HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Januari 2008

Mudahnya ‘culik’ kanak-kanak.
Oleh JUNHAIRI ALYASA dan SUHANA YUSOP.


KUALA LUMPUR – Beberapa kejadian kanak-kanak diculik termasuk di sekitar ibu negara sehingga ia menjadi isu nasional, rupa-rupanya belum cukup untuk dijadikan pengajaran kepada segelintir ibu bapa dalam mengawasi anak-anak mereka.

Lebih dikesalkan, di kala banyak pihak kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk membanteras kejadian culik tersebut termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat tertentu, namun masih ada yang memandang remeh perkara itu.

Buktinya, KOSMO! Ahad kelmarin dengan mudahnya berjaya ‘menculik’ tiga kanak-kanak yang dibiarkan bermain tanpa pengawasan sempurna daripada pihak ibu bapa di beberapa taman permainan kanak-kanak sekitar ibu negara.

Wartawan KOSMO! Ahad yang menyamar sebagai orang biasa telah bertemu dengan kanak-kanak yang leka bermain di taman permainan sekitar Wangsa Maju, Cheras serta Keramat telah berpura-pura bertanyakan arah sebuah kedai di kawasan itu serta mengajak mereka menunjukkannya.

Ternyata, taktik yang digunakan untuk menarik perhatian kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 10 tahun itu berjaya memerangkap mereka dengan begitu mudah.

Apa yang mengejutkan, tiga daripada tujuh kanak-kanak yang ditemui sanggup mengikut wartawan KOSMO! Ahad sama ada untuk pergi berjalan-jalan atau menunjukkan lokasi kedai runcit seperti yang diminta.

Ketiga-tiganya adalah kanak-kanak perempuan.

Apa yang membimbangkan, wartawan KOSMO! Ahad tidak memerlukan masa yang lama untuk meyakinkan kanak-kanak terbabit sebaliknya hanya sekitar dua hingga tiga minit untuk menarik perhatian mereka.

Berikut ialah antara dialog wartawan KOSMO! Ahad dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah taman permainan di Cheras;

KOSMO!: Abang tengah cari kedai, adik tahu tak di mana kedai dekat sini?
Kanak-kanak: Dekat sini saja.
KOSMO!:Adik duduk dekat kawasan sini?
Kanak-kanak: Saya duduk dekat blok sebelah ni saja.
KOSMO!: Boleh tak ikut abang tunjukkan kedai tu?
Kanak-kanak: Boleh. (Sambil mengikut wartawan KOSMO! Ahad)

Begitulah mudahnya untuk menculik seorang kanak-kanak yang merayau-rayau di sekitar taman perumahan dan kawasan permainan.

Malah, tinjauan yang sama turut mendapati, ada sebilangan kanak-kanak dibiarkan berjalan pulang dari sekolah mahu pun bermain di taman permainan seorang diri tanpa sebarang pengawasan.

Apa yang membimbangkan ialah, tindakan segelintir ibu bapa yang masih mengabaikan aspek kawalan terhadap anak-anak telah memungkinkan kejadian culik terus berlaku.

Tiada ulasan: