Ada pihak yang tidak senang apabila Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan berkaitan dasar kerajaan.
Terbaru, beliau menasihatkan Lim Guan Eng agar menyerahkan tugas membongkar salah laku dan penyelewengan pentadbiran lalu kepada menteri atau agensi lain kerana menurutnya statusnya sebagai menteri kewangan adalah sensitif.
Bagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar - seperti orang lain - bebas memberi pandangan berhubung keputusan dan dasar kerajaan.
"(Anwar) seperti orang lain, dia boleh ulas - buat apa saja komen. Dia bukan dalam kerajaan," katanya dalam wawancara bersama Channel News Asia.
Namun, kata Mahathir, kerajaan akan tetap dengan keputusannya sebaik Kabinet mencapai persetujuan.
"...Mereka yang tiada dalam kerajaan boleh beri komen. Mereka boleh kata apa saja, tetapi kami adalah kerajaan," katanya lagi seperti dipetik.
Antara yang menjadi perhatian utama selepas PRU ke-14 adalah hubungan antara Mahathir dan Anwar, selepas mengambil kira sejarah dua pemimpin itu.
Perbezaan pandangan mereka dalam beberapa isu menimbulkan keresahan berhubung kestabilan kerajaan HARAPAN.
Mengikut aturan sebelumnya, Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar dalam masa dua atau tiga tahun tetapi tiada tarikh tepat untuknya.
Mahathir berkata beliau boleh bekerjasama dengan pihak yang tidak bersetuju dengannya seperti kali pertama beliau memimpin negara.
"Saya sentiasa boleh kekal dan bekerja dengan mereka yang menentang saya. Ada ramai yang menentang saya...tetapi saya (berjaya) menanganinya.
"Jika saya tidak dapat tanganinya, saya akan letak jawatan," katanya lagi.
Najib bukan 'Anwar baru'
Wawancara itu juga menyentuh hubungan antara Mahathir dengan Najib. Sama seperti Anwar, Najib dilihat sebagai bekas 'anak didik' yang bertukar menjadi musuh.
Mahathir malah pernah menyuarakan kekesalannya kerana menyokong Najib untuk menggantikan Tun Abdullah Badawi sebagai perdana menteri.
Mengulas perkara itu, Mahathir berkata beliau yakin bahawa situasi kini berbeza.
"Kes (terhadap Najib) lebih jelas...seluruh pilihan raya berdasarkan dakwaan (terhadapnya). Jadi orang tidak akan kata saya menganiayanya.
"Mereka tahu kesalahan yang telah Najib lakukan. Kebimbangan mereka adalah dia mungkin terlepas...peguam yang bagus mungkin dapat membuatnya terlepas (daripada hukuman)," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan