Polis Bukit Aman ke hotel tempat Dr Chua dirakam.
BATU PAHAT: Sekumpulan tujuh anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman hari ini melawat sebuah hotel bertaraf empat bintang di sini, dipercayai berkaitan dengan siasatan kes DVD aksi seks bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Kesemua anggota forensik itu, enam lelaki dan seorang wanita tiba di hotel ini kira-kira 3.35 petang dengan menaiki dua kenderaan milik jabatan tersebut.
Mereka bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media yang berkumpul di perkarangan hotel setinggi 15 tingkat itu sejak pagi tadi.
Sehingga berita ini dilaporkan, pasukan forensik Bukit Aman itu masih berada di dalam hotel tersebut.
Dr Chua yang berasal dari Batu Pahat dipercayai sentiasa menginap di hotel tersebut apabila menghadiri majlis MCA dan kerajaan di daerah itu.
Di Putrajaya semalam, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan, naib presiden MCA, pengerusi MCA Johor, ketua MCA bahagian Batu Pahat serta anggota parlimen Labis, berkuatkuasa serta-merta.
Pengumuman peletakan jawatan Dr Chua menyusul sehari selepas beliau mengakui pada sidang akhbar di Pejabat MCA bahagian Labis bahawa beliau adalah lelaki yang dalam aksi seks dengan seorang wanita di dalam DVD yang tersebar luas di Johor. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan