HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Januari 2019

AHLI MPT SOKONG SADDIQ


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Dr. Muhammad Faiz Na’aman menyokong pandangan Ketua Armada, Syed Saddiq yang menolak cadangan pemberian kontrak projek kepada ketua-ketua bahagian parti tanpa melalui proses selayaknya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Biro Integriti Armada berkata kritikan tegas Syed Saddiq itu bertepatan dengan aspirasi Malaysia baharu yang menolak sebarang unsur yang boleh menjerumus ke arah korupsi.

“Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salah Guna Kuasa ARMADA Nasional menyokong penuh gesaan Ketua ARMADA Nasional agar sebarang pemberian kontrak atau lantikkan dalam apa-apa jawatan hendaklah berdasarkan kelayakkan serta kemampuan berbanding pertimbangan berdasar kecenderungan politik semata-mata.

“Ini bagi memastikan elemen integriti dijadikan penanda aras teratas dalam sebarang keputusan melibatkan Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Walaubagaimanapun, Muhammad Faiz menjelaskan pihaknya tidak menolak strategi terbaik bagi mengukuhkan akar umbi kekuatan Pakatan Harapan tanpa melibatkan salah guna kuasa.

“…Biro Integriti ARMADA Nasional tidak menolak strategi “realpolitik” bagi menyusun atur proksi-proksi yang setia bersama aspirasi Pakatan Harapan dengan syarat mereka perlulah memenuhi kriteria kelayakan serta bebas dari kes korupsi, salah guna kuasa atau jenayah.

“Biro Integriti ARMADA Nasional sedar adalah lumrah untuk mana-mana parti politik yang memerintah dalam dunia ini untuk melantik mana-mana pemimpin mereka dalam jawatan tertentu agar dapat melaksanakan rancangan serta agenda perubahan dengan lancar tanpa gangguan dari elemen-elemen sabotaj oleh pihak tertentu,” katanya.

Dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PPBM baru-baru ini, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menyelar tradisi penganugerahan lantikan atau kontrak projek berdasarkan kepartian.

Kritikan tersebut merupakan reaksi secara langsung daripada perwakilan PPBM sendiri yang menuntut pemberian kontrak projek kepada ketua-ketua bahagian dengan alasan mengukuhkan sokongan kepada parti.


Tiada ulasan: