HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Januari 2008

Kerosakan sekolah akibat bah dianggar RM7.5 juta.



KUANTAN: Jabatan Pelajaran Negeri Pahang menganggarkan sejumlah RM7.5 juta diperlukan bagi membaik pulih kerosakan sekolah yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengarahnya Abdul Aziz Abdul Latiff berkata anggaran itu berdasarkan kerosakan di 104 sekolah termasuk asrama dan rumah guru.

Beliau menjelaskan bahawa angka itu boleh meningkat kepada RM10 juta jika mengambil kira beberapa kerosakan lain khususnya bagi sekolah yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

"Ini disebabkan ada sekolah yang dijadikan pusat pemindahan mengalami kerosakan yang bukan disebabkan banjir, sebaliknya kerosakan kerana dihuni seperti kerosakan pada saluran tandas, cermin tingkap pecah dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya jabatan itu telah memaklumkan anggaran kerosakan berkenaan kepada Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kerja pembaikan dilakukan segera.

Abdul Aziz berkata sesi persekolahan di seluruh Pahang berjalan lancar hari ini kecuali Sekolah Kebangsaan Temai di Pekan yang masih terlibat dengan kerja menyusun atur kemudahan di kelas selepas terlibat banjir, namun sesi pembelajaran tetap diteruskan. BERNAMA

Tiada ulasan: