SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak untuk
segera menyiasat secara terperinci isu penyerahan tanah bernilai RM1.18
bilion di Ijok, Kuala Selangor.
Menurut seorang pemimpin Umno di Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam
Ibrahim berkata, ia sangat penting dan jika perlu, bekukan aset-aset
tersebut bagi mengekang perkara-perkara yang boleh menjejaskan siasatan.
Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sebelum
ini berhubung penyerahan tanah itu di Ijok tidak cukup jelas
membuktikan ia sebagai satu penyelesaian.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, rakyat bertambah sangsi
apabila kerajaan negeri menyerahkan semula tanah yang dirampas dan
menjualkannya kepada syarikat awam sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi
dan Rayuan memihak kepada kerajaan negeri Selangor.
"Ini merupakan sesuatu yang mencurigakan. Saya menyokong tindakan beberapa NGO yang curiga dan melaporkannya kepada SPRM.
"Kita juga khuatir akan nasib rakyat Selangor yang tidak mendapat
manfaat daripada tanah tersebut sekiranya dimanipulasikan pula oleh
pihak-pihak tertentu, "katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim mengenai isu tanah ini juga wajar diambil serius memandangkan
beliau amat mengetahui intipati dan kronologi perkara tersebut.
"Kerajaan negeri dan Mohamed Azmin seharusnya lebih sensitif terhadap pengurusan aset-aset yang melibatkan kepentingan rakyat.
"Isu seperti ini tidak langsung mencerminkan kerajaan negeri peduli
terhadap nasib rakyat terutama peneroka tanah serta peladang dan petani
tempatan di Ijok, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan