MALAYSIAKINI
Satu keluarga di Kampung Chubadak Tambahan terpaksa menghuni satu pondok
sementara selepas rumah mereka dirobohkan oleh penguatkuasa Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Rabu lalu.
Seorang daripadanya, Wahidah Saleh, 70 atau lebih mesra dipanggil Opah
Wahidah berkata mereka merupakan peneroka asal di kampung yang dibuka
sejak 45 tahun lalu.
Beliau kecewa kerana penguatkuasa tetap merobohkan rumah tersebut
walaupun selepas mereka menunjukkan satu surat kebenaran mahkamah pada
1998
Dalam dokumen berkenaan, hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur dalam
penghakiman bertarikh 31 Julai 1998 memutuskan bahawa warga berkenaan
dibenarkan menetap di tanah tersebut.
Mahkamah juga memutuskan mereka sebagai pemegang lesen sah dan
dibenarkan untuk terus menetap di tanah berkenaan dengan persetujuan
kerajaan negeri.
“Saya tinggal di kampung ini dah 45 tahun bukan baru-baru ni, selepas bernikah saya terus tinggal sini.
“Tengok lah surat ni daripada mahkamah, tetapi bila mereka datang nak
robohkan saya tunjuk surat ni mereka cakap mereka tetap akan robohkan
juga,” katanya.
Beliau ditemui di sebuah pondok sementara yang didirikan di tapak bekas rumahnya di Kampung Chubadak Tambahan semalam.
Pondok beratapkan kanvas dengan dinding papan lapis dan berlantai kayu
reja itu turut memuatkan barangan yang sempat diselamatkan daripada
rumah yang dirobohkan.
Beliau sekadar berharap agar wakil rakyat kawasan tersebut, Tian Chua akan dapat membantu mereka mendapatkan kediaman lain.
Menurut Opah Wahidah, beliau kini tiada tempat lain yang boleh dituju
kerana rumah itu sahajalah satu-satunya tempat kediaman mereka anak
beranak.
Beliau berharap agar kerajaan dapat menggantikan rumah yang sempurna
kepadanya, dan bukan hanya memberikan unit rumah Program Perumahan
Rakyat.
Sementara itu, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang menziarahi
keluarga berkenaan berkata, pemaju dan DBKL sepatutnya menawarkan rumah
yang lebih baik sebagai ganti.
“Kalau kita tengok pun sejarah kes ni panjang, dah pernah dibawa ke mahkamah rayuan sebelum ni.
“Kita harap pihak pemaju dan DBKL dapat mempertimbangkan tawaran yang lebih baik dan berperikemanusiaan,” katanya.
Nik Nazmi juga berkata, golongan peneroka bandar berkenaan layak
mendapat layanan lebih baik kerana mereka didorong oleh kerajaan untuk
membuka penempatan di Kuala Lumpur semasa pentadbiran Tun Abdul Razak.
“Jika sebelum ini bapa perdana menteri sendiri yang menggalakkan mereka
datang jadi pada zaman sekarang tak patutlah kita layan atau gelarkan
mereka sebagai setinggan.
“Layanlah mereka sebagai peneroka bandar yang pernah memberi sumbangan kepada pembangunan Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Beliau turut memuji tindakan golongan mahasiswa yang turut berhimpun
sebagai tanda solidariti bersama warga tersebut di Sentul, semalam.
“Mereka menjaga kebajikan keluarga Opah, ini menunjukkan peranan positif anak anak muda dalam isu ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan