HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Ogos 2018

'Dakwaan akaun luar negara serangan politik menjelang pemilihan'

 
   

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan bahawa beliau memiliki wang dalam akaun di luar negara hanyalah serangan politik menjelang pemilihan parti itu.

"Saya yakin ini adalah permainan politik menjelang pemilihan parti.

"Saya telah lalui semua ujian ini dan nurani saya jelas - saya berada di sini untuk membawa aspirasi rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dakwaan itu muncul di sebuah blog bulan lalu yang mendakwa menteri hal ehwal ekonomi itu memiliki sekurang-kurangnya RM300 juta yang disimpan di beberapa akaun di luar negara.

Azmin juga telah mengulas dakwaan itu dengan berkata mana-mana pihak yang mempunyai bukti boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa dan bukan menyerangnya secara sembunyi.

Ketika itu, beliau juga berkata mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blog tersebut.

Hari ini, beliau sekali lagi mengulang gesaan agar pihak terbabit membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika memiliki bukti salah lakunya.

"Saya sudah sebut banyak kali...Kemuka semua bukti kepada SPRM. Kita ada agensi yang boleh jalankan siasatan," katanya lagi.

Pencalonan bagi pemilihan PKR akan diadakan minggu ini.

Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor berkata masih belum membuat keputusan jawatan yang akan ditandinginya, walaupun ada spekulasi beliau mungkin bertanding untuk jawatan presiden melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Tiada ulasan: