HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Februari 2008

BN Selangor pertaruhkan lebih ramai calon wanita
Oleh Roslan Bian


KLANG: Ramai muka baru dan lebih ramai calon wanita. Itu antara kemungkinan dibayangkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor mengenai calon-calon yang akan dikemukakan parti itu pada pilihan raya umum ke 12 ini.

Walaupun enggan menyatakan jumlahnya, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ramai calon yang akan dipilihkan kelak adalah golongan muda malah sesetengahnya amat muda dan sangat bertenaga.

“BN Selangor sedang berbincang dengan pemimpin parti-parti komponen peringkat negeri bagi tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Sebelum itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani perisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor jam 5.08 petang yang turut disaksikan Speaker DUN Selangor, Tan Sri Onn Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud serta Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Zauyah Lothy Khan.

Pembuburan itu bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan serentak selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen tengahari tadi.

Menjawab soalan, Dr Mohamad Khir tidak menolak kemungkinan lebih ramai calon wanita akan diketengahkan pada pilihan raya kali ini.

Mengenai senarai calon, beliau berkata semua nama yang disenaraikan itu sudah selesai melalui proses saringan oleh Polis, Jabatan Insolvensi Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sebelum ini, beliau memaklumkan sudah menghantar senarai 200 nama yang bakal dicalonkan kepada empat jabatan berkenaan beberapa nama tidak melepasi saringan BPR.
Dr Mohamad Khir berkata, senarai nama-nama itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri apabila diminta berbuat demikian pada bila-bila masa.

"Kita akan serahkan mengikut keutamaan. Saya akan serahkan lebih daripada satu nama untuk DUN (Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen dan Perdana Menteri akan memilihnya," ujar beliau.

Beliau berkata keputusan yang dibuat oleh Abdullah yang juga Pengerusi BN mengenai calon adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Saya berharap anggota-anggota parti kena terus menyokong calon yang terpilih bagi memastikan kejayaan BN pada pilihan raya ini,” katanya.

Sebelum itu selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir exco di Shah Alam hari ini, Dr Mohamad Khir berkata parti pembangkang jangan hanya pandai mengkritik sebaliknya perlu mengemukakan cadangan-cadangan bernas untuk kebaikan bersama.

Beliau turut menyatakan keyakinan BN merampas semula kerusi DUN Sungai Pinang dan Sekinchan yang dimenangani DAP pada pilihan raya umum 2004. Katanya, walaupun diwakili wakil rakyat pembangkang, kerajaan negeri sudah memberi bantuan dan melaksanakan pembangunan di kawasan berkenaan berdasarkan kemampuan kerajaan.

“Apa yang kita tahu, pengundi menyedari mereka melakukan kesilapan pada pilihan raya lalu (mengundi pembangkang), kita harap kali ini mereka tidak salah pilih lagi,” ujar beliau.

Tiada ulasan: