HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 September 2017

Azmin Ali Dinasihat Tidak Langgar Sumpah Menteri Besar Selangor

 
 


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dilaporkan menyatakan kerajaan Parti Keadilan Selangor (PKR) Selangor sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab bukan sahaja perlu menghormati hak dan agama masyarakat lain, tetapi mempertahankan hak mereka ketika mengulas tentang isu penganjuran pesta arak di Selangor.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun mengingatkan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bahawa beliau turut mengangkat sumpah setia untuk menjaga kedaulatan agama Islam dan raja sewaktu dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.

“Adakah negeri Selangor Darul Ehsan dengan ehsan bersetuju pesta arak ini? Apakah ini cara menghormati hak agama lain? Adakah melalui pesta arak merupakan cara mempertahankan hak kaum lain.

“Sekiranya pesta arak ini dibenarkan pemimpin khususnya Menteri Besar Selangor secara tidak langsung menghina Yang di-Pertuan Agong. Jika Menteri Besar tidak patuh, beliau tidak layak dipilih sebagai Menteri Besar Selangor.

“Sekiranya pesta arak ini dibenarkan oleh beliau, ini jelas memperlihatkan beliau telah melanggar sumpah setia Menteri Besar Selangor yang telah bersumpah untuk menjaga martabat Islam semasa perlantikan beliau,” katanya mengingatkan Mohamed Azmin tentang tanggungjawabnya kepada agama Islam selaku Menteri Besar Selangor.

Mohd. Zainul Fithri seterusnya mengingatkan Mohamed Azmin bahawa demokrasi dalam negara ini bukan tertakluk kepada emosi dan kehendak diri sebaliknya demokrasi tertakluk kepada manfaat yang boleh diberi kepada rakyat yang majoritinya adalah umat Islam.

“Jati berharap sokongan padu para pemimpin dan NGO Islam seluruh negara agarmembendung sebelum ia memberi kesan kepada masyarakat khasnya sensitiviti umat Islam, perkara paling utama adalah kepentingan dan agenda umat Islam serta seterusnya membantu mempastikan kedaulatan Islam negara ini tetap dan teguh,” katanya. –MYNEWSHUB.CC

Rakyat Selangor Sokong PAS Tidak Bersama Pakatan Harapan – Keputusan Kaji Selidik Pra PRU 14

 
 


SHAH ALAM – Biarpun terpaksa memutuskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan, Pas Selangor dilihat tetap kukuh apabila masih menjadi pilihan majoriti rakyat jika dibandingkan dengan parti penggantinya, Amanah.

Hasil Survei PRA-PRU yang dijalankan akhbar ini, 50 peratus atau seramai 277 responden yang ditemu bual memilih parti senior itu untuk bersama Harapan jika diberi pilihan berbanding parti serpihan Pas.

Daripada jumlah keseluruhan responden, Amanah mendapat 216 pilihan manakala 57 responden lagi masih tidak pasti dengan kemahuan mereka.

Rentetan daripada terputusnya tahaluf siyasi dengan rakan daripada bekas Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri pada PRU13 lalu, Pas membuktikan mereka masih mampu mengharungi survival politik sama seperti sebelum ini.

Ternyata pucuk pimpinan Pas Pusat sudah membuat kajian mendalam sebelum membuat keputusan berkenaan dan mereka berkeyakinan tetap mempunyai penyokong tegar tersendiri.

Keputusan Pas itu bersesuaian dengan kehendak rakyat di Selangor apabila seramai 329 responden atau 59.8 peratus daripada 550 temu bual yang dibuat mahu Pas berjuang sendirian dan meninggalkan Harapan pada PRU14 nanti.

Hanya seramai 179 responden yang mahu Pas mengekalkan kerjasama politik dengan Harapan, manakala 42 responden lagi tidak dapat membuat keputusan muktamad.

Dalam situasi kemelut politik itu, Harapan terutamanya PKR perlu memperkemaskan jentera pilihan raya mereka kerana hasil survei juga menunjukkan responden berpendapat kerajaan negeri yang sedia ada tidak mampu mempertahankan kuasa tanpa bantuan Pas – SH

Rafizi Ramli Bayar Kepada Syarikat Rafizi

 
 



Rizal Mansor -Rafizi Ramli dalam kenyataannya pada 24 September di perkara nombor 5 menjawab seperti berikut tentang persoalan mengenai kakitangan invoke;

“Kakitangan INVOKE menandatangani kontrak perjawatan dengan sebuah syarikat yang bernama KEIP Resources Sdn Bhd.

KEIP Resources Sdn Bhd pula menandatangani satu perjanjian membekalkan sumber manusia mengikut keperluan INVOKE dari semasa ke semasa. Kontrak perjawatan kakitangan dimuktamadkan begini dengan mengambil kira perkara-perkara bersabit undang-undang buruh dan perkara-perkara lain”.

Soalan tambahan saya kepada Rafizi Ramli hari ini; kontrak perjawatan kakitangan dimuktamad begitu kerana mengambil kira undang-undang buruh atau taktik Rafizi mahu mengalihkan duit yang disumbangkan orang ramai ke dalam Invoke untuk dibawa ke syarikat sendiri ??

Dalam bab membohong orang ramai dan memfitnah saya terpaksa memberi tabik hormat kepada dia. Kepakaran dia berbohong dan berimaginasi berada di luar jangkauan pemikiran manusia normal.

Sebagaimana dia berimaginasi seolah-olah dia bersama-sama PM dalam lawatan ke Amerika baru-baru ini. Dia memberitahu bagaimana keluarga PM mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika di Trump Tower New York.

Jangan kata pegawai-pegawai PM sahaja yang terkejut, pencuci bangunan di Trump Tower New York pun terkejut. Kerana dalam lawatan ke Amerika baru-baru ini PM tidak ke New York pun.

Berbalik kepada kisah KEIP dan INVOKE..

Mengikut rekod gaji yang dipamerkan oleh Rafizi menunjukkan Invoke Solutions Sdn Bhd, telah membayar KEIP Resources Sdn Bhd bermula dari RM 147,974.30 hingga RM 350,608.64 , dari Mac hingga September 2017.

Hampir RM 1.3 juta telah dibayar kepada KEIP dalam tempoh 7 bulan itu. (Rujuk gambar yang disertakan di bahagian yang bertanda kuning).

Mengikut senarai itu juga, menunjukkan Invoke tidak membuat sebarang pembayaran kepada KEIP pada bulan Julai.

Hanya selepas berjaya mengutip derma RM1.5 juta dari orang ramai pada Ogos, Invoke telah membayar kepada KEIP sebanyak dua kali pada 28.08.2017. Pembayaran pertama RM 160’349.95 dan pembayaran kedua RM 156,132.10.

Manakala bulan September pula Invoke membuat pembayaran kepada KEIP, sebanyak RM 350,608.64.

Kelihatan tanda-tanda yang jelas bagaimana Invoke bermewah-mewah dan ‘kenduri sakan’ selepas berjaya mengutip derma jutaan ringgit dari orang ramai.

Siapakah KEIP RESOURCES SDN BHD ?

Inilah bahagian yang agak menarik..

Alamat berdaftar KEIP adalah di Temerloh. Bagaimanapun berdasarkan slip bayaran KWSP dan Socso yang ditunjukkan oleh Rafizi menunjukkan KEIP Resources beroperasi bersebelahan atau berhampiran dengan pejabat Invoke.

Semakan juga mendapati KEIP Resources tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan membekal tenaga kerja atau perkara bersangkutan seperti yang didakwa oleh Rafizi.

Milik siapakah KEIP RESOURCES SDN BHD ?

Mengikut carian yang dilakukan di SSM menunjukkan pemegang saham utama syarikat itu bernama MOHD RAFIZI BIN RAMLI. Yang memegang sebanyak 10,050 saham.

Individu yang bernama MOHD RAFIZI BIN RAMLI yang sama juga (berdasarkan nombor kad pengenalan), adalah pemegang saham terbesar dalam INVOKE SOLUTIONS SDN BHD. Iaitu sebanyak 250,000 saham. (Rujuk dokumen-dokumen SSM yang disertakan).

Kesimpulannya apa?

Kesimpulannya, Rafizi membekal tenaga kerja kepada Rafizi. Dan Rafizi pula membayar kepada Rafizi ratusan ribu sebulan atas nama membekalkan sumber manusia.

Hasil duit yang dikutip dari orang ramai. Campur tolak kali bahagi, akhirnya dia juga yang untung.
Yang menjadi mangsa adalah orang ramai yang diperdaya untuk memberi derma kepadanya.








Lebih 60 penjawat awam berdepan tindakan tatatertib tahun lepas

Daripada jumlah itu 9 kes membabitkan kesalahan tidak hadir bertugas, 28 kes kesalahan tatakelakuan dan 29 kes kesalahan jenayah.


Joseph-Entulu-Belaun

ALOR SETAR: Sebanyak 66 kes tindakan tatatertib diambil terhadap penjawat awam di seluruh negara sepanjang tahun lepas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), iaitu kurang 2 kes berbanding tahun sebelumnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 9 kes membabitkan kesalahan tidak hadir bertugas, 28 kes kesalahan tatakelakuan dan 29 kes kesalahan jenayah.

“Walaupun jumlah kes tindakan tatatertib menurun sedikit, (namun) ia menunjukkan perkembangan di mana ketua jabatan sekarang lebih tegas mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya SPA 2017 hari ini.

Beliau berkata berdasarkan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, SPA diberi kuasa untuk menjalankan kawalan dan menguruskan tindakan tatatertib dengan tujuan proses buang kerja atau turun pangkat bagi Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Sehubungan itu, Entulu berkata penjawat awam perlu berkhidmat dengan ikhlas dan setia selain perlu sentiasa menjaga tatakelakuan dan integriti bagi mengelak daripada dikenakan hukuman tatatertib.

“Sekiranya dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang kerja, peluang untuk berkhidmat semula dalam perkhidmatan awam sangat tipis,” katanya.

Entulu juga menasihatkan mereka yang memohon untuk bekerja dalam perkhidmatan awam supaya membuat persediaan untuk menghadapi temuduga dan peperiksaan bagi membolehkan mereka terpilih.

“Anak muda perlu banyak berinteraksi bagi membina keyakinan mereka jika tidak bagaimana hendak berdepan dengan penemuduga. Selain itu, mereka perlu bersedia dalam ilmu pengetahuan am, jika tidak bagaimana hendak menjawab soalan yang dikemukakan,” katanya.

Karnival Kerjaya SPA itu dari 9 pagi sehingga 5 petang ini bertujuan menerangkan peranan SPA serta memberi peluang kepada orang awam mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kerjaya dalam perkhidmatan awam.

Mat Sabu tak sesuai dengan budaya orang Selangor, kata Umno

 
Timbalan pengerusi Umno negeri Mat Nadzari berkata Mat Sabu bukan personaliti yang baik untuk bawa masa depan Selangor.


Mat-Nadzari_mat-sabu_selangor_600


PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mengalu-alukan hasrat Mohamad Sabu mahu bertanding di Selangor tetapi berkata presiden Amanah itu tidak sesuai dengan budaya orang Selangor.

“Saya rasa rekod dan latar belakang dia tak sesuai dengan budaya orang Selangor. Kita boleh lihat dia bercakap, bukan personaliti yang baik untuk bawa masa depan yang baik.

“Kita perlu satu budaya dan perangai yang boleh membantu akhlak baik untuk masa depan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini mengenai cadangan Amanah meletakkan presiden mereka sebagai calon pilihan raya umum ke-14 di kerusi Parlimen Kota Raja dan DUN Taman Templer.

Langkah meletakkan personaliti politik terkenal itu dipercayai sebahagian daripada usaha menempatkan Amanah sebagai pengganti PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

“Jika kita lihat latar belakang Mat Sabu, dia tidak sesuai untuk rakyat di Selangor dan tidak sesuai untuk dijadikan modal untuk masyarakat,” kata Mat Nadzari.

“Selama ini kita (Umno) tidak ambil kisah pasal Mat Sabu sebab dia cuma orang politik sahaja,” tambahnya.

Mohammad pernah menjadi ahli Parlimen pada 1990 apabila memenangi kerusi Nilam Puri. Beliau seterusnya menang di Parlimen Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999).

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusinya pada 2004 dan kalah dalam PRU 2008 dan 2013, di Kuala Terengganu dan Pendang.

Sementara itu, Prof Madya Faisal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpandangan Amanah sukar untuk menang di Selangor pada PRU14 nanti.

Ini kerana Amanah merupakan parti baharu pecahan daripada PAS dan ada pemimpin mereka yang dulu menang bertanding berdiri atas tiket PAS.

“Sekarang tak bersama PAS dan berdepan pertandingan 3 penjuru, ia tak beri jaminan. Seperti Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad juga belum tentu dapat pertahankan kerusinya pada PRU akan datang.

“Apatah lagi Mat Sabu, saya rasa susah untuk Amanah sebagai parti baharu untuk mencabar PAS dan parti lain lebih-lebih lagi berdepan 3 penjuru,” katanya.

Kemenangan bergaya pro Aspirasi beri kelebihan kepada BN

Wartawan MalaysiaGazette
Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membuang undi pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2017 di Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Keputusan pilihanraya kampus 2017 menyaksikan kemenangan bergaya kepada kumpulan pro Aspirasi di institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Kemenangan kumpulan pro mahasiswa pro Barisan Nasional itu membuktikan generasi muda memberi sokongan kepada transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah  (gambar) berkata, daripada tujuh IPTA, kumpulan pro Aspirasi memenangi sebanyak 235 kerusi berbanding sembilan sahaja kumpulan pro pembangkang.

“Daripada segi peratusan, kumpulan pro BN mendapat 96.3 peratus manakala pembangkang pula hanya 3.7 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 
Menurut Armand Azha, keputusan itu memberi faktor positif untuk persiapan menghadapi PRU-14.

“Golongan muda bijak pandai dan professional sudah nampak mana kaca dan mana permata.Tahniah pada semua jentera seluruh negara yang bertungkus lumus berkhidmat untuk memastikan kejayaan,” katanya.- MalaysiaGazette


Hantar nama calon kepada SPRM jika pembangkang telus – Idris

Bernama
Datuk Seri Idris Haron


MELAKA – Pembangkang harus menghantar nama calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa, jika benar pakatan pembangkang telus serta jujur kepada rakyat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata saringan calon dibuat SPRM itu adalah langkah yang baik bagi menapis calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih, justeru pembangkang harus menghantar nama mereka bagi menjamin ?kebersihan’ calon mereka.

Idris yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata melalui tindakan pembangkang yang tidak menghantar nama calon kepada SPRM itu, rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana ketelusan dan kejujuran mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sudahpun dilaporkan menyerahkan senarai bakal calon kepada SPRM untuk saringan sekali gus membuktikan parti itu lebih ikhlas dalam menjamin calon yang bersih serta mempunyai integriti tinggi dan murni, katanya.

“Saya serahkan kepada rakyat yang bakal memilih (mengundi) dan sudah pasti mereka boleh menilai parti mana yang sememangnya telus dan jujur dalam mengenengahkan calon pada PRU14 nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, pakatan pembangkang mengakui tidak menghantar senarai nama cadangan calon yang akan bertanding pada PRU14 kepada SPRM untuk saringan itu, malah pemimpinnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertikaikan kewajaran untuk menghantar nama berkenaan kepada SPRM, selain mendakwa pakatan pembangkang mempunyai cara sendiri untuk menyaring calon parti masing-masing.

“UMNO dan BN terbukti ikhlas dan tiada masalah?jadi kalau pembangkang kata mereka ikhlas dan bersih, saya serahkan semula kepada pengundi untuk menilai mana baik, mana buruk,” kata Idris.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.- BERNAMA


Waris keluarga mangsa tahfiz mahu keadilan

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Datuk Dr. Sharifuddin Musa.


KUALA LUMPUR – Ada beberapa waris dan ahli keluarga mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar hadir bagi mengikuti prosiding pendakwaan suspek yang membakar pusat tahfiz tersebut hari ini.

Tujuh suspek dibawa ke Mahkamah Jalan Duta hari ini untuk didakwa, seorang daripada mereka dibebaskan dan semua suspek yang didakwa tidak dibenarkan ikat jamin.

Seorang bapa kepada pelajar tahfiz, Datuk Dr. Sharifuddin Musa semasa ditemui wakil media berkata, kehadirannya mengikuti prosiding kerana mahu mendengar dan melihat sendiri semua suspek terlibat membakar pusat tahfiz itu.

“Saya datang sini sebab nak dengar pendengaran kes, nak tahu apa detail kejadian.

“Saya datang nak tengok wajah suspek nak tahu cara perundangan macam mana? Saya sedih sebab yang terlibat itu ramai, jadi kita nak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan apa tindakan terhadap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun hasrat Sharifuddin tidak kesampaian kerana semasa kes pertuduhan dibacakan, hakim mengarahkan orang awam dan wartawan keluar daripada kamar mahkamah.

Hanya waris kepada suspek sahaja dibenarkan untuk mengikuti prosiding yang berjalan.

“Tadi hakim kata hanya tertuduh dibenarkan masuk berada dalam mahkamah. Jadi apa bila diarahkan keluar, tidak nampak jelaslah perkara ini.

“Jadi, lepas ini tunggu sahaja perkembangan mahkamah apa akan berlaku selanjutnya,” kata Sharifuddin yang sedikit kecewa.

Anak Sharifuddin antara salah seorang pelajar yang terselamat dalam insiden kebakaran tersebut tetapi mengalami kecederaan selepas terjun daripada tingkat tiga pusat tahfiz dan masih dirawat dalam unit rawatan rapi di hospital.

Apabila ditanya sama ada beliau memaafkan semua suspek yang dituduh, Sharifuddin enggan mengulas tentang perkara itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memberikan keadilan kepada keluarga mangsa.

“Kita serahkan kepada mahkamah. Dari hati? Tidak boleh nak cakaplah sebab benda ini terlibat ramai.

“Kita tak jangka pemikiran mereka (tertuduh) sampai tahap macam ni sebab melibatkan ramai,” ujarnya.

Sementara itu, sepupu kepada tiga beradik yang terkorban, Mas Aliza Ali Bapoo berkata, kehadirannya hari ini bagi mengetahui pertuduhan yang dibacakan terhadap semua suspek dan hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka.

“Saya hadir hari ini dengan tujuan untuk mendengar keputusan dan apa hukuman terhadap mereka suspek tertuduh,” katanya.



Mas Aliza (gambar)  memberitahu, ibu saudaranya yang juga ibu kepada tiga beradik yang menjadi mangsa tragedi itu tidak hadir kerana masih lagi tidak stabil emosi dan masih terbayang-bayang kelibat anaknya di rumah.

“Ibunya sudah nampak tenang, tapi kita tidak tahu dalam hati seorang ibu macam mana?

“Luar mungkin nampak okay tapi dalam hati kita tidak tahu. Cuma makcik saya masih lagi terbayang-bayang akan tiga anaknya itu,” katanya.

Mas Aliza juga senada dengan Sharifuddin yang meminta supaya keadilan dan hukuman setimpal dijatuhkan kepada semua suspek itu nanti.

“Kita mahu keadilan ditegakkan dan hukuman setimpal diberikan kepada semua tertuduh,” katanya.

Pada 16 September lalu, tujuh remaja ditahan reman berhubung kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat Hujung yang mengorbankan seramai 23 orang pelajar.

Remaja berusia 11 hingga 18 tahun itu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur khianat yang menjadi punca kebakaran.

Enam daripadanya berusia 18 tahun ke bawah dan seorang daripadanya berusia 11 tahun. – MalaysiaGazette


Dari mana datangnya duit Maju Holdings?- Datuk Jo

Norlaile Abd Rahman
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Perasmian Fiesta Labur PNB 2017 di Aras Concourse, Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI,


PUTRAJAYA – “Dari mana datangnya sumber untuk membiayai pengambilan alih PLUS Expressway Bhd. (PLUS) oleh Maju Holdings Bhd.?

“Apakah mereka mendapat pinjaman dari luar negara?” itu persoalan yang ditimbulkan Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau mengulas mengenai cadangan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamad yang mahu membeli kesemua pegangan saham milik UEM Group Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam PLUS.

Menurut Johari, cadangan sedemikian bukan asing malah telah dikemukakan oleh banyak pihak sebelum ini.

“Bukan saya kata tidak boleh tetapi saya mahu tahu model kewangannya bagaimana? Kita perlu tahu dari mana mereka mendapatkan dana dan apakah mereka mampu membayar balik pinjaman tersebut?

“Sekiranya mereka mendapatkan pinjaman dari luar negara, apakah yang akan terjadi sekiranya pinjaman tidak mampu dibayar. Ini akan menyebabkan aset-aset strategik negara jatuh ke tangan orang luar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fiesta Labur PNB 2017 di sini hari ini.

Menurut Johari, beliau sendiri masih belum menerima kertas cadangan daripada Maju Holdings tersebut.

Baru-baru ini, Abu Sahid membuat kenyataan mahu membeli sebanyak 51 peratus saham PLUS yang dipegang UEM Group manakala baki sebanyak 49 peratus lagi dimiliki oleh KWSP pada harga melebihi RM30 bilion.

Menurut beliau, Maju Holdings memiliki wang yang mencukupi telah mendapat restu dari ‘pihak tertinggi’ di negara ini, mempunyai penasihat dan bank yang telah siap sedia untuk melaksanakan amalan korporat yang dikatakan terbesar di Malaysia setakat ini.

UEM dan KWSP dalam kenyataan bersama baru-baru ini menyatakan pendirian awal tidak berminat dengan tawaran tersebut namun tetap menjalankan kajian menyeluruh dan pertimbangan terhadap kertas cadangan yang telah dihantar oleh pihak Maju Holdings.- MalaysiaGazette

‘Ah Long 2.0’ kenakan caj pemprosesan sebelum beri pinjaman

Nizam Zain
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan ada syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ah long kini semakin licik.

Mereka bukan sahaja mengenakan kadar keuntungan tinggi bahkan menipu duit mangsa.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, modus operandi ah long semakin membimbangkan apabila mangsa dipaksa membayar yuran pemprosesan melebihi jumlah pinjaman yang dibuat dengan pelbagai helah.
 
“Sebelum permohonan itu diproses, mangsa kena bayar sedikit yuran pemprosesan. Kemudian ada yuran guaman, GST dan pelbagai caj tambahan hingga setengah jalan itu mangsa rasa ini penipu, hingga kena bayar RM30,000.
 
“Bila mangsa rasa ini tak betul, tapi malangnya bila sudah setengah jalan, ah long RM30,000 walaupun mangsa tidak mahu meminjam.
 
“Jadi mahu jugalah mangsa terperangkap, jadi tambah itu ini, sampai masa pengadu datang jumpa saya, dia sudah bayar RM52,000 , dia nak pinjam RM50,000 tapi sudah bayar RM52,000 sebagai yuran ini,” katanya pada sidang media di Villa Puteri Condominium di sini petang tadi.
 
 
Nadzim berkata, mangsa tertipu selepas melihat iklan pembiayaan peribadi diiklankan di Facebook yang menjanjikan pinjaman mudah lulus tanpa syarat ketat seperti mana yang dikenakan pihak bank berdaftar.
 
“Sejak kebelakangan ini, kita banyak menerima aduan seperti ini yang kita rasa mungkin ia telah menjadi satu kaedah baharu untuk menipu pengguna.
 
“Mangsa ini cuba pinjam duit RM50,000 untuk berniaga, dalam Facebook dia nampak satu iklan memaparkan Pembiayaan Peribadi yang turut menunjukkan gambar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
 
“Bila orang tengok gambar KWSP, orang akan yakin dan tertarik dengan mengatakan pinjaman mudah,” jelasnya.
 
Nadzim juga menyifatkan pemberi pinjaman ini sebagai ‘Ah Long 2.0’ apabila memerangkap mangsa dengan menggunakan nama Bank Negara Malaysia, mahkamah dan bank-bank tempatan untuk menakutkan mereka.
 
“Kita lihat penipuan jenis ini cukup banyak berlaku sejak kebelakangan ini. Minggu lepas sahaja tidak kurang 12 kes, malangnya ia tiada kaedah untuk menangkap mereka ini kerana mereka wujud dalam alam siber.
 
“Yang kita khuatir perkara ini menular, penipuan jenis lain sudah cukup banyak tapi ini tambah lagi dalam keadaan orang susah. Kalau Ah Long dia bagi juga duit, tapi dia minta banyak, tapi kes ini, kita pula kena bagi dia duit,” tegasnya.
 
Dedahnya lagi, sindiket terbabit juga memerangkap mangsa dengan memasukkan duit pinjaman ke akaun peribadi peguam mereka.
 
“Ramai mangsa di mana akaun mereka telah digunakan (sindiket) ditangkap oleh pihak polis kerana dikatakan menipu sama ada di bawah AMLA untuk disoal siasat.
 
“Ada yang direman hingga tujuh hari, apabila sindiket ini memasukkan duit ke akaun mangsa dari pelbagai negeri. Polis tangkap pemilik akaun saja, dan mangsa ini pun tak tahu hingga polis datang tangkap,” dedahnya.
 
Lebih malang katanya lagi ada seorang mangsa sindiket ini merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kini berdepan dengan pendakwaan dalam tujuh pertuduhan.
 
“Ada satu kes terkini 17 pertuduhan kena ke atas OKU yang ditahan di Penjara Sungai Buloh. Perkara ini perlu diambil perhatian serius yang kita tak boleh ambil mudah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette