Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberitahu Channel NewsAsia dalam satu wawancara yang beliau akan meletak jawatan jika "tidak mampu melakukannya".
Dr Mahathir berkata demikian selepas diminta memberi komen berhubung laporan mengenai "kebimbangan" perbalahan yang akan berlaku di antara beliau dan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim, yang dipecat atas dakwaan rasuah dan liwat pada 1998, ketika beliau menjadi perdana menteri dan Anwar timbalannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan yang pada masa ini beliau mempunyai "sokongan kuat daripada majoriti rakyat".
"Boleh jadi berlaku perbalahan antara saya dengan banyak orang. Tetapi saya sentiasa dapat bertahan dan bekerjasama dengan orang-orang yang menentang saya.
"Saya berada di sana selama 22 tahun, saya berdepan ramai orang yang menentang saya... tetapi saya berjaya melakukannya. Jadi, jika saya tidak dapat melakukannya, saya akan letak jawatan," kata Dr Mahathir.
Beliau dan Anwar berdamai untuk membantu PH memenangi pilihan raya 9 Mei. Ia membentuk kerajaan persekutuan dan berjaya membebaskan Anwar dari penjara di mana beliau menjalani hukuman lima tahun bagi pertuduhan liwat yang kedua.
PH berpakat yang Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri untuk mengukuhkan dan menyatukan kerajaan baru serta menyerahkannya kepada Anwar selepas dua tahun.
Tetapi banyak pihak terus membuat spekulasi berhubung kekuatan kerjasama mereka.
Khabar angin tersebar luas dengan tindakan Anwar mengadap beberapa raja Melayu baru-baru ini.
Anwar dan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beberapa kali mengulangi yang Anwar pada masa ini hanya berminat untuk bertemu dengan orang ramai dan memberi ceramah selepas menghabiskan masa di penjara.
Pada Februari sebelum pilihan raya umum, Dr Mahathir berkata beliau akan menjadi perdana menteri selama dua tahun, dengan mengatakan beliau realistik tentang usianya.
Bulan lalu selepas pilihan raya, beliau mengesahkan Anwar masih akan menjadi penggantinya tetapi berkata tempoh dua tahunnya mungkin dilanjutkan jika terdapat lebih banyak kerja yang perlu dilakukan.
Anwar juga dilihat lebih vokal walaupun tidak menjadi wakil rakyat atau memegang sebarang jawatan kerajaan.
Beliau baru-baru ini mengkritik Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana menakutkan pelabur dengan memberi tumpuan kepada mendedahkan salah laku kerajaan sebelum ini dan bukannya menangani dasar fiskal.
Tetapi Dr Mahathir berkata Anwar bebas memberi komen "seperti orang lain".
"Beliau boleh memberi komen - membuat sebarang komen. Beliau bukan dalam kerajaan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan