HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Januari 2008

PM lancar model baru Proton Saga.
Oleh JOHARDY IBRAHIM.



KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) hari ini mengembalikan nostalgia kelahiran pertama keretanya 23 tahun lalu apabila melancarkan model ke-16 dengan nama ‘Saga’ yang dijangka menjadi ‘kereta rakyat’.

Proton Saga model terbaru itu bakal meneruskan kejayaan model pertama dikeluarkan pada tahun 1985 yang telah menjadi ikon dan kebanggaan negara dengan kira-kira 1.2 juta unit telah terjual sehingga hari ini.

Proton Saga generasi baru ini, menggunakan enjin Campro 1.3 liter yang dibangunkan Proton, ditawarkan dalam tujuh warna dan lima versi pada harga antara RM31,500 sebuah (termasuk insurans) hingga RM39,998 sebuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa melancarkan model terbaru Proton Saga tersebut menyifatkannya bakal menjadi ‘sebuah kereta rakyat’ yang dibanggakan.

Beliau berkata, kelahiran kereta nasional pertama, Proton Saga pada tahun 1985 memenuhi impian negara untuk mengeluarkan kereta sendiri.

“Saya yakin ia akan menjadi pengganti yang sama hebatnya dengan model pertama kerana model baru ini dibangunkan bukan saja bagi pasaran tempatan, malah untuk pasaran eksport,” katanya pada majlis itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Proton, Datuk Mohammed Azlan Hashim dan Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir.

Abdullah berkata, selain merealisasikan reka bentuk terbaru, model Saga tersebut turut menampilkan banyak kejayaan dalam pembangunannya.

“Keseluruhan program pembangunan Saga baru itu dicapai dalam tempoh 17 bulan, sesuatu yang syarikat-syarikat lain tidak pernah berjaya lakukan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ia juga berjaya dibina dalam sasaran bajet dan masa yang ditetapkan, malah dari segi kemahiran, Proton telah mengguna pakai lebih banyak aplikasi teknologi moden terkini untuk model terbaru itu.

Menurutnya, dengan model terbaru ini, Proton telah memberikan rakyat Malaysia sebuah kereta yang memiliki elemen reka bentuk kontemporari dan mudah yang menggabungkan aspek fungsi dan praktikal serta paling utama, ditawarkan pada harga mampu dimiliki.

Abdullah berharap dengan tempahan melebih 6,000 buah sehingga hari ini model baru Saga itu akan menikmati permintaan dan jualan yang baik seperti model Persona sebelum ini.

“Saya dimaklumkan model Persona telah menerima lebih 30,000 tempahan sejak pelancarannya pada Ogos 2007. Ia satu perkembangan yang amat membanggakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pembangunan model baru secara berterusan oleh Proton amat penting dalam usaha syarikat kereta nasional itu meningkatkan daya saingnya termasuk di peringkat antarabangsa.

Dengan itu katanya, ia akan membolehkan Proton mencapai skala ekonomi yang lebih optimum serta memenuhi cita rasa pelanggan yang sentiasa berubah.

Katanya, di sebalik segala kejayaan yang dicapai oleh Proton, industri automotif di Malaysia sebenarnya beroperasi dalam suasana yang semakin mencabar.

Abdullah berkata, peningkatan kuasa liberalisasi seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) memberi tekanan dari segi daya saing yang semakin hebat terhadap semua pengeluar.

Katanya, disebabkan Malaysia dianggap sebagai sebuah pasaran kecil, negara ini perlu mengembangkan pasaran eksportnya secara strategik dan inovatif.

Tiada ulasan: