TANAH MERAH: Jenazah empat sekeluarga yang lemas di Pantai Tok Bali,
Pasir Puteh, selamat dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Alor Pasir/Padang Kijang.
Jenazah Yazul Bahari Yacob, 46, dan anaknya, Yasmin Nor Aliza, 10; adik
Yazul Bahari, Yusnina, 38; serta anak saudara mereka, Zufika Suhaimi,
10, dikebumikan dalam satu liang kira-kira jam 11.45 malam.
Yang turut menziarahi dan berada di tanah perkuburan ialah Penaung
Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (PAKAT), Datuk Seri Muhammud Supardi
Md Nor.
Terdahulu, jenazah berkenaan yang tiba dari Hospital Tengku Anis, Pasir
Puteh, dibawa ke rumah bapa mereka, Yacob Ismail, 68, di kampung itu
kira-kira jam 10 malam.
Jenazah kemudian disembahyangkan di rumah itu oleh hampir 100 jemaah
dengan diimamkan ImamTua Masjid Mukim Alor Pasir, Yahya Daud.
Sementara itu, Yacob ketika ditemui berkata, beliau reda dan menyifatkan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan.
"Allah lebih menyayangi mereka dan diharapkan seorang lagi ahli
keluarga kami yang masih hilang ditemui segera (setakat malam tadi),"
katanya.
Dalam kejadian jam 10.50 pagi semalam, empat sekeluarga itu lemas
ketika mandi-manda di Pantai Tok Bali. Mayat mereka ditemui jam 11.15
pagi.
Yazul Bahari adalah dari Serdang, Selangor, manakala Yusnina dari Tanah Merah dan Zufika dari Semenyih, Selangor.
Sementara itu seorang lagi mangsa lemas, Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, ditemui nelayan 9.45 pagi tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan