Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar
PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat kecuali disingkirkan. Begitu juga dengan DAP. Masing-masing ada ego.
Siapakah di antara PAS atau DAP yang akan keluar daripada Pakatan Rakyat?
Persoalan ini menarik minat ramai pihak khususnya pemerhati politik
mengenai sejauh mana darjah ketegangan antara PAS dan DAP ketika ini
mampu memutuskan ‘persahabatan dan kerjasama’ yang terjalin selama ini.
Jika dilihat pada sejarah, PAS dan DAP pernah bekerjasama menerusi
Barisan Alternatif (BA) pada 1999 yang turut dianggotai Parti Keadilan
Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum KeADILan
dan PRM bergabung membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2003.
Bagaimanapun, DAP, yang tidak bersetuju dengan dasar PAS memperjuangkan penubuhan negara Islam, keluar daripada BA pada 2001.
Cuaca panas dan kering yang melanda negara turut menaikkan ‘suhu
panas’ dalam pakatan pada masa apabila pimpinan kedua-dua parti saling
mendesak dan mencabar satu sama lain untuk keluar daripada ‘Pakatan
Rakyat’, gabungan longgar yang dibentuk selepas pilihan raya umum 2008,
setelah PAS yang mentadbir kerajaan Kelantan bertegas mahu melaksanakan
hukum hudud.
TUNGGU DAN LIHAT
Mungkinkah sejarah 14 tahun lepas yang menyaksikan DAP keluar daripada BA akan berulang?
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun,
Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berpandangan biarpun ‘ketegangan’
kedua-dua parti itu semakin memuncak ketika ini, ia tidak akan
menyebabkan PAS atau DAP keluar daripada pakatan pembangkang.
Katanya kedua-dua parti itu dilihat lebih selesa bersikap tunggu dan
melihat sama ada ‘Pakatan Rakyat’ akan menyingkirkan mereka, daripada
mengambil keputusan keluar daripada pakatan.
“Sekarang masing-masing berasa sudah cukup kuat dengan sokongan
yang diterima dan kalau keluar Pakatan Rakyat, mereka akan berasa
seolah-olah mengkhianati anggota parti dan rakyat yang mengundi mereka.
Lebih baik mereka tunggu sehingga dipecat daripada pakatan dan itu lebih
‘gentleman’.
“PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat kecuali disingkirkan.
Begitu juga dengan DAP. Masing-masing ada ego dan kita akan lihat lebih
banyak konflik berlaku antara kedua-dua parti ini selagi mereka
meneruskan kerjasama politik,” katanya.
Beberapa pemimpin baik daripada PAS mahu pun DAP saling memberi kata
dua kepada rakan sekutu mereka agar keluar daripada pakatan pembangkang
kerana isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Pada Ahad, Pengerusi Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo dalam
satu kenyataan memberi amaran bahawa PAS bukan lagi menjadi sebahagian
daripada pakatan pembangkang, jika parti itu membentangkan pindaan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II ke sidang Dewan Undangan Negeri
Kelantan 18 Mac ini.
Kenyataan Gobind segera ditempelak dua pemimpin PAS iaitu
Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Anggota
Jawatankuasa Kerja PAS Nasrudin Hassan yang senada menyarankan DAP
keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak bersetuju dengan
perjuangan parti itu.
PAS, DAP TANPA ANWAR
Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi
Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ahmad Tarmizi
Talib berkata PAS dan DAP tanpa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang dipenjara kerana sabitan kes liwatnya dilihat kehilangan nakhoda
dan semakin lemah.
Semalam, anggota keluarga Anwar menyerahkan petisyen pengampunan
kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara lima
tahun ke atas Anwar. Pada 10 Feb, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan
terakhir Anwar dan mengekalkan hukuman penjara kerana meliwat bekas
pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Katanya tanpa Anwar maka tiadalah pakatan pembangkang. Ketua Umum PKR
itu dilihat sebagai individu yang bertanggungjawab menyatukan PAS dan
DAP di bawah satu bumbung pakatan.
“Tiada isu untuk bercakap tentang masa depan Pakatan Rakyat kerana mereka semakin lemah,” katanya.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata
isu parti mana yang akan keluar pakatan boleh dilihat daripada dua
perspektif.
Pertamanya ialah terus kekal dalam pakatan kerana mempunyai matlamat
yang sama iaitu menawan Putrajaya dan hal kedua berhubung soal
solidariti ketiga-tiga parti itu terhadap kerjasama politik.
Beliau menjelaskan dalam perspektif pertama, walaupun PAS dikecam
teruk oleh DAP, ia sedikit pun tidak mengubah pendirian parti Islam itu
untuk keluar daripada pakatan pembangkang memandangkan ‘titik persamaan’
antara ketiga-tiga parti itu ialah menawan Putrajaya.
“Jadi apabila tiba pilihan raya, konflik yang berlaku akan menjadi
senyap bagi memberi tumpuan kepada usaha menawan Putrajaya. Kecaman DAP
kepada PAS juga saya lihat mempunyai strategi politik untuk menyakinkan
anggota dan pengundi mereka bahawa parti itu tidak bersekongkol dengan
perjuangan PAS.
“Perspektif kedua berkaitan soal solidariti ketiga-tiga parti itu
kepada Pakatan Rakyat selepas Anwar dipenjara. Tidak dinafikan bahawa
episod itu (Anwar dipenjarakan) memberi kesan kepada keutuhan pakatan
dan ia dapat dilihat dalam konteks momentum sokongan pakatan itu pada
pilihan raya… pada masa sekarang sukar untuk dikatakan,” katanya.
Che Hamdan turut berpandangan bahawa cengkaman Anwar di dalam parti
pakatan semakin rapuh selepas gagal ‘mengikat’ DAP dan PAS untuk
bersetuju dalam krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu.
DUA PILIHAN DAN KRISIS KEYAKINAN
Apakah pilihan yang ada untuk DAP dan PAS menyelesaikan polemik yang berlaku?
Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata terdapat dua pilihan baik di
pihak PAS mahupun DAP iaitu membubarkan pakatan pembangkang atau
memeterai perjanjian baharu antara ketiga-tiga parti untuk bersetujui
dengan apa yang disebut dasar bersama.
“Saya melihat dalam konflik PAS dan DAP, kalangan ulama PAS sendiri
juga tidak yakin bahawa DAP akan menyokong perjuangan parti itu
sekalipun dapat memerintah negara. Jadi apa gunanya jika duduk dalam
Pakatan Rakyat tetapi terpaksa menggadaikan prinsip perjuangan,”
katanya.
Beliau tidak menolak akan wujud krisis keyakinan rakyat terhadap
kredibiliti pakatan pembangkang selepas asyik disajikan dengan polemik
tidak berhujung.
“Dengan apa yang berlaku, rakyat akan melihat Pakatan Rakyat bukan
lagi parti alternatif terbaik untuk menggantikan BN (Barisan Nasional)
dan ini sekaligus mematikan cita-cita pakatan pembangkang untuk
membentuk sistem dual parti di dalam negara ini,” katanya.
Sementara itu, Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan
Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM pula berpendapat bahawa PAS
mempunyai potensi untuk menjadi pemain utama di dalam pakatan
pembangkang selepas ketiadaan Anwar.
“Ini kerana, PAS mempunyai ramai anggota dan jentera yang besar
berbanding DAP dan PKR. DAP dan PKR amat mengharapkan PAS untuk membantu
mereka sama ada daripada segi kempen pilihan raya mahupun demonstrasi,”
katanya.
– BERNAMA