Datuk Yahya Hussin Datuk Yahya Hussin



SANDAKAN - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, Program Transformasi Pertanian (PTP) diperkenalkan Kerajaan Persekutuan sebagai suatu inisiatif membela dan memperkasa  nasib petani dan nelayan di negara ini.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, sekiranya pelaksanaan inisiatif  berkenaan berjalan lancar seperti dirancang ia mampu memberikan peluang dan ruang kepada petani serta nelayan untuk
meningkatkan taraf hidup.

"Selain daripada memberi peluang dan ruang, PTP juga akan dapat membebaskan golongan petani dan nelayan  khususnya daripada belenggu orang tengah. Orang tengah sering kali dikaitkan dengan masalah penindasan terhadap  kumpulan petani dan nelayan sejak sekian lama," katanya.

Yahya berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan 2014 di  sini hari ini.

Beliau berkata, akibat kegiatan orang tengah yang tidak bertanggungjawab memanipulasi harga, penguasaan rantaian bekalan hasil pertanian dan nelayan telah membuatkan sebahagian besar nelayan terus dibelenggu masalah hutang yang berpanjangan.

Katanya, bagi mengurangkan belenggu orang tengah dan merealisasikan program PTP berkenaan, Kementerian  Pertanian dan Industri Asas Tani akan memastikan agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga  Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mewujudkan pusat pengumpul, pasar tani dan pasar borong. - Bernama