Selepas 48 hari mentadbir negara, Pakatan Harapan (HARAPAN) menunjukkan prestasi yang baik dalam isu kepenggunaan setakat 48 hari mentadbir negara, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan ia berdasarkan respons yang ditunjukkan kerajaan dalam isu pengguna yang dibawa pihaknya.
"Alhamdulillah ada respons (daripada kerajaan), mudah untuk beri respons isu pengguna.
"Setakat ini okey kot. (Tetapi) kita mahu (kerajaan) sentiasa menjadi lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini," katanya ketika diminta mengulas prestasi kerajaan HARAPAN dalam sidang media di ibu pejabat PPIM di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata PPIM akan terus memainkan peranan 'semak dan imbang' kepada kerajaan terutama dalam soal berkaitan pengguna.
"Kita harap kerajaan hari ini terus mendengar rungutan dan suara rakyat. Kekuatan pengguna ini tidak boleh dinafikan, perkara yang mustahil juga boleh terjadi," katanya lagi.
Untuk rekod, kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan masih belum mempunyai menteri.
Dalam pada itu, Nadzim sekali lagi menyuarakan bantahannya terhadap cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk melarang warga asing menjadi tukang masak di restoran.
Beliau berkata cadangan itu menjejaskan pihak yang terlibat dalam perniagaan restoran.
"Nak pekerja tempatan ganti berpuluh ribu tukang masak (warga asing) itu satu perkara, sektor lain seperti perkilangan dan pembinaan (juga masih) memerlukan pekerja asing," katanya lagi.
Cadangan yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran 22 Jun lalu mengundang kritikan banyak pihak, termasuk cef selebriti Redzuawan Ismail yang menyifatkannya sebagai bersifat perkauman.
Ekoran kritikan itu, Kulasegaran berkata perkara itu masih di peringkat cadangan dan kementerian akan berbincang dengan pihak yang terlibat sebelum membuat keputusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan