Ganjaran RM20,000 untuk cari Sharlinie.
PETALING JAYA: Ketika ganjaran bagi maklumat yang boleh membantu mencari kanak-kanak Sharlinie Mohd Nashar meningkat melebihi RM20,000, polis pula memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha untuk menjejaki kanak-kanak itu serta penculiknya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamad berkata polis akan menggunakan apa jua cara untuk menjejaki Sharlinie termasuk menggunakan kaedah hipnoterapis atau psikologi.
"Kita juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi mencari Sharlinie. Walau apa kaedah sekalipun kita patut cuba," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Khidmat hipnoterapis pernah digunakan dalam kes penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dan kes kehilangan Mohd Nazrin Shamsul, 5, kedua-duanya di ibukota pada tahun lepas.
Mohd Nazrin atau Yin berjaya ditemui selamat selepas hilang dua minggu tetapi Nurin Jazlin ditemui mati dibunuh secara kejam selepas sebulan diculik.
Arjunaidi berkata setakat ini polis yakin Sharlinie masih disembunyikan di negara ini berikutan banyak maklumat orang ramai yang mendakwa melihat kanak-kanak itu di beberapa daerah di negara ini.
Sharlinie, 5, dilaporkan hilang pada 11.30 pagi Rabu lepas ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya Sharliena, 8, selepas bermain di taman permainan berdekatan rumahnya di Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, di sini.
Polis yang menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu, menjalankan gerakan besar-besaran bagi mencarinya termasuk mengedarkan poster Sharlinie serta fotofit seorang lelaki yang dipercayai penculiknya ke seluruh negara dan sempadan negara.
Arjunaidi berkata polis tidak menolak kemungkinan suspek yang melarikan Sharlinie adalah suspek yang sama dengan kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin pada September tahun lepas.
"Kita akan siasat..., kita tidak akan abaikan setiap maklumat yang kita terima daripada orang ramai," katanya.
Sebelum ini bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, 35, mendakwa fotofit lelaki itu hampir 70 peratus menyamai fotofit suspek penculikan dan pembunuhan anaknya.
Sementara itu, beberapa pihak termasuk syarikat korporat tampil menawarkan ganjaran kepada mereka yang boleh memberikan maklumat bagi membantu menemui semula Sharlinie.
Antaranya termasuk syarikat GMH Property sebanyak RM5,000, ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Michael Chong (RM2,000) dan seorang ahli perniagaan yang enggan dikenali (RM5,000).
Jumlah ganjaran dari seluruh negara kini mencecah lebih RM20,000. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan