HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Januari 2008

Pemimpin UMNO Terengganu Bolot Kekayaan – Exco Beli Rumah RM 1.6 juta.
Ditulis oleh SM Noor.



Kemaman – Pemimpin UMNO Terengganu menggunakan kekuasaan pemerintahan yang mereka miliki untuk mengumpulkan harta peribadi masing-masing.

Mereka tidak amanah kepada rakyat untuk melaksanakan mandat bagi meningkatkan kehidupan rakyat. Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hj Mustaffa Ali menyatakan demikian didalam ucapan beliau sempena Ceramah Jelajah Presiden PAS ke negeri Terengganu, di Mak Chili, dekat sini, semalam.

Walaupun banyak pembangunan sebagaimana yang dihebohkan oleh pemimpin UMNO Terenggan, namun duit banyak yang mengalir dari kerajaan pusat tidak sampai kepada rakyat.

“Justeru itu, kita melihat bahawa Terengganu kembali menjadi negeri kedua miskin di Malaysia” ujar Dato’ Mustaffa Ali.

“Pada masa pemerintahan PAS antara 1999 – 2004, PAS telah berjaya meningkat taraf hidup penduduk negeri Terengganu. Daripada negeri kedua miskin dalam tahun 2002, meningkat dua tangga kepada negeri yang keempat miskin di Malaysia.” tambah Dato’ Mustaffa Ali.

Selain dari masalah kemiskinan, Dato’ Mustaffa Ali juga mengatakan bahawa, rakyat kini tertekan kerana menghadapi masalah kenaikkan harga barang.

Kenyataan pemimpin UMNO yang mengatakan bahawa kenaikkan harga barang adalah disebabkan kenaikkan harga minyak disanggah oleh beliau.

Kata beliau, kenaikkan harga barang bukan hanya disebabkan oleh kenaikkan harga minyak semata-mata, namun sebenarnya kerajaan tidak mampu mengawal ‘taukeh-taukeh’ besar yang menjadi pemborong barang-barang, kerana mereka membiayai UMNO didalam pilihanraya.

Menyebut tentang kekayaan yang mengalir ke dalam negeri Terengganu, Dato’ Mustaffa Ali menyatakan negeri Terengganu mendapat RM 1.4 bilion pada tahun 2006 dan RM 1.6 bilion tahun 2007, hasil duit ‘Royalti Petroleum’ yang dipanggil sebagai ‘Dana Khas’.

Namun kekayaan itu dibolot oleh pemimpin UMNO. Pemimpin UMNO sekarang kaya raya, mereka hidup mewah membina rumah-rumah besar dan istana.

“Berita yang baru saya dapat, saya nak beritahu, ada seorang Exco dari Kuala Terengganu telah membeli sebuah rumah berharga RM1.6 juta” jelas dato’ Mustaffa Ali.

“Sekiranya elaun Exco RM 10,000.00 sebulan, tiga tahun berjumlah RM 360,000.00. Mana dia dapat duit untuk membeli rumah berharga RM1.6 juta? “ Tanya Dato Mustaffa Ali.

Tiada ulasan: