Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari membidas pihak tertentu yang menggunakan taktik kotor untuk memenangi jawatan tertinggi pada pemilihan PKR.
Beliau yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, tindakan kumpulan tertentu yang membuat serangan peribadi terhadap pesaing mereka tanpa mengemukakan bukti yang kukuh perlu dihentikan kerana ia tidak mendatangkan manfaat kepada parti.
“Jangan buat tuduhan liar. Sikap sedemikian tidak boleh diterima sama sekali serta yakin calon seperti itu akan ditolak oleh akar umbi parti.
“Saya lihat berdasarkan pemilihan sebelum ini, pihak yang guna taktik kotor ini tidak akan berjaya.
“Setiap calon sepatutnya sediakan dasar dan program untuk perkasakan PKR,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang 2018, di Shah Alam pada Isnin.
Amirudin turut mencadangkan pihak yang terpalit dengan tuduhan tidak berasas oleh pihak tertentu untuk membawa perkara terbabit kepada Lembaga Displin PKR.
“Siapa yang ada berasa terguris hati serta anggap ia adalah tuduhan salah, boleh lapor kepada Lembaga Disiplin,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid terhadap gesa mendakwa Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengugut untuk ‘menghentam dan menelanjangkan’ isterinya, Datin Faezah Ariffin, yang juga calon Naib Ketua Wanita PKR.
Ugutan itu dipercayai dibuat berikutan Faezah mengkritik kepemimpinan Zuraida sebagai Ketua Wanita dalam satu majlis parti di Seremban, baru-baru ini.
Selain itu, Abdullah Sani yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKR turut mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mendalangi konspirasi untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.
Beliau mendakwa Mohamed Azmin turut bekerjasama dengan Daim bagi menghentikan peralihan kuasa yang dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Harapan sebelum ini.
Pemilihan PKR pada bulan depan dijangka ‘panas’ apabila Rafizi Ramli akan mencabar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, yang juga penyandang jawatan Timbalan Presiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan