Oleh MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin menyeru agar wakil rakyat BN usah
semuanya meninggalkan parti mereka kerana perdebatan hanya dengan MP
Pas yang digelarnya ‘parti suci’ adalah tidak mencabar.
Beliau mengulas keputusan MP Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali hari
ini yang mengumumkan keluar Umno dan BN ketika 10 komponen parti dacing
itu bertindak meninggalkan gabungan blok politik tersebut.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkenaan bimbang
tiada penampilan BN sebagai pembangkang pada sidang Dewan Rakyat akan
datang jika keputusan keluar dari ‘parti sarkas’ yang digelarnya itu
berterusan.
“Bila baca berita kawan baik saya YB Bagan Serai isytihar keluar parti sarkas, jujurnya saya agak risau.
“Bukan apa, saya risau nanti pada masa sidang Parlimen bermula
InsyaAllah 17 Julai nanti, takut-takut dah tak ada seorang pun
pembangkang dari parti sarkas,” ujarnya.
Walaupun sidang Parlimen penggal ini masih mempunyai 18 MP Pas
sebagai pembangkang, jelasnya, situasi itu dijangka tidak menyaksikan
perbahasan Parlimen yang sengit.
“Mungkin ada orang kata pula, tak mengapa YB, bukankah masih ada 18 YB parti suci.
“Betul, tapi lawan dengan MP parti suci di Dewan Rakyat (berdasarkan track record perfomance MP mereka dalam sidang yang lepaslah) tak syok dan tak thrill,” tempelaknya.
Bahkan secara sinis, Hanipa mengibaratkan PH sebagai pemain sukan
dunia terkenal yang berentap dengan Pas di Dewan Rakyat tidak ubah
seperti ketika sesi latihan sahaja.
“Kalau PH ibarat Lin Dan (pemain badminton China) atau Roger Federer
(pemain tenis Switzerland), lawan parti suci (Pas) di Dewan Rakyat macam
mereka berdua main badminton atau tenis ketika latihan saja. Tak best!” sindirnya lagi.
Untuk rekod, keputusan Noor Azmi meninggalkan Umno-BN sekali gus
menyebabkan Umno kini tinggal 53 daripada 54 kerusi di Dewan Rakyat.
Noor Azmi merupakan ahli Parlimen pertama keluar Umno selepas BN kalah teruk dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu.
Walau bagaimanapun, Umno pada masa ini kekal sebagai parti terbesar di Parlimen, diikuti PKR (47) dan DAP dengan 42 kerusi.
Sementara itu, pecahan 18 Ahli Parlimen Pas mengikut negeri
menyaksikan separuh daripadanya di Kelantan manakala enam dari
Terengganu dan tiga lagi dari Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan