SPR cabar pembangkang jangan tanding pilihan raya.
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD.
PUTRAJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman hari ini mencabar parti pembangkang supaya tidak menyertai pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka tidak yakin dengan keadilan serta ketelusan sistem pilihan raya di negara ini.
Beliau menegaskan, tidak ada gunanya pihak pembangkang menyertai pilihan raya tersebut jika mereka tetap dengan tindakan mengutuk serta menuduh sistem pilihan rayadi Malaysia penuh dengan penyelewengan.
Ab. Rashidyang berasa amat kesal dengan tindakan itumahu pembangkang lebih rasional dan bertanggungjawab sebelum melemparkan dakwaan.
‘‘Saya cabar mereka supaya tidak menyertai pilihan raya umum akan datang jika mereka terus menuduh SPR dengan tuduhan yang bukan-bukan. Apa yang mereka tidak kata kepada SPR.
‘‘Macam-macam mereka tuduh SPR terutama isu pengundi hantu. Mereka kata SPR menyeleweng kerana hendak bantu Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya sedangkan dakwaan itu tidak benar sama sekali,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.
Temu bual itu diadakan ketika parti-parti politik di negara ini dan SPR sendiri bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-12.
Dalam pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004, BN memenangi 198 daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Pada November lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil yang didalangi parti-parti pembangkang menganjurkan perhimpunan haram di ibu kota menuntut SPR mengadakan pilihan raya yang lebih adil dan telus khususnya untuk pilihan raya umum akan datang.
Gabungan itu turut menuntut Ab. Rashid tidak dilanjutkan perkhidmatannya atas dakwaan gagal menjalankan tugas dengan baik.
Ab. Rashid, 65, yang baru sahaja dilanjutkan perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR selama setahun pada 27 Disember lalu – selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan beliau meneruskan tugasnya – berkata, BN tidak memerlukan pertolongan SPR untuk memenangi pilihan raya umum kerana parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.
‘‘Janganlah disebabkan pembangkang kalah dalam pilihan raya, SPR pula menjadi mangsa. Kita tidak pernah bantu BN untuk capai kemenangan dan sememangnya parti itu kuat dan ia mempunyai calon di semua kawasan pilihan raya.
‘‘Sekiranya pembangkang mahu bersaing, mereka perlu letakkan calon seperti yang dilakukan oleh pihak BN,’’ katanya.
Ab. Rashid berkata, beliau terdorong untuk membuat cabaran seumpama itu kepadapihak pembangkang kerana mereka tidak pernah positif terhadap apa yang cuba dilakukan oleh SPR.
‘‘Mereka hanya tahu memperlekehkan usaha SPR dan mereka langsung tidak pernah menghargai apa yang kita lakukan. Sekiranya SPR tidak adil, tidak mungkin Kelantan kini diperintah oleh Pas.
‘‘Begitu juga dengan pilihan raya umum Sarawak tahun lalu yang mana kebanyakan kawasan bandar dimenangi oleh calon parti pembangkang.
“Adakah ini tidak cukup adil lagi bagi mereka?’’ tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan