HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Januari 2008

DAP tanding 7 kerusi Parlimen, 19 kerusi DUN di Pulau Pinang.



PULAU PINANG _ DAP akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu merupakan persetujuan bersama yang telah dicapai oleh parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai pembahagian kerusi di negeri ini.

Menurutnya, DAP akan menempatkan calonnya di Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor bagi kerusi Parlimen.

Sementara itu, bagi 19 kerusi DUN pula, DAP akan bertanding di Sungai Puyu, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Berapit, Padang Lalang, Perai, Jawi, Tanjong Bunga, Air Putih dan Pulai Tikus.

Yang lain ialah Padang Kota, Pengkalan Kota, Komtar, Datok Keramat, Sungai Pinang, Batu Lanchang, Seri Delima, Air Hitam dan Paya Terubong.

“Keputusan ini adalah muktamad dan persetujuan telah dicapai dalam mesyuarat dengan PKR, Isnin lalu.

“Apa yang penting ialah DAP dan PKR akan memastikan perlawanan satu dengan satu menentang Barisan Nasional (BN) di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar bersama PKR di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP yang juga ketua pembangkang, Lim Kit Siang, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 DUN.

Pada pilihan raya umum ke-11, DAP hanya menang di empat kerusi Parlimen iaitu Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Tanjong dan Bukit Gelugor, manakala bagi kerusi DUN pula, DAP hanya menang di Sungai Puyu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, PKR akan mengumumkan kedudukan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan dengan Pas tidak lama lagi.

Ditanya sama ada peringkat akar umbi dalam PKR bersetuju dengan pembahagian kerusi tersebut, Anwar berkata, apa yang penting ketika ini ialah situasi menang-menang.

“Saya faham jika mereka marah namun mereka perlu melihat gambaran yang lebih besar dan sokongan perlu diberikan tidak kira kepada calon DAP atau PKR.

“Keputusan pembahagian kerusi dicapai melalui semangat kompromi dan setelah ditimbang secara adil,” katanya.- Utusan

Tiada ulasan: