BALING: Seorang lelaki, Ismail Idris, 56, tidak menyangka hasratnya
untuk mencari seorang rakan yang sudah dua hari tidak pulang
berkesudahan dengan penemuan lima mayat dipercayai lemas di Sungai Muda
dekat Kampung Padang Bukit Taman Permai di Kuala Ketil di sini pagi
tadi.
Katanya, dia berada di kawasan sungai ini sejak semalam untuk mencari
rakannya itu yang dipercayai kali terakhir berada di lokasi sabung ayam
yang diserbu polis, Jumaat lalu.
Rakannya itu merupakan mangsa lemas ketiga yang ditemukan di dalam
sungai itu dan dipercayai turut melarikan diri semasa serbuan pihak
polis ketika kegiatan perjudian itu berlangsung.
"Saya tinggal sekampung dengannya dan pagi semalam ahli keluarganya
datang berjumpa saya memita membuat pemantauan di sungai itu kerana
bimbangkan keselamatannya.
"Sejak itu saya menghabiskan masa membuat tinjauan sekitar sungai ini
dalam usaha menjejakinya kerana hasil makluman daripada rakan lain
mengatakan dia terjun ke sungai dalam usahanya melarikan dari dari
ditahan dalam serbuan itu," katanya.
Kata Ismail, lebih kurang pukul 9 pagi tadi semasa dia berada di tepi
sungai ini bersama beberapa rakan, mereka ternampak satu mayat terapung
di tebing sungai.
"Saya kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Ketil memaklumkan penemuan itu.
"Beberapa minit kemudian kami melihat dua lagi mayat timbul di
permukaan air yang berjarak lebih kurang 50 meter antara satu sama lain
sebelum kesemua mayat itu diangkat naik oleh anggota Jabatan Bomba dan
Penyelamat," katanya.
Lima mayat lelaki ditemukan di Sungai Muda itu dipercayai kaki judi
sabung ayam yang melarikan diri daripada serbuan polis di kebun kelapa
sawit Kampung Tanah Licin Kuala Ketil dekat sini Jumaat lepas.
Sebanyak 76 lelaki diberkas dalam operasi berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan