shahbudindotcom
KUASA RAKYAT GAGALKAN PENIPUAN BN DALAM PRU-14
Perdana
Menteri dalam kenyataannya semalam memberikan jaminan bahawa tidak akan
berlaku sebarang bentuk penipuan dalam pilihanraya umum ke-14.
Kenyataan ini hanyalah berupa penafian semata-mata.
Pakatan
Harapan mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa pilihanraya umum ke
14 akan menjadi pilihanraya yang terkotor dalam sejarah Malaysia.
Tatkala gelombang kebangkitan rakyat menolak Najib dan Barisan Nasional
semakin ketara, jentera Barisan Nasional juga sedang giat merancang
pelbagai penipuan untuk mempertahankan kuasa.
Persempadanan
semula kawasan pilihanraya yang sedang berada dalam proses akhir untuk
mendapatkan kelulusan Parlimen dibuat dengan sebegitu rupa untuk
memberikan kelebihan kepada BN. Daerah-daerah mengundi yang dimenangi
oleh BN dalam pilihanraya umum ke-13, dipindahkan ke kawasan-kawasan DUN
atau Parlimen yang dimenangi secara tipis oleh BN, dengan tujuan untuk
menambah majoriti BN di kawasan-kawasan tersebut dalam PRU-14.
Pada
masa yang sama, daerah-daerah mengundi yang dimenangi oleh pembangkang
dalam PRU-13 dipindahkan keluar dari kawasan DUN atau Parlimen yang
dimenangi secara tipis oleh pembangkang, dengan tujuan untuk
mengurangkan undi pembangkang dalam kawasan tersebut dan seterusnya
memenangkan BN dalam PRU-14.
Akan
terdapat kawasan-kawasan Parlimen yang menjadi longgokan undi
pembangkang yang jumlahnya adalah lebih kecil berbanding kawasan-kawasan
Parlimen yang menyaksikan pertambahan undi BN berasaskan keputusan
PRU-13.
Pakatan
Harapan mengetahui bahawa jentera Barisan Nasional bekerjasama rapat
dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk melakar peta persempadanan
pilihanraya yang baharu untuk memberikan kelebihan kepada BN dalam
PRU-14. Sesiapa sahaja yang meneliti peta persempadanan baharu akan
dapat mengetahui bahawa ia dibuat secara sengaja untuk memihak kepada
BN. Bukankah ini satu bentuk penipuan yang nyata?
Pakatan
Harapan juga mendapati terdapat ribuan nama dalam daftar pemilih yang
tidak mempunyai alamat lengkap. Ini menimbulkan keraguan tentang
siapakah identiti mereka? Adakah mereka benar-benar pemilih yang layak
atau tidak?
Selain
itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihanraya Malaysia, kategori
pengundi pos ditambah dengan merangkumi kakitangan kerajaan yang sebelum
ini tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengundi sebagai pengundi
biasa. Jika sekalipun kerajaan berhasrat untuk memberikan kelonggaran
kepada mereka untuk mengundi tanpa menjejaskan tugas rasmi, maka tidak
sepatutnya menjadi masalah kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari
mengundi sebagai hari cuti umum.
Pakatan
Harapan juga telah dapat mengesan sejumlah anggota tentera dipindahkan
ke kem-kem tentera yang belum siap dibina di beberapa kawasan
pilihanraya yang dimenangi secara tipis oleh BN dalam PRU-13. Dengan
pemindahan ini, anggota-anggota tentera ini layak mengundi sebagai
pengudi pos di kawasan Parlimen dan DUN di mana mereka ditempatkan.
Dengan
proses undian pos yang tidak telus serta terdedah kepada penipuan,
Pakatan Harapan mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa BN akan
menggunakan proses undian pos untuk menipu dalam PRU-14. Penipuan dan
manipulasi undian pos akan dilakukan oleh BN semata-mata untuk
mengekalkan kuasa mereka yang ibaratnya sedang berada di hujung tanduk.
Najib
tidak perlu membohongi rakyat dengan mengatakan BN tidak akan menipu
dalam PRU-14. Hakikatnya, penipuan telah dan sedang dilakukan oleh BN
kerana mereka semakin hari semakin takut akan kalah dalam pilihanraya.
Buktinya, sehingga ke hari ini, Najib masih belum berani untuk
membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya.
Dengan
segala kuasa yang ada pada Najib dan BN, mereka sudah pasti akan
melakukan apa sahaja bentuk penipuan untuk mengekalkan kuasa. Najib
pasti tahu apa akibat yang akan ditanggung olehnya jika BN kalah. Najib
juga tahu BN pasti akan kecundang jika pilihanraya dijalankan secara
bebas dan adil.
Jika
Najib benar-benar ingin memberi jaminan bahawa tiada penipuan dalam PRU
14, maka Pakatan Harapan mendedesak kerajaan supaya mengundang pasukan
pemantau pilihanraya yang bebas daripada Sekretariat Komanwel dan PPB
untuk memantau perjalanan PRU-14.
Namun,
kita tidak boleh menolak hakikat bahawa dengan segala kuasa yang ada
pada Najib dan BN, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan
kuasa.
Justeru,
yang penting ialah apa yang boleh dibuat oleh rakyat? Adakah kita
sebagai rakyat akan hanya berpeluk tubuh dan menyerahkan segalanya
kepada takdir? Adakah kita rela membiarkan rejim kleptokrat BN terus
berkuasa selepas PRU-14?
PRU-14
bukanlah pertembungan antara PH dan BN. PRU-14 adalah pertembungan
antara rakyat dan BN untuk menghentikan segala bentuk kerosakan dan
kemungkaran yang sedang dilakukan oleh Najib dan BN.
Saya
yakin, apabila majoriti besar rakyat bangkit menolak BN menerusi peti
undi, apa sahaja bentuk penipuan yang dilakukan oleh Najib dan BN tidak
akan mampu menyelamatkan mereka. Pilihan ada di tangan kita sebagai
rakyat untuk menggunakan kuasa kita menolak rejim kleptokrat BN dan
menyelamatkan Malaysia.
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden Pakatan Harapan/
Pengerusi JK Pilihanraya Pakatan Harapan
1hb Feb 2018
ULASAN
- Berdasarkan hujah-hujah bernas yang dilontarkan Muhyiddin Yassin,
beranikah Najib Razak menyahut cabaran beliau untuk membenarkan
pemerhati antarabangsa memantau PRU 14 akan datang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan