HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 September 2019

Tanjung Piai: Jangan beri kepada MCA


Tun Abdul Hamid Mohamad


Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Abdul Hamid Mohamad

PADA 21 September 2019, tersiar berita bahawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wira Dr. Md Farid Md Rafik, Ahli Parlimen Tanjung Piai telah meninggal dunia akibat serangan jantung pada umur yang masih muda, iaitu 42 tahun.

Kita terima berita itu dengan rasa sedih dan mendoakan rohnya dirahmati Allah dan ucapan takziah kepada keluarganya.

Presiden UMNO, DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berada di Kota Kinabalu, ketika ditanya wartawan, berkata bahawa UMNO akan berbincang dengan teliti dengan parti- parti komponen BN sebelum memutuskan siapakah calon yang akan diletak di kubu kuat MCA.

Esoknya, pada 22 September 2019, keluar berita bahawa DS Wee Jeck Seng, calon MCA yang memenangi kerusi tersebut atas tiket BN selama dua penggal sebelumnya, tetapi kalah dalam PRU 14, bersedia untuk bertanding semula.

“Sebagai ketua bahagian (MCA), saya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi itu dan saya semestinya bersedia,” katanya.

Pada hari yang sama, tersiar pula kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon bahawa MCA bersedia untuk merampas balik kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).

Perhatikan reaksi pemimpin UMNO dan pemimpin-pemimpin MCA. Pemimpin UMNO menghormati pandangan parti-parti komponen BN, malah membuat kesilapan apabila berkata kawasan itu adalah kubu kuat MCA. Itu adalah satu kesilapan yang perlu dibetulkan. Jika DS Zahid tidak berkata demikian, beliau hendaklah mengeluarkan kenyataan menafikannya.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin MCA itu seolah-olah menganggap kawasan pilihanraya itu milik mereka dan mengeluarkan kenyataan demikian tanpa berunding dengan parti- parti komponen BN, terutama sekali UMNO.

Kawasan itu tidak pernah menjadi kubu kuat MCA, dalam erti kata MCA boleh memenanginya jika ia bertanding bersendirian, dengan undi orang Cina, tanpa undi orang Melayu. Sebaliknya, ia adalah antara kawasan majoriti Melayu dan kubu kuat UMNO yang diberikan kepada MCA dan MIC (kemudiannya, termasuk Gerakan). Amalan itu dilakukan semenjak PRU 1 (1955), pada masa itu untuk memberi representasi yang lebih

kepada orang Cina, manakala MIC pula, hingga ke hari ini, tidak mungkin memenangi satu kerusi pun secara bersenditian. Kemudiannya, kawasan-kawasan seperti itu diberi kepada MCA dan Gerakan untuk memastikan pemimpin utama mereka tidak kecundang, jika mereka bertanding dalam kawasan majoriti Cina.

Ertinya, mereka bertanding dan menang di kawasan-kawasan seperti itu atas ihsan UMNO dan orang Melayu. Itu pengorbanan UMNO yang ahli-ahli UMNO, MCA, Gerakan dan MIC perlu ingat.

Mengenai kawasan Parlimen Tanjung Piai, semenjak ia diwujudkan, UMNO telah bermurah hati memberikannya kapada MCA sebagai kawasan selamat untuk ditandingi oleh pemimpin-pemimpin MCA kerana jika mereka bertanding di kawasan majoriti Cina, mereka akan kalah disebabkan MCA tidak mendapat sokongan daripada orang Cina.

Dalam PRU 11 (2004), ia diberikan kepada Presiden MCA, Ong Kah Ting, sebagai kerusi selamat untuk mengelak beliau kalah di kawasan majoriti Cina. Beliau berasal dari Lenggong, Perak. Apa hubungannya dengan Tanjung Piai, Johor? Ertinya kawasan itu diberi kepada MCA atas ihsan UMNO dan baliau menang atas ihsan pengundi Melayu, khususnya UMNO.

Dalam PRU 12 dan 13, kawasan itu diberi pula kepada Wee Jeck Seng. Beliau juga menang atas sokongan padu pengundi Melayu, walau pun dalam PRU 13 (2013), DAP meletakkan calon Melayu.
Perhatikan betapa taat setianya ahli-ahli UMNO kepada parti untuk menjaminkan kemenangan calon parti komponannya, walaupun bukan Melayu. Anihnya, Melayu dikatakan rasis.

Semasa PRU 14, peratusan pengundi bagi kawasan Parlimen Tnjung Piai adalah seperti berikut:
jumlah pengundi 53,528; Melayu 56.80%; Cina 41.64%; India 1.01% dan lain- lain 0.55%. UMNO menuntut supaya kawasan itu diberikan kepada UMNO untuk bertanding, tetapi tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan UMNO. Maka, ia diberi juga kepada MCA dan DS Wee Jeck Seng bertanding lagi atas tiket BN.

Keputusan pilihanraya itu adalah seperti berikut: DS Wee Jeck Seng (BN) 20,731; Nordin Othman(PAS) 2,962; Dr. Md. Farid Md Rafik (Bersatu) 21,255. Dr Md Farid menang dengan majoriti 524.

DAP mendakwa bahawa dalam PRU 14, 97% pengundi Cina mengundi DAP. (Itu tidak rasis?). Jika dakwaan itu benar, maka dalam PRU 14, berapakah undi orang Cina yang diperolehi DS Wee Jeck Seng?

Memang benar tidak ada calon DAP di kawasan itu. Tetapi, dalam PRU 14, DAP bertanding atas nama PH, malah memakai simbol PKR. Semestinyalah, orang-orang Cina yang berdiri di belakang DAP dalam PRU 14, mengundi calon PH.

Soalnya berapakah undi Cina yang diperolehi oleh calon MCA itu? Saya percaya, sebagiaan besar undi yang diperolehi beliau itu adalah undi orang Melayu, yang setia kepada UMNO dan BN, kerana penyokong PAS tentu sekali mengundi calon PAS.

Mengapa DS Wee Jeck Seng kalah? Jawapannya diberi oleh Jefridin Atan, Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai. Mengikutnya BN kalah di kawasan itu kerana MCA tidak mahu menyerahkan kawasan itu kepada UMNO.

“Ahli-ahli UMNO di sini menuntut supaya kawasan itu diberikan kepada UMNO, tetapi pemimpin-pemimpin (UMNO) tidak menghiraukannya. Akibatnya mereka mengundi pembangkang”.

 Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang tidak sepatutnya memadang ringan alasan yang diberikan oleh Jefridin Atan itu. Beliau adalah Ketua Bahagian dan tahu hal sebenar yang berlaku di akar umbi. Tidak menghiraukannya akan membawa padah.

Kesimpulannya, Tanjung Piai bukanlah kubu kuat MCA. Ia diberikan oleh UMNO kepada MCA atas ihsan UMNO. MCA tidak ada hak untuk menganggap kawasan itu sebagai haknya, mahu pun kawasan tradisionalnya. Ihsan orang jangan dijadikan hak.

UMNO juga tidak harus lupa sikap MCA selepas PRU 14. Selama 60 tahun MCA menumpang ihsan UMNO semasa UMNO kuat. Sekali kalah, berbagai-bagai cercaan dilepaskan terhadap UMNO.

MCA terus menjauhkan diri daripada UMNO, menuntut supaya BN dibubarkan, menyebabkan pemimpin-pemimpin UMNO yang ada sekarang menyuruhnya keluar jika tidak yakin dengan BN lagi. Tetapi, entah mengapa, tidak pula ia berani bertindak keluar dari BN.

Dengan angkuh dan hendak membuktikan bahawa pengundi Cina menolak MCA kerana ia bersekongkol dengan UMNO, maka MCA masuk bertanding dalam PRK DUN Balakong pada 8 September 2018 dengan menggunakan simbolnya sendiri. Apa jadi? MCA mendapat 3,975 undi manakala PH yang meletakkan calon DAP mendapat 22,508 undi. Undi yang diperolehi oleh MCA itu tentu sekali termasuk undi orang Melayu, berapa banyak kita tidak tahu.
Biar apa pun MCA tahulah langit tinggi rendah.

Dalan PRK DUN Sungai Kandis, walau pun UMNO bertanding atas nama BN, kelibat MCA tidak kelihatan. UMNO sudah tidak berguna lagi. Lebih baik lari daripadanya.

Presiden MCA yang sering mencerca UMNO dan menuntut BN dibubarkan, kemudiannya memperolehi mandat daripada MCA sebelum menghadiri mesyuarat BN, untuk menuntut supaya BN dibubarkan. Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat itu, tetapi BN tidak juga dibubarkan.

Sampai ke PRK Parlimen Cameron Highlands (26 01 2019). MIC yang mungkin merasakan tiada harapan untuk menang memberi laluan kepada UMNO. Sementara itu

UMNO dan PAS yang mula sedar tentang penting bekerjasama demi kepentingan Melayu dan Islam, buat pertama kali dalam berpuluh-puluh tahun, bersama-sama berkempen bagi calon BN, dan calon BN (UMNO) menang. PRK Cameron Highlands akan tercatat dalam sejarah sebagai titik permulaan kerjasama UMNO dan PAS yang membawa kejayaan.

Dua bulan kemudian, tiba pula PRK DUN Semenyih (02 03 2019). Kali ini UMNO dan PAS mengulangi kerjasama seperti di Cameron Highlands. Wajah pemimpin Wanita dan Pemuda MCA mula kelihatan. Calon BN (UMNO) menang lagi.

Ini mungkin menyebabkan MCA membuat perkiraan semula. Maka, semasa berkempen untuk PRK DUN Rantau (13 04 2019) yang ditandingi oleh Naib Presiden UMNO, DSU Mohamad Hassan,
setelah kemenangannya dalam PRU 14 dibatalkan oleh Mahkamah, pemimpin-pemimpin MCA sudah terang-terang berkempen, malah duduk dan berucap sepentas dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS. DSU Mohamad Hassan menang.

Selepas itu, nampaknya, mandat yang dahulu dijaja dengan megah itu sudah dilupai.

UMNO juga perlu ingat bahawa ia baharu sahaja menandatangani piagam muafakat dengan PAS.
PAS perlu meyakinkan ahli-ahli dan penyokongnya bahawa ia tidak melanggar dasar perjuangannya,
selama ini. Bagaimana pemimpin-pemimpin PAS akan menjawab jika ahli-ahlinya merungut: kita baru sahaja mewujudkan muafakat dengan UMNO. Sekarang kita diminta mengundi orang bukam Islam di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Islam. Adakah kita mengadakan muafakat untuk memilih orang bukan Islam menjadi ketua kita? Jika itulah tujuannya, lebih baik tidak ada muafakat.

Jika rungutan yang sama dikemukakan oleh PAS kepada UMNO, apakah jawapan UMNO? Saya ingin dengar.

Dalam isu ini, UMNO perlu pilih antara PAS dan MCA. Di satu pihak ialah MCA yang telah menumpang UMNO semasa UMNO kuat dan berguna selama 60 tahun tanpa berterima kasih. Malah apa yang diberi atas ihsan itu dianggap sebagai hak. Apabila UMNO lemah dan tidak berguna kepadanya, ia menjauhkan diri, menghina dan mencerca dan menuntut supaya BN dibubarkan.

Tetapi, apabila nampak UMNO telah mula kuat semula dan menyedari ia tidak mempunyai kekuatan sendiri, maka MCA pun datang untuk berbaik-baik semula. Apabila nampak sahaja peluang yang menguntungkan, lantas ia menuntutnya, seolah-olah itu haknya, padahal ia adalah ihsan UMNO.
UMNO juga perlu fikir berapa undikah yang yang boleh di beri oleh MCA dan berapa undikah yang boleh diberi oleh PAS, kepadanya.

Di satu pihak lagi adalah PAS. PAS bersusah payah meyakinkan ahli-ahlinya untuk menerima muafakat dengan UMNO. Sebelum piagam ditandatangan pun, kerjasama antara UMNO dan PAS di tiga PRU itu telah memberi kemenangan kepada UMNO. PAS tidak mendapat apa-apa. Tetapi ahli-ahlinya bertongkos lumus bekerja siang dan malam untuk memberi kemenangan kepada calon UMNO. Yang membantu calon UMNO di ketiga-tiga PRU itu menang adalah PAS, bukan MCA.

Di Tanjung Piai pun, jika UMNO meletak calonnya, petugas-petugas PAS dari seluruh negara akan turun dan bekerja siang malam untuk memberi kemenangan kepada calon UMNO. PAS tidak
mendapat apa-apa. Sebaliknya, jika kawasan itu diberi kepada MCA untuk bertanding, saya percaya petugas-petugas PAS tidak akan turun padang, malah saya percaya penyokong-penyokong PAS sama ada tidak keluar menundi, membuat undi rosak atau mengundi calon PH yang semestinya Melayu dan Islam. (Penyokong- penyokong UMNO juga besar kemungkinan akan melakukan perkara yang sama,)

Jika MCA berkeras tidak mahu melepas kawasan itu kepada UMNO, UMNO boleh berkata kepada MCA, baik, MCA boleh meletakkan calonnya dan menggunakan simbolnya seperti di Balakong. UMNO akan meletakkan calonnya. Kita lihat keputusannya.

Jika MCA tidak puas hati dan hendak keluar dari BN pun, keluarlah. UMNO tidak akan rugi apa-apa berbanding dengan akibat kegagalan muafakat dengan PAS.

Penulis-penulis anti-muafakat UMNO-PAS bermain psikologi mengatakan bahawa muafakat itu perlu membuktikan bahawa ia tidak rasis dengan memberikan kawasan itu kepada MCA. Saya bertanya mereka, pernahkah MCA memberi satu kawasan majoriti Cina untuk ditandingi UMNO dan memberi kemenangan kepada UMNO?

Kita menunggu untuk melihat keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Orang Melayu dan Islam tidak akan memaafkan mereka jika mereka memberikan kawasan Parlimen Tanjung Piai kepada MCA.

TULISAN bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad ini dipetik dari tunabdulhamid.my

Peluk pinggang ibu saudara sendiri

Nur Saliawati Salberi
 


PEMILIK bengkel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan cuba mencabul warga emas yang juga ibu saudaranya.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita warga emas berusia 64 tahun dengan memeluk bahagian pinggang dengan tujuan mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh dalam bilik air di sebuah rumah di Ayer Molek pada 4 petang, 21 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika didapati bersalah.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal yang turut mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 ditawarkan kepada tertuduh selain diminta tidak mengganggu mangsa.

Tertuduh yang tidak berkahwin itu kemudiannya merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan bekerja sendiri.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 3 Disember depan untuk tarikh sebutan semula dan serahan dokumen

Pantai kian terhakis

Ahmad Rabiul Zulkifli
 


“LEBIH 200 meter daratan sudah dihakis ombak sejak 2016 dan kawasan pantai yang terhakis seperti rumah yang dirosakkan anai-anai,” kata pemilik kedai ikan celup tepung di Pantai Pengkalan Maras, Jusoh Mamat, 69.

Jusoh berkata, dia dan keluarga tidak menjalankan perniagaan ikan celup tepung di kedainya sejak kawasan pantai itu terhakis teruk bermula Selasa lalu.

“Kedai saya pernah musnah dipukul ombak Januari lalu menyebabkan saya terpaksa membina kedai lain kira-kira 50 meter dari pantai.

“Bagaimanapun sejak Julai lalu, ombak mula menghakis kawasan pantai dan kini jarak hakisan itu hanya satu meter dari kedai saya.

“Tidak mustahil kedai saya musnah menjelang Oktober dan November ini memandangkan ombak besar serta angin sepanjang musim tengkujuh nanti,” katanya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan di kawasan pantai itu.

Menurutnya, dia buntu mengenangkan nasibnya jika kedai miliknya sekali lagi dilanda badai namun reda kerana apa yang berlaku adalah fenomena alam.

“Jika ada modal, saya sudah alihkan kedai ke tempat selamat tetapi ia memerlukan kos tinggi selain kami sendiri seronok berniaga di sini kerana sudah ada pelanggan tetap,” katanya.

Menurutnya, dia juga bimbang lebih banyak kawasan daratan di pantai berkenaan musnah jika pihak bertanggungjawab tidak membina tambak batu.

“Sebelum ini, ada jalan bertar untuk dilalui kenderaan namun kini semuanya sudah terhakis dan jika ia tidak ditambak segera, lampu limpah yang berada berhampiran pantai ini juga musnah,” katanya.

Penduduk, Sidek Rani, 60, berkata, dia sedih melihat keadaan pantai yang semakin teruk terhakis dan berharap kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu dengan membina tambak batu.

“Kawasan pantai ini lokasi penganjuran Pesta Pantai tetapi semuanya hanya tinggal kenangan kerana masalah hakisan pantai yang berlaku.

“Masalah ini akan bertambah teruk menjelang musim tengkujuh nanti dan ketika ini, sudah banyak pokok di tepi pantai tumbang kerana hakisan,” katanya.

Bagi Hafifi Azmi, 33, pula, pantai yang sebelum ini terkenal dengan keindahannya hanya tinggal kenangan kerana masalah hakisan pantai dan fenomena ombak besar.

“Tiada lagi pemandangan kanak-kanak dan orang ramai bermain di tepi pantai seperti dulu.

“Sekarang pengunjung yang datang hanya melihat kesan hakisan pada pantai kerana ia sudah tidak selamat untuk aktiviti terutama mandi,” katanya.

Belum pasti sawah dicemari bahan kimia

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
 
 

KERAJAAN negeri menunggu laporan penuh hasil siasatan dijalankan Jabatan Pertanian Perak dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) mengenai kesan tumpahan cecair kimia jenis Acetone Thinner terhadap sistem saliran sawah padi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri berkata, tindakan awal akan diambil kerajaan negeri sekiranya tumpahan cecair kimia daripada lori tangki ke dalam Parit Mentara 3, Bagan Serai, memberikan kesan negatif kepada sistem saliran sawah padi berdekatan.

“Buat masa ini saya belum menerima dan masih menunggu laporan daripada jabatan berkaitan jika bahan kimia tumpah boleh menjejaskan tanaman padi.

“Di Bagan Serai khususnya di kawasan kemalangan, pesawah sudah memulakan kerja membaja dan penanaman sawah padi, jadi perkara ini membimbangkan mereka.

“Justeru, laporan ini amat penting bagi memastikan tanaman padi pesawah tidak dicemari, “katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Ribut kepada 29 keluarga dalam Mukim Kuala Kurau dan Tanjung Piandang di Pusat Khidmat Rakyat di Kuala Kurau, Parit Buntar, hari ini.

Harian Metro kelmarin, melaporkan sebuah lori tangki terbalik di lokasi berkenaan mengakibatkan tumpahan muatan bahan kimia jenis Acetone Thinner hingga pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu.

'Saya mahu lihat wajah orang yang pukul Adib'

Noorazura Abdul Rahman
 


“DARI malam tadi perasaan saya sangat berdebar sehingga pagi ini namun sebaik saja dimaklumkan keputusan inkues menyebelahi arwah, saya rasa sangat lega,” kata ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 52.

Asma berkata, sebaik saja mengetahui keputusan itu, dia dan suami Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, terus mengucapkan rasa syukur dengan deraian air mata.

Katanya, doa mereka sebagai ibu bapa termakbul selepas hampir setahun menanti keadilan buat Allahyarham Adib.

“Perasaan itu tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata, walaupun rasa lega tapi Adib sudah tiada. Saya harap selepas ini penjenayah yang memukul arwah dapat ditangkap polis.

“Saya mahu melihat wajah orang yang memukul anak saya, saya mahukan keadilan untuk arwah dan pelaku mesti dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Ibu kepada empat anak ini berkata, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk kepada rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberi semangat.

Katanya, dia dan suami sepatutnya berada di mahkamah hari ini, namun membatalkan niat kerana perasaan tidak menentu selain risau sekiranya keputusan tidak memihak kepada anaknya.

“Tatapi petang ini saya dan suami akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan anak-anak yang berada di sana,” katanya.

Sementara itu, Mohd Kassim berkata, keputusan inkues adalah berita gembira untuknya sebagai seorang bapa.

Dia turut berterima kasih kepada semua pengamal media yang turut memberi liputan yang baik mengenai kes ini.

“Alhamdulillah saya gembira dengan keputusan ini, segalanya sudah terjawab,” katanya.

Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, memutuskan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Selayaknya Tommy tidak terlibat pendakwaan kes Allahyarham Muhammad Adib

Manzaidi Mohd Amin
IQBALBERJASA
Iqbal Hakim Abdul Razak
 
KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda Berjasa meminta semua pihak menerima dan menghormati keputusan inkues yang diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Ketua Pemuda, Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, mereka seharusnya memberi kerjasama yang baik kepada institusi kehakiman negara ini yang telah menunjukkan keadilan dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Pemuda Berjasa sendiri menyambut baik keputusan itu, yang memutuskan kecederaan dan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenalpasti.

“Dengan ini, kami menyeru semua pihak menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka setelah buat sekian lama rakyat Malaysia mengikuti perkembangan kes ini.

“Hormatilah keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah dan kepada pihak yang terbabit berikanlah kerjasama yang baik kepada insitusi kehakiman negara kita,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Iqbal Hakim, rakyat perlu sama-sama menghindari sikap dan contoh segelintir Exco kerajaan negeri, bahkan beberapa menteri yang menunjukkan sikap tidak hormat kepada pihak berkuasa yang turut menyumbang kepada tercetusnya rusuhan di Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya pada Disember lalu.

Kata beliau, Pemuda Berjasa turut menyeru kepada polis agar bertindak segera dan dengan cekap untuk mengendalikan kes itu.

“Selayaknya keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib dan keluarganya dilaksanakan secepat mungkin agar suasana tidak menyenangkan yang tercetus hasil daripada insiden ini dapat diredakan.

“Kami yakin kapasiti dan kemampuan polis untuk menyelesaikan siasatan dengan segera secara profesional dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak yakin dengan kewibawaan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk mengendalikan kes itu nanti.

Ini kerana Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan secara prima facie bahawa beliau telah melakukan kesalahan menghina mahkamah.

Katanya, memandangkan Peguam Negara sendiri masih dalam proses berhadapan dengan tuduhan menghina mahkamah, selayaknya beliau tidak terlibat dalam siasatan dan pendakwaan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Ini penting demi memelihara imej dan kewibawaan Jabatan Peguam Negara di mata rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

UMNO Batu Pahat buat laporan polis terhadap Amhari


Wartawan MalaysiaGazette


lapor-polis
Puad Zakarshi (tiga dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Amhari Efendi Nazaruddin di IPD Batu Pahat.

KUALA LUMPUR – UMNO Batu Pahat hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri.Amhari juga adalah saksi utama pendakwa raya dalam kes 1Malaysia Development Berhad membabitkan Najib.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Puad Zakarshi berkata, dalam laporan itu, UMNO Batu Pahat meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis mendakwa Amhari di bawah Akta Pencegahan Pengubahan  Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia susulan pengakuan Amhari terdapat wang sebanyak AS$880 (RM3.7 juta) dalam akaun Bank BSI Switzerland (BSI) di atas namanya.

Malah, dia juga menerima gaji RM25,000 sebulan daripada syarikat swasta Orbs Solution Sdn Bhd sedangkan beliau masih penjawat awam ketika itu.

Pada 5 September lalu, dalam keterangannya, Amhari mengaku membuka akaun bank BSI atas nama Amhari yang didakwanya bagi tujuan untuk penggubahan wang haram (money laundering).

Najib menghadapi 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion. – MalaysiaGazette

Tidak bertanggungjawab keluar kenyataan mensyahidkan orang – KPN

Bernama
MGF03062019_IGP-OPS-BALIK-KAMPUNG03
Datuk Seri Abdul Hamid Bador

ARAU – Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyelar tindakan individu yang membuat kenyataan tidak bertanggungjawab berhubung kejadian polis menembak mati seorang lelaki yang menetak dua rakan sekerjanya di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Walaupun tidak menamakan individu terbabit, beliau dipercayai merujuk kepada seorang pemimpin sebuah pertubuhan politik yang dilaporkan dalam satu ceramah menyifatkan kematian lelaki itu sebagai syahid.

Abdul Hamid berkata, pihaknya mengambil berat kenyataan tersebut dan telah mengarahkan polis untuk membuka kertas siasatan dan akan memanggil pihak terbabit untuk diambil keterangan.

“Berhubung kes di Pulau Pinang, ada lagi orang yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan fatwa dia sendiri mensyahidkan orang tersebut. Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya mengambil berat perkara ini sebab sekiranya apa yang dikatakan itu, orang itu mati syahid, jadi apa pula kedudukan anak buah saya yang telah menembak untuk menyelamatkan keadaan, apakah kedudukan pegawai-pegawai saya yang mengambil tindakan tersebut, kafir ke” soal beliau pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Katanya, kenyataan seumpama itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana dikeluarkan mengikut kata hati sendiri tanpa memikirkan fakta sebenar dalam kejadian yang berlaku.

Abdul Hamid berkata pegawai dan anggota polis telah mengambil langkah itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada dan sekiranya tindakan tersebut tidak diambil ia berisiko menjadi tragedi yang lebih buruk.

“Saya sudah beritahu sebelum ini insiden tersebut tidak ada kena-mengena dengan perkara yang dikatakan itu. Individu tersebut sudah naik menjadi seorang yang ekstrem, pelampau dan radikal kerana taksub melihat video keganasan dalam sosial media,” katanya.

Abdul Hamid turut mengingatkan masyarakat khususnya ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti anak-anak agar tidak terlalu menonton sebarang video keganasan di media sosial sehingga terpengaruh dan menjadi radikal.

Abdul Hamid sebelum ini telah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas dengan terus menahan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebar dan menularkan artikel mengenai kejadian itu yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.

Beliau turut mengesahkan suspek tembak mati itu telah terpengaruh dengan klip video keganasan dari Timur Tengah. – MalaysiaGazette

Tiada rakyat Malaysia terlibat gempa bumi di Ambon

Muhammad Azizul Osman

Gempa-Bumi


KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter yang berpusat 42 kilometer timur laut Kota Ambon, Daerah Maluku di Indonesia.

Daalm satu kenyataan, kementerian itu berkata, lebih 20 orang disahkan terkorban dan lebih seratus yang lain tercedera.

“Kementerian Luar mengesahkan bahawa setakat ini tiada warganegara Malaysia yang dilaporkan terkesan akibat bencana ini,” tulis kenyataan itu.

Dalam pada itu, seramai 2,000 penduduk telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan.
Gempa bumi tersebut turut merosakkan pelbagai infrastruktur awam seperti jambatan, sekolah, bangunan pejabat kerajaan dan kawasan perumahan.

Agensi berita AFP melaporkan, gempa berukuran 6.5 magnitud melanda sekitar 8.45 pagi (waktu tempatan) membuatkan penduduk yang panik melarikan diri ke jalan raya ketika beberapa bangunan runtuh di sekitar mereka.

Tinjauan oleh Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku kira-kira 37 kilometer di timur laut Ambon, wilayah Maluku pada kedalaman 29 kilometer. -MalaysiaGazette

Adib mati akibat dipukul, diserang pihak ketiga – Koroner Rofiah


 Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Koroner yang tidak membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.




SHAH ALAM – Mahkamah Koroner hari ini memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.

Keputusan itu diumumkan oleh  Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Koroner Rofiah juga berkata, mahkamah memutuskan bahawa kecederaan Allahyarham Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri sebaliknya disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.

Turut hadir mendengar keputusan inkues itu adalah abang dan tunang Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Asraf dan Nurul Najihah Mohd. Radzi serta peguam keluarga, Shazlin Mansor.

Bagaimanapun bapa arwah, Mohd. Kassim Abdul Hamid tidak hadir mendengar keputusan inkues itu.

Kedengaran suara mengucap syukur Alhamdulillah sebaik Rofiah membaca rumusan keputusan inkues itu.

Mahkamah Koroner menyerah kepada Peguam Negara dan polis untuk melakukan pendakwaaan.
Mahkamah turut menyalahkan pihak FRU dan polis yang gagal mengawal rusuhan yang berlaku sebelum insiden Muhammad Adib.

Membaca lanjut keputusan tersebut, Koroner Rofiah berkata, Allahyarham Muhammad Adib telah diheret keluar dari jentera EMR.

“Allahyarham Muhammad Adib mempunyai hubungan jiwa yang erat dengan abangnya, Mohd. Asraf apabila meluahkan apa yang berlaku apabila arwah telah ditarik dan dipukul,” kata Koroner Rofiah.

Peguam keluarga Muhammad Adib, Shazlin Mansor dilihat menangis teresak-esak sebaik Koroner Rofiah membaca keputusan inkues

Sementara itu, prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar telah berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.

Berita penuh menyusul. – MalaysiaGazette