HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Januari 2008

Parti pembangkang bersedia boikot pilihan raya.


KOTA BAHARU: Pembangkang termasuk PAS bersedia untuk tidak menyertai pilihan raya umum akan datang sekiranya semua gabungan pembangkang bersetuju untuk berbuat demikian.

Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata namun secara peribadi beliau tetap mahu bertanding pada pilihan raya nanti demi moral penyokong PAS.

"Itu sekiranya keputusan (semua) pembangkang (untuk boikot), saya ikutlah tetapi secara peribadi saya tetap nak bertanding (pada pilihan raya umum ini)," katanya kepada pemberita di sini, Selasa selepas melancarkan Briged Kebajikan Perdana dan meraikan petugas briged yang terbabit ketika banjir baru-baru ini.

Nik Aziz berkata demikian bagi mengulas cabaran Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman semalam supaya pembangkang tidak menyertai pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka tidak yakin dengan keadilan serta ketelusan sistem pilihan raya di negara ini.

Ab. Rashid berkata tidak ada gunanya pihak pembangkang menyertai pilihan raya tersebut jika mereka tetap dengan tindakan mengutuk serta menuduh sistem pilihan raya di Malaysia penuh dengan penyelewengan.

Nik Aziz berkata tidak ada sesiapa pun yang berhak melarang pembangkang untuk tidak bertanding kerana Malaysia merupakan negara demokrasi yang membenarkan semua parti bertanding pada pilihan raya.

"Percaya atau tidak percaya kami akan bertanding. Dosa pahala atas dia (SPR), kalau dia tak telus dia tanggung," katanya.

Beliau berkata pembangkang sebenarnya tidak terperangkap dengan cabaran Ab. Rashid itu dan sekiranya mengambil keputusan untuk tidak bertanding, pembangkang sebenarnya sudah kalah daripada segi moral.

"Kalau tak tanding kita tunjuk kalah moral dan pembangkang boleh buat benda lain lagi (untuk protes) selain nak memboikot (pilihan raya) umpamanya," katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata cabaran Ab. Rashid itu jelas membuktikan SPR sudah tergelincir daripada peranannya sebagai sebuah badan berkecuali menguruskan pilihan raya.

"Apa yang pembangkang buat sebelum ini untuk membetulkan minda SPR dan Ab. Rashid sebenarnya perlu meyakinkan rakyat terhadap ketelusan SPR terlebih dahulu," katanya. BERNAMA.

Tiada ulasan: