HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Januari 2008

Rakyat Kelantan di perantauan penentu kemenangan BN.



KOTA BAHARU: Rakyat Kelantan yang terpaksa merantau untuk mencari rezeki, bakal menjadi penentu dalam usaha Barisan Nasional (BN) menukar tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Katanya pengundi yang berada di luar Kelantan ini mampu menyumbang kepada kejayaan BN Kelantan pada pilihan raya kali ini, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan dan suasana politik semasa.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata selaras dengan perkembangan itu, BN Kelantan telah memulakan "Gerakan Mesra Jejak Kasih" bagi memastikan anak negeri pengundi yang berada di luar Kelantan, akan pulang untuk mengundi pada pilihan raya nanti.

"Kita yakin pengundi yang tinggal di luar Kelantan akan memilih kerajaan baru kerana mereka mahu lihat perubahan yang kita janjikan," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Pengarah-pengarah Peti Undi BN Kelantan yang dihadiri 537 Ketua Peti Undi di sini, Jumaat.

Annuar berkata gerakan itu bertujuan mencari pengundi yang tersenarai dalam senarai daftar mengundi tetapi gagal dikesan kedudukan serta lokasi mereka, dan menurutnya kira-kira 200,000 anak Kelantan terpaksa berhijrah keluar dari negeri itu untuk mencari rezeki kerana peluang yang terhad disediakan di Kelantan.

"Mereka ini yang akan menjadi penentu sama ada negeri kelahiran mereka akan terus mundur di bawah kepimpinan Pas atau mampu bangkit maju seiring dengan negeri-negeri lain, negeri yang mereka hijrah itu. Sebab itu kita akan usahakan untuk membawa mereka balik dan mengundi dengan menyediakan kemudahan logistik yang perlu termasuk pengangkutan," tambahnya.

Annuar berkata pelan lengkap `Kelantan Baru' sudah dirangka sepenuhnya bagi memastikan rakyat di negeri Kelantan tidak terpinggir daripada arus pembangunan berbanding negeri-negeri lain.

Beliau berkata Kelantan berpotensi besar untuk menjadi sebuah negeri yang membangun sekiranya ia ditadbir dan diurus dengan baik.

Annuar seterusnya menyampaikan sumbangan daripada Skim Takaful Merdeka kepada 46 waris peserta skim berkenaan yang meninggal dunia dari Ogos sehingga Disember tahun lepas, pada majlis itu.

Setiap waris peserta yang merupakan anggota BN atau anggota keluarga mereka menerima sumbangan berjumlah RM3,500. BERNAMA

Tiada ulasan: