar ini semakin serius sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, hairannya tidak ada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu oleh pihak berkaitan.

Katanya, pihaknya juga mengesan sekumpulan pelajar terbabit dipercayai berasal dari Kampung Bahagia serta Sungai Manik menjadikan kafe siber di beberapa pasar raya di bandar Taiping sebagai lokasi ‘berseronok’.

“Sebelum ke lokasi itu, mereka menjadikan beberapa kawasan kunci air seperti Kunci Air Sungai Suli, Kunci Air Kampung Kebun Limau dan rumah kosong sekitar Kampung Bahagia untuk menyalin pakaian.

“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak dan ibu bapa pelajar terbabit, tetapi tidak ada tindakan diambil pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lebih mengecewakan, apabila aduan dibuat kepada ibu bapa, mereka membela anak masing-masing dan tidak mempercayai perbuatan itu dilakukan anak mereka.

“Ada ibu bapa mengatakan anak mereka ke sekolah dan pulang selepas waktu sekolah, tetapi tidak sedar mereka ditipu,” katanya.

Tajul Hasnan berkata, masalah itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat JKKP dan sudah membuat aduan ke pejabat pendidikan daerah.

Namun, tidak ada sebarang tindakan diambil, malah kegiatan ponteng itu terus berlaku.

Bekas penagih bakal ganti buruh asing: Razali

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR- Kebanjiran buruh asing di dalam negara mengakibatkan ruang untuk bekas penagih memulakan hidup baru sedikit sebanyak terganggu kerana kesukaran memperolehi pekerjaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, pandangan masyarakat terhadap bekas penagih sangat mendukacitakan sehingga mereka gagal memperoleh sebarang pekerjaan setelah keluar dari pusat serenti.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan golongan ini terdedah semula dengan gejala yang tidak sihat ini.

“Bagi merealisasikan perkara tersebut, Pemuda UMNO akan mengadakan mesyuarat bersama- sama dengan kementerian yang terlibat bagi membawa perkara ini untuk mencapai jalan penyelesaian,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Terapi Kekeluargaan Pusat Serenti Sungai Besi di sini, semalam.

Sambutan itu diadakan bagi meraikan kejayaan bekas penagih bebas daripada dadah dan seramai 60 bekas pelatih dipilih untuk menerima Anugerah Kepulihan Cemerlang. Keluarga pelatih Pusat Serenti tersebut turut di undang untuk memeriahkan majlis tersebut.

Razali berkata, Kementerian Sumber Manusia mewujudkan Skim Pekerja Asing dan sewajarnya mewujudkan skim pekerja bekas penagih.

“Ia memerlukan perbincangan lanjut dengan pelbagai kementerian bagi membantu golongan ini terus dapat berkhidmat kepada negara walaupun di sektor perladangan, pembinaan dan industri pembuatan,” katanya.

Ketika mengulas keengganan majikan memberikan kerjasama terhadap bekas penagih, Razali menyifatkan majikan tersebut mempunyai masalah.

“Apa bezanya mereka dengan kita? Mereka juga rakyat negara ini yang tidak boleh disisihkan dan majikan perlu membuang stereotaip terhadap mereka,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, selain dapat menyekat wang keluar ke negara buruh asing, ia memudahkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memantau perkembangan dan pergerakan mereka dengan sistematik.

“Jika perkara ini berjaya dilaksanakan, dengan mudah AADK dapat memantau mereka berbanding sekarang, AADK perlu menjejaki mereka sekiranya tidak lapor diri setiap bulan,” katanya

Skandal Pertanian Bakal Meletup !

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU – Pelbagai projek pertanian yang dirancang oleh kerajaan sehingga kini tidak membuahkan hasil sebagaimana yang disasarkan. Dasar Jaminan Bekalan Makanan yang akan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dalam Negara masih jauh dari sasaran.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar pada 22 Jun lalu, mengaku terdapat banyak penyelewengan dalam projek-projek pertanian kerajaan khususnya penyelewengan dalam Projek 'Contract Farming' dan 'mentor mentee'.

Beliau berkata dalam usaha kerajaan menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang pertanian, ia tidak seharusnya dicemari dengan penyelewengan oleh pihak tertentu yang menyalahguna kemudahan pemberian kerajaan.

Beliau memberi contoh sesetengah pihak yang mengambil kesempatan daripada program 'contract farming' untuk mendapat pelbagai kemudahan kerajaan dan kemudiannya mengekploitasi penglibatan orang ramai dalam projek mereka.

"Akhirnya orang ramai dibekalkan dengan benih (tanaman) sahaja, tetapi hasilnya terpaksa dijual sendiri," katanya dalam ucapan beliau pada majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Wisma Tani.

Namun begitu, samada Noh sebagai Menteri atau Timbalannya, Datuk Johari Baharum yang membaca teks beliau, tidak mencadangkan supaya siasatan dibuat dan tindakan diambil terhadap penyelewengan yang berlaku.

Noh hanya mencadangkan supaya projek 'Contract Farming' dan 'mentor mentee' di kaji semula.

Manakala di Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat hanya mampu mengeluarkan kenyataan menyokong apa yang diperkatakan oleh Noh.

Menurut Rozi, kerajaan memandang serius isu itu bagi menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang pertanian.

“Ia tidak wajar berlaku. Saya kesal jika benar ada penyelewengan di sebalik kemudahan diberikan kerajaan. Langkah kementerian mengkaji semula kedua projek itu amat dialu-alukan dalam usaha mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Rozi hanya mampu menjadi Pak Dogol yang menjadi ‘yes man’ atas apa sahaja yang diperkatakan oleh Pak Menteri itu.

Sedangkan penyelewengan yang berlaku dalam sektor pertanian sudah bertahun-tahun dan membazirkan jutaan ringgit wang rakyat. Kalau tidak percaya, tanyalah orang kampung dimerata ceruk rantau !

Rakyat umumnya sudah maklum, siapa yang membolot keuntungan melalui pengagihan subsidi inpt petanian; baja, benih dan racun setiap tahun!

Ada senarai nama yang terus menerima bantuan input tersebut, walaupun diketahui tidak menjalankan usaha pertanian langsung.

Berguni-guni baja padi (cap dacing) dilambakkan dibawah-bawah rumah yang bukan pesawah padi.

Berekor-ekor bantuan anak lembu, ayam, itik dan kambing diberikan kepada orang yang sama setiap tahun.

Bukankah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mengatur segalanya ??

Apa yang berlaku kepada subsidi baja, benih, racun, anak itik, ayam, kambing, lembu, ikan dan jentera yang diberikan kepada bukan petani, penternak dan peladang?

Soalan mudah ini tidak perlu menggunakan khidmat perunding professional untuk mendapatkan jawapannya.

Pergi sahaja ke kampong-kampung, buat tinjauan dimana-mana rumah yang ada timbunan baja dibawah rumah, tawarkan beberapa ringgit untuk membeli baja itu! Pasti baja subsidi yang di bekalkan oleh agensi-agensi kerajaan dengan wang rakyat itu dapat dibeli paling tinggi, 25% lebih murah dari harga pasaran!

Terlalu banyak kes yang berlaku dimana, bukan sahaja lembu pawah dijual orang, malah jentera pertanian, pembajak dan traktor boleh dibeli dengan harga yang lebih murah.

Namun nama-nama hebat terus diberikan kepada projek-projek pertanian dan berita-berita ‘gelembung’ terus dipaparkan di dada-dada akhbar.

Antaranya SUTRATANI, Projek Fertigasi Mega, Jagung Hybrid, Serai Wangi Komersial, Strawberry tanah rendah, Zon Industri Akuakultur (ZIA), Mikro Kaprima

Pasti kita tidak lupa tentang berita tentang Projek Fertigasi Mega dimana Melon ‘Golden Langkawi’ dari Terengganu yang di ekspot ke Eropah, hebat bukan?

Kediaman kakitangan JKR serba kekurangan

Oleh Azman Mahmood


KUALA LUMPUR: Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang membuat lawatan kerja ke kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 2 1/2 Jalan Cheras di sini semalam, terkejut apabila melihat kediaman kakitangan jabatan itu serba kekurangan, berkeadaan usang dan saiz lebih kecil daripada rumah kos rendah.

Shaziman juga tidak berpuas hati dengan persekitaran kuarters berkenaan yang membabitkan laluan antara tiga blok itu kerana kotor dengan longkang tersumbat, semak dan boleh menjadi sarang ular serta tikus.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan JKR Wilayah Persekutuan mengambil langkah segera membersihkan sekitar kuarters terbabit supaya selamat diami sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya kagum kemajuan Kementerian Kerja Raya membina bangunan tinggi dan jalan yang hebat. Jadi, kita nak tahu juga bagaimana tempat tinggal kakitangan bawahan yang juga keluarga saya (Kementerian Kerjaraya).

“Jadi, untuk mengenali mereka lebih dekat, saya ambil sedikit masa meninjau kuarters kakitangan JKR di sini hari ini (semalam) dan saya dimaklumkan kuarters ini dibina sejak tahun 50-an dengan keluasan hanya 418 kaki persegi, lebih kecil daripada rumah kos rendah dan pada peringkat awal dibina dengan satu bilik.

“Yang jelas kuarters ini sudah tidak sesuai lagi didiami,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kuarters berkenaan selama kira-kira sejam, semalam. Kuarters berkenaan didiami kira-kira 50 keluarga yang menempatkan kakitangan Kumpulan Sokongan Dua, terdiri daripada pekerja bahagian pertukangan, tukang cat dan pemandu.

Difahamkan sebelum ini kawasan kuarters itu yang keseluruhannya seluas 0.8 hektar termasuk dalam perancangan kementerian berkenaan untuk pembangunan semula dengan pembinaan rumah pangsa sembilan tingkat untuk kakitangan Kumpulan Sokongan Dua berkenaan.

Shaziman berkata, perancangan baru akan dirangka untuk menjaga kebajikan kakitangan JKR di situ dan perkara itu akan dibincang di peringkat kementerian termasuk melihat peruntukan sedia ada atau akan dimasukkan ke dalam projek Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Yang penting kita berusaha memberi keselesaan kepada kakitangan bawahan. Jadi, saya akan cari jalan penyelesaian dan memberi pertimbangkan sewajarnya untuk menjaga kebajikan kakitangan di sini,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan RM18 juta yang dikatakan disediakan untuk meningkatkan kemudahan tempat tinggal di kuarters berkenaan, katanya memang ada perancangan membangunkan kawasan itu untuk dijadikan kediaman lebih selesa bagi kakitangan JKR terbabit, tetapi tidak mendapat persetujuan kementerian.

Pelancong tiga negara batal lawat Malaysia

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Industri pelancongan di negara ini mula menerima kesan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) apabila ramai pelancong dari China, Jepun dan Korea membatalkan tempahan pakej melawat Malaysia sepanjang Julai ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, laporan dari pejabat Tourism Malaysia di China memaklumkan 50 peratus tempahan melawat Malaysia telah dibatalkan.

Menurut beliau, di Jepun pula 2,000 pakej pelancongan melawat negara ini juga turut dibatalkan.

"Keadaan yang serupa juga berlaku di Korea, Taiwan dan Hong Kong apabila agensi-agensi pelancongan memaklumkan beberapa pakej pelancongan ke Malaysia mengalami nasib yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat pelancongan Melaka oleh Majlis Tindakan Pelancongan negeri di sini hari ini.

Menurut Yen Yen, kementerian menjangkakan kedatangan pelancong dari luar melawat negara ini akan terus berkurangan bermula bulan depan berdasarkan laporan yang diterima setakat ini.

Keadaan itu, kata beliau, jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan industri pelancongan di negara ini akan terjejas teruk.

Tambahnya, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Krisis Pelancongan akan diadakan di kementerian itu esok bagi mencari jalan terbaik menyelamatkan industri pelancongan di negara ini.

"Mesyuarat ini akan dihadiri oleh semua agensi berkaitan dengan pelancongan termasuk pemilik-pemilik hotel dan syarikat penerbangan," katanya.

Sementara itu, kata Yen Yen, industri pelancongan domestik menunjukkan peningkatan mendadak kerana rakyat negara ini tidak lagi melancong ke luar negara akibat penularan selesema babi.

UMNO, Pas perlu bincang - Pak Lah

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan UMNO dan Pas supaya mencari jalan menyelesaikan isu kepentingan orang Melayu melalui perbincangan bukannya berdebat secara terbuka.

Menurutnya, UMNO dan Pas perlu memilih pendekatan secara muafakat atas semangat persaudaraan sesama Islam bagi menyelesaikan pelbagai isu yang menimbulkan kebimbangan di kalangan orang Melayu kebelakangan ini.

"Saya rasa tidak perlu pendekatan itu (berdebat) kerana lebih baik kedua-duanya (UMNO dan Pas) duduk berbincang masalah yang ada dan mewujudkan persefahaman.

"Kita perlu selesaikan perkara-perkara yang menimbulkan percanggahan dan pendirian termasuk yang membabitkan soal agama," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat secara terbuka berhubung kemelut yang melanda kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Abdullah berkata, UMNO dan Pas memainkan peranan cukup besar untuk mewujudkan persefahaman di kalangan orang Melayu lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama.

"Sudah ada kecenderungan orang Melayu boleh bertelagah soal agama, (justeru) UMNO dan Pas perlu mewujudkan persefahaman agar orang Melayu tidak berbalah mengenai isu sebegini," jelasnya.

Katanya, kesepakatan UMNO dan Pas dalam membincangkan isu-isu secara bersama mampu menyediakan asas yang kukuh untuk mewujudkan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan orang Melayu.

Abdullah menambah, walaupun perpaduan menjadi keutamaan dalam asas perbincangan antara UMNO dan Pas, ia tidak bermakna kedua-dua parti itu tidak boleh berbeza pandangan dalam isu-isu tertentu.

"Perpaduan tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan, tetapi bila ia menyentuh soal agama dan bangsa maka kita perlu bersama-sama selesaikan," ujarnya.

Mengenai cadangan kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas, beliau berkata, langkah permulaan perlu dibuat bagi membincangkan isu-isu penting membabitkan orang Melayu.

Ditanya mengenai tindakan Nik Abdul Aziz yang menyamakan UMNO sebagai pergerakan komunis dan ajaran sesat, beliau berkata:

"Dia (Nik Abdul Aziz) terlajak cakap kot, tidak baik buat tuduhan seumpama itu."

Keputusan bekukan penghantaran amah ke Malaysia kekal – Duta

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Indonesia kekal dengan keputusannya untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sehingga satu kata putus dibuat menerusi perbincangan khas kedua-dua pihak minggu depan.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, pihaknya belum yakin bahawa Malaysia boleh menjaga kebajikan pembantu rumahnya sehingga satu jaminan keselamatan termeterai dalam perbincangan khas itu.

Sehubungan itu, katanya, semua agensi pekerjaan di republik tersebut telah diarah untuk menghentikan sebarang aktiviti merekrut tenaga buruh baru khususnya pembantu rumah bagi dibekalkan ke negara ini.

“Bagaimanapun bagi bakal pembantu rumah yang sudah melalui proses pemilihan, kursus dan latihan yang dikendalikan agensi pekerjaan di Indonesia, mereka masih dibenarkan untuk di bawa masuk ke negara ini.

“Ini kerana mereka telah pun membayar wang kursus dan latihan pembantu rumah malah telah menghabiskan banyak masa untuk tujuan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia di sini hari ini.