Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap sesetengah pemegang AP (approved permit) gula yang didakwa mengambil untung atas angin dan menekan peniaga.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan mendakwa golongan ini - yang turut melibatkan ahli politik - tidak menjalankan perniagaan sendiri sebaliknya menjadi orang tengah dan mendapat keuntungan dengan menyewakan AP mereka.
"Bukan semua peniaga gula ada AP. Yang tidak berniaga ini akhinya menyewakan AP mereka kepada peniaga yang mahu membawa masuk gula dari luar.
"Kalau AP untuk sekilogram berjumlah 50 sen, dan peniaga nak bawa masuk gula dengan jumlah banyak dari Thailand, berapa yang diperolehi (pemegang) AP ini? Banyak," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPIM di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, amalan itu akhirnya menekan peniaga kerana meningkatkan kos mereka.
Gula termasuk dalam barang kawalan bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961. Harga barang yang tersenarai dalam seksyen ini dikawal kerajaan.
Pada 1 Mac 2017, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menaikkan harga gula daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram.
Nadzim mendakwa kerajaan akan dapat menurunkan harga gula jika berjaya menangani isu ini.
"Kita tengok ada yang tak kena dengan (pemberian) AP ini. Jika diselesaikan secara berperingkat, harga barang dapat diselaraskan tanpa memberi lebih (keuntungan) kepada (pemegang AP) yang tidak berniaga gula.
"Jika AP diberikan kepada mereka yang betul-betul berniaga, harga gula dan juga barang-barang lain boleh turun," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Biro Wanita PPIM Suraya Ali berkata pihaknya tidak merujuk 'raja gula' Robert Kuok dalam membangkitkan isu ini.
Katanya, Kuok tidak mengambil untung atas angin kerana memang pengusaha yang memiliki kilang dan jenama gula sendiri.
"Robert Kuok memang berniaga, layaklah dia dapat AP.
"Tetapi ada yang langsung tiada gula, tiada kilang dan jenama gula, tetapi dapat AP untuk disewakan kepada orang lain. Macam mana mereka boleh dapat?" soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan