HALAMAN SANTAI
Ahad, 18 Februari 2018
Amanah pecahbelah umat Islam, undi Melayu, dakwa Hadi
PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mendakwa Amanah wujud untuk memecahbelahkan umat Islam, undi Melayu dan memberi talian hayat kepada Umno untuk menang pilihan raya.
Presiden PAS itu berkata sekiranya Amanah mahu melawan Umno mengapa parti itu “sibuk” memasuki kerusi PAS yang secara tradisi menyaksikan pertandingan PAS-Umno sejak puluhan tahun.
“Amanah adalah ijtihad yang salah hasil dari campurtangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.
Beliau merujuk kepada rancangan Amanah untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen yang sebahagian besarnya di kerusi PAS. PAS dikatakan mahu bertanding di 130 Parlimen pada pilihan raya umum ke-14.
Amanah ditubuhkan pada 2015, selepas pemilihan PAS tahun itu yang menyaksikan kelompok yang mahu PAS kekal bekerjasama dengan PKR dan DAP tersingkir daripada pucuk pimpinan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS berulang kali berdepan dengan parti-parti serpihan yang akhirnya akan “tenggelam”.
“Sejak tahun 60-an, Parti Imam, Parti Islah, 70-an Parti Berjasa, 80-an Parti Hamim, itu pecahan PAS, yang semuanya ditenggelamkan zaman.
“Sebahagian besar daripada mereka kembali semula kepada PAS. Sepatutnya mereka mengambil iktibar sejarah lama ini. Mungkin mereka ini orang baru, tidak tahu cerita lama,” katanya.
Hadi berkata PAS perlu memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi bagi membolehkan parti itu mempunyai pengaruh bagi menentukan kerajaan dan mencapai matlamat perjuangan Islam.
Yang keras sertai Umno
Dalam wawancara itu juga, Hadi menafikan beliau seorang pelampau selepas didakwa bertanggungjawab mengakibatkan Peristiwa Memali 1985.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Hadi antara punca tragedi itu, dengan merujuk sebahagian teks ucapan Hadi yang disebarkan pada 19-80an dan dikenali sebagai “Amanat Hadi”.
Hadi dalam ucapan itu didakwa mengatakan PAS menentang Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.
Amanat itu dituduh sebagai punca orang Melayu berpecah kepada PAS dan Umno sehingga menyebabkan tuduhan kafir-mengkafir, solat 2 imam dan pemulauan aktiviti masyarakat.
“Saya juga sudah menulis beberapa buah buku tentang isu amanat dan isu kafir mengkafir. Buku saya sudah disiasat melalui majlis agama Islam peringkat negeri dan pusat, sehingga ini mereka menerima sebagai satu kajian ilmiah dan tidak menyentuh ketenteraman dan keamanan negara.
“Alhamdulillah kalangan yang mengambil pendekatan yang keras dalam PAS, semuanya keluar daripada PAS sama ada mereka menyertai Umno ataupun mereka mendiamkan diri.”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan