HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Februari 2018

Senarai calon BN Kedah palsu, kata Ahmad Bashah

THE MALAYSIAJ INSIGHT

Senarai calon BN Kedah palsu, kata Ahmad Bashah
Menteri Besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah percaya tindakan pihak yang menularkan senarai itu mempunyai niat tertentu untuk melaga-lagakan calon dengan wakil rakyat yang sedia ada kerana ada antara wakil rakyat tiada dalam senarai itu. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
BARISAN Nasional (BN) Kedah menafikan ada mengeluarkan senarai muktamad calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang seperti yang ditular di media sosial sejak semalam.

Pengerusi BN Negeri, Ahmad Bashah Md Hanipah berkata senarai tersebut adalah palsu kerana sehingga kini belum ada senarai akhir calon atau cadangan daripada parti Umno negeri berhubung nama yang hendak dicalonkan.

"Saya juga masih belum berjumpa dengan Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri Najib Razak (berhubung senarai calon). Jadi senarai calon yang tular di laman sosial itu adalah tidak benar,” katanya sebagai mengulas penyebaran kononnya senarai akhir calon BN Kedah pada PRU14.

Ahmad Bashah, yang juga Menteri Besar, percaya tindakan pihak yang menularkan senarai itu mempunyai niat tertentu untuk melaga-lagakan calon dengan wakil rakyat yang sedia ada kerana ada antara wakil rakyat tiada dalam senarai itu.

"Senarai calon masih sedang dianalisa, kita mahu lihat calon mana yang boleh menang dan yang dikehendaki oleh pengundi di setiap kawasan. Buat masa ini, kita sedang fokus mempersiapkan jentera jentera parti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Barakah di Taman Wira Mergong, di Alor Setar, hari ini.

Katanya, kalau senarai calon sudah dimuktamadkan, beliau sendiri akan mengumumkannya sambil meminta rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan tipu helah pihak tertentu yang menyebarkan senarai calon tersebut.

"Sekarang zaman moden, macam-macam orang boleh buat termasuk tukar kepala surat jadikan ia dari pejabat Menteri Besar mahupun pejabat Perdana Menteri. Jadi jangan mudah percaya,” katanya.

Senarai calon yang tular  dilaman sosial itu memaparkan  nama 15 calon Parlimen dan 36 calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah. – Bernama, 

Tiada ulasan: