SELANGOR KINI
GEORGE
TOWN: Lebih 10,000 kes kemalangan di negara ini didapati
berpunca daripada penggunaan tayar celup, kata Menteri Kerja Raya, Baru
Bian.
Beliau berkata, statistik dikeluarkan Lembaga Lebuhraya
Malaysia (LLM) adalah satu angka mengejutkan apabila jumlah kemalangan
dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup itu.
Katanya, selain itu kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini.
“Saya
sangat terkejut dengan perkara ini. Kalau kita bahagikan setahun iaitu
365 hari bermakna sehari 30 kemalangan direkodkan disebabkan tayar
celup. Bagi kenderaan terlebih muatan, statistiknya pun begitu tinggi.
“Bagi
saya, perkara ini, kita akan ambil serius melalui penguatkuasaan
memastikan tiada kenderaan terlebih muatan di jalan raya. Kedua, tayar
celup tidak selamat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu,
Baru mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara LLM sebelum
diberi taklimat berkenaan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh
raya serta aspek pengurusan dan operasi Jambatan Pulau Pinang dan
Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Turut hadir, Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah.
Baru
yang juga Anggota Parlimen Selangau berkata, pihaknya akan mengadakan
kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ) untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan bagi
mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.
Sementara itu,
mengulas mengenai penutupan bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
bagi kerja membaik pulih bangunan warisan itu, beliau berkata, ia
dijangka bermula Jun ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
“Kerja
pembaikan ini akan diuruskan JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan anggaran
kos sebanyak RM17 juta. Kerja pembaikan merangkumi baik pulih bumbung,
dinding dan struktur yang rosak.
“JKR telah menyediakan laporan
kerosakan dan pengesyoran pembaikan bangunan adalah di bawah kategori
warisan. Kami akan tengok macam mana bangunan ini akan dipulihkan. Bagi
saya ini adalah satu perkara penting kerana saya juga adalah seorang
pencinta warisan,” katanya.
Bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau
Pinang ditutup sejak 3 September tahun lalu atas faktor keselamatan dan
semua mahkamah tinggi di situ dipindahkan ke Bangunan Annex bersebelahan
bangunan utama itu.
Sempena lawatan kerja itu, Baru turut
dijadual meninjau perjalanan operasi tol di lorong motosikal di Plaza
Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Plaza Tol Jambatan
Pulau Pinang sejak pemansuhan tol bagi motosikal bermula 1 Januari lalu. SUMBER: BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan