HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Ogos 2018

PEMUDA UMNO RAYU ‘BANTUAN’ PEMIMPIN PAS




Kerjasama UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis lebih bermakna jika pimpinan tertinggi PAS mengeluarkan kenyataan sokongan kepada calonnya.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata ia juga sebagai isyarat kepada usaha pengukuhan dan kesepaduan politik Melayu.

“Calon kita sendiri pun sudah merayu undi pengundi yang mengundi PAS tempoh hari.

“Bagi saya ini soal keikhlasan dan hak pengundi dan pemimpin PAS setempat yang kita hormati,” katanya di Shah Alam, pada Rabu.

Beliau ditanya mengenai sama ada perlu lebih ramai pemimpin tertinggi PAS, terutama Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan saranan menyokong calon BN dalam PRK ini.

Beliau berkata, kerjasama politik antara UMNO dan PAS ini diakui memerlukan masa dan berharap di PRK Sungai Kandis ini menjadi titik permulaannya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, jika lebih ramai pemimpin tertinggi PAS buat kenyataan terbuka menyokong Lokman, ia akan meningkatkan keyakinan ahli PAS menyokong BN.

“Kalau lebih ramai pemimpin utama PAS buat kenyataan terbuka seperti Nik Abduh (Nik Aziz) dan Nasrudin Hassan, maka ini akan meningkatkan peluang kemenangan Lokman.

“Saya yakin ini tiada masalah seperti mana PAS lakukan ketika dalam Pakatan Rakyat dulu,” katanya.

Beliau akui, faktor besar menghalang kerjasama UMNO-PAS ialah penerimaan di peringkat akar umbi, memandangkan masih ada ahli PAS ragu mengenai keihklasan kerjasama ini kerana pengalaman lama.

“PRK Sungai Kandis diharap menjadi pencetus kekal. PAS membuktikannya apabila tidak meletakkan calon.

“Kalau ia berlaku, maka harapan kerjasama UMNO-PAS menjadi cerah dan boleh menukar landskap politik Malaysia ke arah pakatan pembangkang yang kuat. Tidak mustahil kerajaan PH akan tumbang awal,” katanya.


Tiada ulasan: