SUNGAI BULOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang
dihanyut arus Sungai Gasi di sini, petang semalam, disambung semula pagi
ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, operasi
SAR itu membabitkan dua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan
dua bot untuk mengesan kedudukan mangsa.
"Ketika ini, pencarian oleh kedua-dua pasukan berkenaan sudah sampai ke
aliran sungai sekitar Saujana Utama, Puncak Alam, kira-kira 20
kilometer dari lokasi kejadian.
"Operasi juga ditumpukan pada tebing sungai hingga ke Kuala Selangor
dengan beberapa lokasi pemeriksaan seperti Jambatan Merbau Sempak;
Jambatan Kubu Gajah dan perangkap sampah di Bestari Jaya serta Kuala
Selangor," katanya dipetik BH Online.
Setakat ini, daripada lima pemancing termasuk dua wanita yang
dilaporkan hilang dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, mayat
dua mangsa sudah ditemui.
Mangsa pertama ditemui pada jam 9.50 malam kira-kira 8.2 kilometer dari
lokasi kejadian, manakala mayat kedua ditemui jam 1.26 pagi, kira-kira
satu kilometer daripada lokasi penemuan awal.
Petang semalam, tujuh pemancing dikhuatiri lemas, manakala dua lagi
selamat selepas dihanyutkan arus deras sungai ketika sedang memancing
berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh di sini, kira-kira jam 5 petang
tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya
menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.42
petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan