HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 November 2014

Polis Larang Sebarang Aktiviti Di Pantai Rusila

Amirul Ashraff


alt


MARANG - Pihak polis melarang orang ramai melakukan aktiviti mencari kerang di Pantai Rusila hingga ke Pulau Kekabu yang hampir menyebabkan empat orang remaja lemas selepas dihanyutkan ombak.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Risikin Satiman berkata pihak polis telah memberikan amaran dan melarang orang ramai menjalankan aktiviti di sepanjang pantai tersebut oleh kerana keadaan ombak dan cuaca tidak menentu pada musim tengkujuh mendatangkan bahaya.

"Dalam tempoh tiga hari, empat remaja nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mengutip kerang dan kita tidak mahu kejadian sama berulang lagi.

"Selain penduduk di kawasan setempat, orang ramai dari kawasan berhampiran turut ghairah mengutip hidupan itu sambil membawa anak-anak mereka.

"Malah, ada kalangan mereka turut mengambil kesempatan berniaga dengan menjual makanan dan minuman serta pakaian di lokasi berkenaan tanpa memikirkan keselamatan mereka.

"Oleh itu, kita minta mereka hentikan sebarang kegiatan di pantai berkenaan yang boleh membahayakan nyawa mereka," katanya yang dipetik daripada Berita Harian, hari ini.

Larangan yang dikeluarkan berkuat kuasa serta merta dan berharap semua pihak memberikan kerjasama yang sewajarnya bagi mengelakkan kejadian yang berulang.

Tambah beliau lagi, keadaan ombak dan cuaca yang tidak menentu ketika ini tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pantai seperti mandi, berkelah dan mengutip kerang kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

"Bukan niat polis untuk menghalang kerana tahu mereka mahu mencari rezeki, tetapi keselamatan dan nyawa adalah lebih penting dalam keadaan sekarang. Jadi, saya harap orang ramai dapat mematuhi arahan dikeluarkan demi kebaikan semua pihak," katanya lagi.

Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, dua remaja berusia 15 tahun dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mencari kerang yang terdampar di pantai berkenaan sejak Jumaat lalu.

Malah, sebelum itu, dua pelajar sebuah pusat pengajian tinggi berusia 19 tahun dari Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu juga hampir lemas di pantai sama kira-kira jam 11.20 pagi kelmarin selepas dihanyutkan ke tengah laut.

Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan orang ramai yang kebetulan berada di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Klinik Kesihatan Marang untuk rawatan.

Tiada ulasan: