Bahagian Enam:
PAKATAN HINDRAF - KHAIRY
MATLAMAT HALALKAN CARA?
Berasaskan seluruh hujah dalam kesemua tulisan saya dalam siri ini, terbuktilah bahawa matlamat sebenar daripada tindakan “matlamat menghalalkan cara” menerusi demonstrasi Hindraf yang didalangi oleh kelompok Abdullah, adalah seperti berikut:
*Melunturkan seluruh impak gelombang kuning pada 10 November 2007 yang kemudiannya meledakkan gelombang rakyat.
*Mematah dan mematikan langkah perjuangan rakyat menerusi ledakan gelombang rakyat.
*Membolehkan Abdullah menggunakan pelbagai undang-undang, khususnya ISA, ke atas individu yang difikirkan sebagai membahayakan survival politiknya, khususnya mereka di sebalik gelombang kuning.
*Menyekat lebih banyak lagi demonstrasi menentang kepimpinan Abdullah dalam tempoh terdekat.
*Menggunakan kenyataan Hindraf yang provokatif untuk mendorong orang Melayu dan umat Islam kembali menyokong Abdullah.
*Memulihkan keyakinan dan sokongan orang Melayu, umat Islam dan rakyat jelata kepada kepimpinan Abdullah yang amat tertekan akibat ledakan gelombang rakyat.
*Mengukuhkan kepimpinan Abdullah yang lemah dan pincang untuk membolehkannya mengadakan PRU ke-12 dalam tempoh terdekat ini.
*Memenangi PRU ke-12 dengan majoriti yang selesa dan mantap.
*Mengembalikan Abdullah ke persada kuasa sebagai Perdana Menteri selepas PRU ke-12.
Dramatik:
Sebagaimana dramatiknya serangan ke atas Pearl Harbor sewaktu Perang Dunia Kedua pada 1941, dan dramatiknya tragedi 11 September 2001, demonstrasi Hindraf yang ganas dan kenyataan Hindraf yang provokatif kepada UMNO, orang Melayu dan umat Islam, juga cukup dramatik impaknya. Sebab itu, kita kena tabik kepada proksi Abdullah yang mendalangi demonstrasi Hindraf, yang menyediakan kenyataannya yang provokatif dan yang mengorkestrakan perkembangan dan tindakan susulan selepas demonstrasi tersebut.
Bijak. Memang cukup bijak. Tetapi, kebijaksanaan ini langsung tidak mengambilkira bahawa orang Melayu dan umat Islam hampir-hampir membuat tindak balas terhadap kaum India dan penganut Hindu dengan secara fizikal dan mungkin juga fatal. Tetapi, inilah yang dikatakan sebagai tindakan “matlamat menghalalkan cara”.
Seluruh tindakan berasaskan “matlamat menghalalkan cara” ini diambil semata-mata kerana Abdullah dikatakan amat tertekan oleh impak gelombang kuning dan ledakan gelombang rakyat. Akibat peristiwa itu, populariti Abdullah meredum dengan sekelip mata. Situasi tersebut amat membimbangkan ramai penyokong dan pegawai-pegawainya.
Membisu:
Situasi berkenaan juga menyebabkan menantu Abdullah terus membisu, sama ada kerana dia turut menghadapi tekanan atau pun membisu untuk mengatur sesuatu strategi tindak balas yang sesuai dengan tindakan “matlamat menghalalkan cara.”
Dalam keadaan sedemikian rupa, pastinya semua pihak di sekeliling Abdullah tercari-cari apakah Pearl Harbor atau Tragedi 911 yang boleh mereka lakukan untuk menyelamatkan Abdullah. Atau, dalam situasi itu juga seluruh pegawai Abdullah mungkin mula menimbang buruk baiknya kalau dilaksanakan rancangan yang sudah mereka sediakan sebelum ini untuk menyelamatkan Abdullah.
Oleh itu, berasaskan tulisan Anak Jati Rembau, bahawa Khairy telah mengadakan satu pertemuan sulit dengan seorang pemimpin Hindraf beberapa bulan sebelum demonstrasi berkenaan, maka mungkinkah tindakan “matlamat menghalankan cara” ini memang sudah dirancang dengan lebih awal? Adakah rancangan untuk menggerakkan Hindraf melancarkan demonstrasi ganas pada 25 November 2007 dirancang lebih awal daripada 10 November 2007? [Bersambung dalam Bahagian Tujuh] – Ruhanie Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan