HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2021

Tukar peranan Noor Hisham dengan orang lain – Khaled Nordin

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
MOHAMED KHALED NORDIN

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan melantik ‘jeneral’ baharu yang berperanan merangka strategi dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tanggungjawab itu antara bagi memimpin pasukan merentasi kementerian, pelbagai jabatan dan agensi untuk segera bertindak balas terhadap perubahan pandemik yang tidak menentu.

Kata beliau, cadangan itu termasuk menyelaras tindak balas antara semua bidang termasuk kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan ekonomi negara.

“Ini bukanlah bermaksud menggantikan peranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Beliau telah melaksanakan tugas dengan luar biasa dan harus dipuji namun beliau tidak harus terikat dengan isu pandemik Covid-19 sahaja.

“Institut dan industri kesihatan jauh lebih besar daripada pandemik ini. Masalah kesihatan lain juga memerlukan perhatian yang setimpal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sudah hampir setahun berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tetapi setakat ini tidak banyak tanda yang menunjukkan perkembangan.

Katanya, kerajaan perlu mempertimbang reformasi institusi dan struktur lebih drastik melihat keadaan ekonomi telah terencat, sistem pendidikan yang gagal dan institusi kebajikan tidak dapat melindungi semua rakyat yang terdedah.

“Sememangnya, kerajaan cuba melakukan yang terbaik tetapi tanpa ‘Chief in Command’ yang layak untuk menyatukan dan menyelaras usaha pelbagai pihak, semua ikhtiar tidak akan dapat menghasilkan perubahan berimpak besar dan lestari.

“Kita harus berhati-hati untuk tidak meluaskan kebergantungan pada usaha amal sukarela dan sebaliknya, mula membuat rancangan teliti untuk mengatasi akar permasalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

COVID-19: Hentikan pengumuman harian jangkitan di televisyen - Syed Ali

Astro Awani
COVID-19: Hentikan pengumuman harian jangkitan di televisyen - Syed Ali
SYED ALI: Pengumuman harian jangkitan COVID-19 di televisyen seolah-olah 
memberi gambaran kerajaan telah gagal menangani isu ini. - Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran segera menghentikan pengumuman harian mengenai jumlah jangkitan kes COVID-19 di televisyen kerana ia hanya menambahkan lagi kegusaran rakyat.
 
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, tiada sebarang justifikasi untuk pengumuman itu dipaparkan di kaca televisyen sedangkan jumlah kes semakin meningkat malah tiada sebarang petunjuk penurunan.
 
"Ia seolah-olah memberi gambaran kerajaan telah gagal menangani isu ini. Saya berpendapat adalah lebih baik jika kerajaan menumpukan keutamaan mengatasi isu kemiskinan dan kesusahan yang sedang dihadapi rakyat serta memikirkan bagaimana usaha untuk mengatasinya secara lebih berkesan dan menyeluruh akibat penularan COVID-19,"katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Selasa.
 
BACA: PKP 2.0 disambung hingga 18 Februari, rentas negeri, aktiviti sosial masih tidak dibenarkan
BACA: COVID-19: 'Tidak perlu panik kes positif harian yang tinggi sekiranya...'
 
Kes baharu COVID-19 akhir-akhir ini ada mencatatkan angka melebihi 5,000 kes.
 
Selain itu, ratusan lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan angka tetap tinggi bagi mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.
 
Dalam pada itu kata Syed Ali, kerajaan juga diminta mengkaji semula larangan mengerjakan solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau.
 
Jelasnya, ia penting memandangkan ramai umat Islam amat kecewa dengan pelbagai sekatan dikenakan terhadap mereka terutama untuk menunaikan solat Jumaat.
 
"Saya juga terkilan apabila masjid dan surau dihadkan kepada jemaah tertentu dengan jumlah begitu terhad yang menunjukkan seolah-olah rumah ibadat ini kelihatan seperti berbahaya untuk dikunjungi.
 
"Saya bimbang, apabila jumlah kehadiran jemaah yang disekat dengan bilangan tertentu akan menyebabkan tercetus fenomena baharu di mana ada yang akan sengaja meninggalkan solat Jumaat dengan alasan COVID-19.
 
"Jika gejala ini berterusan, lama-kelamaan ia menjadi kelaziman baharu dalam masyarakat Islam di negara ini dan akhirnya masjid dan surau terbiar sepi tanpa sebarang aktiviti keagamaan," katanya.
 
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah maksimum lima orang.
 
Tegasnya, bagi negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aktiviti keagamaan dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum ditetapkan di dalam prosedur operasi standard (SOP).
 
Syed Ali juga meminta agamawan dan pihak berkuasa agama memikirkan tempoh berapa lama lagi masjid hendak dibiarkan kosong dengan jemaah yang terhad dan kuliah-kuliah agama dihentikan dengan alasan patuh SOP.
 
"Peraturan manusia tersebut boleh dipinda. Pada hemat saya, pembukaan semula masjid dan surau tanpa mengehadkan bilangan jemaah boleh dilakukan dengan syarat pemantuhan SOP diperketatkan, seperti dilakukan di tempat awam seperti pasaraya dan sebagainya.
 
"Penularan pandemik COVID-19 sudah setahun lebih berlaku di negara ini dan adalah mustahil kerajaan masih lagi tidak ada pengalaman untuk menguruskan wabak tersebut.
 
"Setahun lebih bukan jangka masa yang singkat dan banyak negara jiran dilihat lebih berkesan menangani COVID-19 berbanding Malaysia," ujarnya.
 
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, rentas negeri dan aktiviti sosial masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini.
 
Kata Ismail, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes dan kluster membabitkan aktiviti rentas negeri.

ADUN PKR putar belit untuk kepentingan politik peribadi - Sivarraajh

Astro Awani
ADUN PKR putar belit untuk kepentingan politik peribadi - Sivarraajh
Sivarraajh turut berpesan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu 
Kinta itu supaya tidak menggunakan isu keagamaan untuk mengaut keuntungan 
politik. - Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran menyanggah kenyataan Ketua Penerangan PKR, Muhammad Arafat Varisai Mahamad berhubung isu pergerakan pedati sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dan Kedah.
 
Menerusi laporan media sebelum ini, Arafat mendakwa Sivarraajh sengaja mengelak dan tidak memberi jawapan tepat terutamanya berhubung pendirian parti ketika diasak isu berkenaan.
 
Bahkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta itu mengatakan seolah-olah parti kaum India terbesar itu ‘dikawal’ oleh Pas di Kedah dan pusat kerana takut hilang kedudukan dalam kerajaan.
"MIC tidak perlu dan tidak akan takut dengan siapa-siapa.
 
"Kerjasama antara MIC dan Pas biar melalui Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional tidak bermaksud MIC akan atau perlu berdiam apabila tindakan mana-mana pemimpin dalam gabungan tersebut bersifat tidak menghormati dan tidak adil terhadap masyarakat India.
 
"Jika sesebuah tindakan itu tidak menghormati masyarakat India, MIC akan tetap bersuara - tak kira kawan ataupun lawan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
 
BACA: Isu Thaipusam: Kenapa MIC 'takut' dengan Pas? - Muhamad Arafat
 
Tegasnya, tidak timbul isu MIC takut kepada Pas kerana beberapa pemimpin MIC juga lantang mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu baru-baru ini.
 
“Tan Sri SA Vigneswaran sendiri telah menyatakan MIC sukar untuk kerjasama dengan Pas di Kedah.
“Timbalan Presiden MIC - YB Datuk Seri M Saravanan juga telah mendesak kepimpinan Pas supaya sekolahkan Sanusi supaya belajar menghormati sensitiviti keagamaan melalui satu kenyataan pada 21 Januari 2021.
 
“Tidak cukup dengan itu, pelbagai lagi kenyataan mengkritik tindakan Sanusi di Kedah secara terbuka telah pun dikeluarkan oleh kepimpinan MIC di semua peringkat. Jadi apa yang Arafat cuba maksudkan dengan MIC takut dengan Pas?” soal beliau.
 
Dalam pada itu, Sivarraajh menyatakan beliau pelik dengan sikap Arafat yang tiba-tiba ambil peduli perihal Pas dan MIC.
 
“Apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah, tidak pernah sekali pun saya lihat beliau keluarkan sebarang kenyataan menegur kepimpinan Pakatan Harapan biarpun pelbagai tindakan mereka menyusahkan rakyat mahupun kepimpinan parti beliau.
 
“Tidak pernah pun saya lihat Arafat menegur Tun Dr Mahathir Mohamad biarpun Tun Dr Mahathir tidak tunaikan janji untuk menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
 
“Tidak pernah pun saya lihat Arafat menegur Menteri Pakatan Harapan yang bertindak salah termasuk menipu soal kelayakan akademik, menipu soal manifesto, memotong pelbagai bantuan rakyat terbanyak dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
 
Beliau turut berpesan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta itu supaya tidak menggunakan isu keagamaan untuk mengaut keuntungan politik.

Pendaftaran Pejuang, MUDA ditolak kerana perlembagaan parti tidak teratur - Hamzah

Bernama
Pendaftaran Pejuang, MUDA ditolak kerana perlembagaan parti tidak teratur - Hamzah
Hamzah berkata jawatankuasa penaja Pejuang telah mengadakan perbincangan 
bersama RoS pada 8 Jan lepas bagi mendapatkan pandangan dan mengemukakan 
permohonan rayuan pada hari yang sama. - Gambar fail
 
PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak, bagaimanapun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masih belum berbuat demikian.
 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan pendaftaran Pejuang dan MUDA ditolak pada 6 Jan lepas berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan kedua-duanya boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan.
 
Kesal dengan dakwaan bahawa beliau yang tidak meluluskan pendaftaran Pejuang dan MUDA, Hamzah menjelaskan permohonan pendaftaran itu ditolak kerana perlembagaan parti yang dikemukakan gagal mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335 itu, dengan intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti tersebut antaranya didapati tidak teratur dan tidak spesifik.
 
"Bukan saya yang tolak (permohonan penubuhan) tetapi RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan)," katanya pada sidang media di sini hari ini bagi memperjelaskan status pendaftaran Pejuang dan MUDA.
 
Berikutan itu, Hamzah berkata jawatankuasa penaja Pejuang telah mengadakan perbincangan bersama RoS pada 8 Jan lepas bagi mendapatkan pandangan dan mengemukakan permohonan rayuan pada hari yang sama.
 
Jawatankuasa penaja MUDA pula sehingga hari ini masih tidak berjumpa dengan pihak RoS bagi tujuan konsultansi dan belum mengemukakan permohonan rayuan secara rasmi kepada Menteri Dalam Negeri, katanya.-- BERNAMA

"Tidak faham bahasa ke?" Anwar nafi dakwaan surat kepada Agong berunsur hasutan

Astro Awani
"Tidak faham bahasa ke?" Anwar nafi dakwaan surat kepada Agong berunsur hasutan
Anwar berkata demikian bagi menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, 
Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang memberitahu surat tersebut mempunyai 
unsur hasutan serta mengancam ketenteraman negara.
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian, surat yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah berbentuk rayuan dan permohonan.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang memberitahu surat tersebut mempunyai unsur hasutan serta mengancam ketenteraman negara.
 
“Apa yang kita sebut merayu memohon ihsan dan kebijaksanaan. Tidak faham bahasa ke? Memohon atau merayu itu bermaksud meminta ihsan, kebijaksanaan Tuanku.
 
"Bagi mempertimbangkan, apakah itu bunyi desakan? Apakah rakyat biasa, jangan fikirkan saya sebagai ketua pembangkang, contohnya sebagai rakyat, tukang cuci, barisan hadapan, pekerja biasa, tidak boleh merayu kepada baginda?
“Untuk meminta supaya mempengaruhi keadaan, memperbaiki keadaan? Hal-hal yang kita tidak setuju, apakah tanggungjawab rakyat, mesti sokong semua tindakan kerajaan?
 
"Yang kita bantah itu adalah keputusan Perdana Menteri dan jemaah menteri,” tegasnya dalam kenyataan sewaktu bersiaran langsung menerusi Bicara Anwar Ibrahim di akaun Facebooknya pada Selasa.
 
BACA: Cabar pengisytiharan darurat? PH hanya menyanggah keputusan PM - Anwar 
 
Terdahulu, polis telah membuka siasatan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu susulan 13 laporan diterima berhubung rayuan untuk menggugurkan pengisytiharan darurat.
 
Hamzah dilaporkan berkata, ia termasuk beberapa individu lain yang senada menentang darurat dan mendesak Yang di-Pertuan Agong membatalkannya.
 
Pada 24 Januari lalu, Anwat telah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.
 
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing.

Selasa, 2 Februari 2021

Kes Altantuya : Najib dakwa difitnah, keluar surat tuntutan terhadap Tommy Thomas

FMT Reporters

Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib Razak mengarahkan beliau memfailkan saman awal minggu depan jika Tommy Thomas gagal memberi jawapan memuaskan menjelang Jumaat ini.

PETALING JAYA: Najib Razak mengeluarkan surat tuntutan kepada bekas peguam negara, Tommy Thomas, yang didakwa memfitnahnya dalam memoir bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang dipasarkan Sabtu lalu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas perdana menteri itu menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM10 juta.

“Jika kami tidak terima jawapan memuaskan dari anda Jumaat ini, arahan jelas kami ialah memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan.”

Muslimat PAS kunjung pondok, santuni warga penduduk

HARAKAH DAILY

PERMATANG PAUH: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh telah menyantuni warga emas di Pondok Tuan Guru Haji Abu Bakar dan penduduk yang sakit, di sini kelmarin.

Program ini selain bertanya khabar keadaan semasa, kunjungan juga berhasrat untuk menceriakan dan memupuk rasa kasih sayang terhadap penghuni warga emas yang telah mendedikasikan diri di pondok ini.

Sedikit pek barang keperluan makanan turut telah disumbangkan kepada mereka bagi meringankan beban kehidupan yang disampaikan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Permatang Pauh, Fatimah Abdul Hamid.

Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad yang turut sama berkata, kunjungan dalam norma baru amat mencabar kerana sedikit terbatas untuk beramah mesra, lebih-lebih lagi terhadap warga emas.

“Rasa seolah-olah bertemu mak, pak dan tok wan kita, namun menyedari akan risiko penularan COVID-19, kita patuh dengan menghadkan masa, menjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan turut menasihatkan mereka untuk mengamalkan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Tambah beliau, semangat dan kesungguhan warga emas ini yang komited menghuni pondok demi menuntut ilmu dengan kuliah-kuliah dan kelas pengajian sangat memberi inspirasi kepada anggota Muslimat PAS.

Turut diziarahi warga emas di sekitar Permatang Tengah, Kubang Semang yang menghadapi penyakit kronik seperti strok, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain dalam memberikan semangat agar tabah menempuh ujian dihadapi.

Antara pimpinan Permatang Pauh yang bersama-sama dalam ziarah ini ialah Ketua Jentera Pilihan Raya Parlimen, Mokhtar Muhamad dan Ketua Jentera Pilihan Raya DUN Penanti, Amir Hamzah Abdul Hashim serta Ahli Jawatankuasa PAS, Ustaz Zakaria Hamzah. – HARAKAHDAILY

Sri Ram: Pendedahan Thomas tak langgar kerahsiaan peguam-anak guam

Malaysiakini

Tokoh perundangan, Gopal Sri Ram menolak hujah bahawa bekas peguam negara Tommy Thomas terikat dengan kerahsiaan peguam dan anak guam berkenaan dengan pendedahan bekas peguam negara itu dalam memoirnya.

Sri Ram, yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan menyorot bahawa pendedahan penyataan itu tidak termasuk dalam Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

Seksyen 126 antara lain menyatakan bahawa tidak ada peguam yang diizinkan, kecuali dengan persetujuan anak guamnya, untuk mendedahkan komunikasi yang diberi kepadanya ketika menjalankan fungsinya sebagai peguam kepada anak guam itu.

Namun, seksyen itu juga menyatakan ia tidak termasuk situasi di mana komunikasi antara peguam dan anak guam tersebut dilakukan untuk tujuan yang tidak sah, atau di mana peguam melihat sebarang kesalahan atau penipuan yang dilakukan semasa dia memberikan khidmatnya.

"Kerahsiaan profesional perundangan ditadbir oleh Seksyen 126 Akta Keterangan 1950. Melihat perkara yang didedahkan oleh Thomas, ia nampaknya tidak termasuk dalam ruang lingkup Seksyen 126," katanya.

"Sebahagian besar apa yang dikatakan oleh Thomas adalah komen mengenai perkara yang diketahui ramai. Oleh itu, saya tidak melihat apa-apa yang salah," kata Sri Ram kepada Malaysiakini.

Dia menjawab kenyataan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengenai pendedahan Thomas dalam memoir bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Sementara itu, seorang lagi tokoh perundangan, yang meminta namanya tidak disebutkan, mengatakan bahawa Thomas telah mewakili negara dengan kemampuannya sebagai bekas peguam negara.

"Dia tidak mewakili (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad) sebagai individu. Oleh itu, hujah kerahsiaan peguam dan anak guam tidak boleh dipakai," katanya kepada Malaysiakini.

Haniff sebelum ini mengatakan bahawa pendedahan Thomas itu tidak seharusnya dibuat kerana dia tetap terikat pada konsep asas kerahsiaan peguam dan anak guam, pelanggan yang melarang peguam mendedahkan sebarang nasihat yang diberikan kepada anak guam semasa dalam perkhidmatan.

Di antara pendedahan yang dibuat dalam buku itu adalah dakwaan bahawa Mahathir telah campur tangan dan berkeras untuk dilantik sebagai perdana menteri sementara ketika Agong mencadangkan agar jawatan itu disandang Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika itu.

Berdasarkan petikan dari buku itu, Haniff, yang pernah mewakili Mahathir sebagai peguam dalam beberapa cabaran undang-undang pada masa lalu, mempertikaikan pandangan Thomas bahawa bekas perdana menteri itu secara sukarela telah melepaskan jawatannya pada Februari tahun lalu dan seterusnya mencetuskan pergolakan politik yang membawa kepada Perikatan Nasional (PN ) mengambil alih Putrajaya.

Haniff juga mendakwa bahawa pandangan Thomas terhadap Mahathir nampaknya bertentangan dengan pendapatnya yang dilaporkan, mengenai isu yang sama tahun lalu, bahawa tidak ada had masa untuk perdana menteri sementara memegang jawatan.

Memoir setebal 573 halaman ini dijual oleh penerbit bebas Gerak Budaya.

PEMBERITAHUAN:

BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT

Penerbit: Berhenti edar salinan cetak rompak buku Thomas

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Penerbit buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness' berkata pihak mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengedarkan salinan lembut (softcopy) naskhah itu dalam talian.

“Kami menggesa supaya berhenti segera edar salinan buku My Story: Justice in the Wilderness oleh Tommy Thomas versi PDF yang diterbitkan syarikat kami SIRD.

“Kami meminta pihak berbuat demikian padam versi tersebut. Buku ini hanya tersedia dalam bentuk fizikal dan versi digital namun tetap dirahsiakan dan sulit.

“Kami memberi notis ini dengan niat baik dengan mengatakan versi cetak rompak merupakan pelanggaran harta intelek dan kami berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang mengenai perkara ini jika ia tidak dapat diselesaikan," kata penerbit tempatan Gerakbudaya dalam satu kenyataan hari ini.

Buku Thomas dilancarka pada 30 Jan dan habis dijual dua hari kemudian.

Menerusi notis di Facebook, Gerakbudaya berkata, pihaknya sedang mencetak semula buku tersebut.

Syarikat itu turut memberi jaminan kepada pihak yang menempah buku itu pada 29 Januari akan menerima salinan buku pada minggu pertama Februari.

Sementara itu, mereka yang menempah selepas 29 Jan akan mendapat buku tersebut akhir Februari.

Pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah menerima lebih 1,000 tempahan buku tersebut.

Gerakbudaya telah mencetak buku itu pertama kali sebanyak 2,000 dan habis terjual dua hari dan kini syarikat itu mencetak semula 5,000 salinan.

Jelas Chong, buku cetakan kali kedua itu dijadual tersedia pada 5 Feb.

“Bukan semua 2,000 buku dijual oleh pihak kami di kedai buku, separuh darinya ditempah dalam talian. Kami juga hantar sebahagian di kedai lain seperti Kinokuniya,” jelasnya.

*Laporan tambahan oleh Wong Kai Hui