Tengku Razaleigh Hamzah berkata kehadiran Umno di Sabah diterima baik oleh rakyat negeri itu serta berjaya memainkan peranannya dengan efektif.
Malah katanya Umno bukan parti yang bermasalah, sebaliknya yang menjadi isu adalah kepimpinan parti itu yang tidak diterima rakyat.
“Rakyat sangat gembira dengan matlamat Umno dan tujuan parti itu ditubuhkan serta perjuangannya namun rakyat tidak gembira dengan karakter dan tabiat sesetengah pemimpin parti itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemimpin Umno Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Menurut wakil rakyat Parlimen Gua Musang itu isu integriti dan kredibiliti pemimpin Umno membimbangkan rakyat, justeru sudah tiba masanya anggota parti mengubah keadaan berkenaan.
“Inilah (integriti dan kredibiliti kepimpinan Umno) yang menjadi kebimbangan rakyat dan inilah yang perlu diperbetulkan. Kita amat serius dalam menjaga kebajikan rakyat dan kebajikan rakyat inilah yang perlu diambil berat,” katanya.
Mengenai perancangannya untuk Umno sekiranya terpilih sebagai presiden parti, Tengku Razaleigh menjanjikan sesuatu yang berbeza berbanding kepimpinan terdahulu.
Beliau bagaimanapun tidak memberi ulasan lanjut.
Mengenai usul anggota Umno Sabah untuk keluar daripada Barisan Nasional dan menubuhkan pakatan politik seperti Gabungan Bersatu, Tengku Razaleigh menasihati mereka agar berfikir panjang termasuk implikasi penubuhan gabungan sedemikian.
“Itu hak anda (berbuat demikian) tetapi anda perlu berfikir dua kali sebab jika anda tidak berhati-hati..anda mungkin ditelan oleh orang lain jika anda tidak cukup kuat. Itulah bahayanya. Ia telah berlaku banyak kali di mana-mana,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan